Menjawab beberapa persoalan kelemahan Operasi Perbankan Islam

Jawapan di bawah disediakan oleh Ustaz Wan Norhazikie Wan Abdul Halim, Pegawai di Jabatan FOREX, Bank Negara Malaysia merangkap Panel Ekonomi, Al-Fikrah.Net. Artikel asal berkenaan Operasi Perbankan Islam bertajuk: “ENAM KELEMAHAN UTAMA OPERASI PERBANKAN ISLAM” oleh Dr Muhammad Shabri Abdul Majid, Pensyarah UIAM.

1. Cara pembiayaan bank Islam masih didominasi oleh sistem mark up (menaikkan harga) berbanding sistem profit-loss sharing (bagi hasil). Walaupun sistem pembiayaan mark up dianggap ‘halal’, ia harus dihindari dan dihadkan. Ini kerana menurut Siddiqi (1983) dan Khan (1987), sistem ini akan membuka pintu belakang bagi amalan riba.

Komen saya: Ulama’ khilaf dalam masalah ini. Majoriti ulama’ berpendapat harus mengenakan sistem mark-up dalam transaksi Murabahah (cost plus profit margin) atau Musamawah (bidding sale) disebabkan urusniaga bertangguh bayaran, dan ianya bukanlah riba. Antara hujah keharusannya ialah pihak peniaga (dalam konteks ini ialah bank Islam) sentiasa berhadapan dengan risiko turun naik harga komoditi di pasaran sepanjang tempoh bayaran secara bertangguh oleh pembeli (pelanggan bank Islam). Maka ini boleh mendatangkan dharar kepada pihak peniaga, sedangkan Islam menjaga maslahah kedua-dua belah pihak iaitu pembeli dan juga peniaga.

Jumhur ulama’ juga membenarkan peniaga menetapkan dua harga yang berbeza kepada pembeli ke atas sesuatu komoditi, iaitu harga belian secara tunai dan harga belian secara bertangguh serta memberikan pilihan kepada pembeli untuk memilih salah satu antara keduanya. Manakala sebahagian ulama’ pula berpendapat tidak harus mengenakan system mark up dalam transaksi yang disebabkan bertangguh bayaran, kerana berpegang kepada kaedah Sad al-Dzari’ah, bagi mengelak ke arah amalan riba yang menggunakan hilah untuk mendapatkan kecairan atau wang.

Masalah hilah juga menjadi perdebatan para ulama’ sejak dahulu lagi. Umpamanya, Ulama’ Syafiiah dan Hanafiah menerima hilah jika hilah itu dianggap suatu kaedah untuk menyelesaikan masalah (makhraj) keperluan manusia (hajah), tertakluk kepada beberapa syarat supaya tiada penyalahgunaan sehingga berlaku penindasan, kebatilan. Dalam Fiqh Muamalah ini, ijtihad memainkan peranan penting dalam penerimaan hukum dengan mengambilkira aspek-aspek hajah (keperluan) manusia, maslahah, Urf Tijari (commercial custom) dan seumpamanya. Kaedah menyebut:  (Hajah itu mengambil hukum sepertimana dharurah sama ada umum atau khusus) kerana kedua-duanya mempunyai Rukhsah Shar’iyyah (keringanan syara’). Dalam masalah system mark up ini, justeru apa masalahnya jika bank-bank Islam menerima pandangan jumhur bagi mengurangkan risiko terhadap dirinya dalam menghadapi kondisi pasaran harga yang tidak menentu?

Sistem pembiayaan perbankan Islam, pada amnya, ada dua jenis:
Sistem Bagi Hasil (SBH); dan Sistem Mark Up (SMU). SBH terdiri daripada Mudharabah dan Musyarakah. Dalam sistem pembiayaan Mudharabah, pihak bank bertindak sebagai pemberi modal (Sahib al-Mal) dalam sebuah usaha yang dijalankan oleh wirausahawan (pelanggan bank), di mana keuntungan dan kerugian usaha akan dinikmati bersama sesuai dengan perjanjian. Sementara itu, Musyarakah adalah sistem pembiayaan yang selain bertindak sebagai pemberi modal, pihak bank, pada masa yang sama juga, bertindak sebagai pelaku usaha bersama-sama pelanggan bank berkenaan. Selanjutnya, SMU yang amnya dipraktikkan bank Islam dewasa ini adalah Murabahah dan Ijarah. Dalam Murabahah, pihak bank akan membeli barang/benda sesuai dengan permintaan pelanggan, dengan pihak bank akan mengambil keuntungan melalui cara menaikkan harga jual, yang dibayar oleh pelanggan sama ada secara ansuran ataupun tunai.
Contohnya:
Tuan Kapluk datang ke bank Islam dan hendak membeli sebuah rumah.
Jadi, pihak bank akan membeli rumah seperti yang diinginkan Tuan Kapluk (pelanggan) dan menjualnya dengan harga yang lebih tinggi.
Misalnya, harga beli rumah tersebut adalah $200,000, namun pihak bank akan menjualnya dengan harga $230,000 (melakukan mark up harga sebanyak $30,000) kepada pelanggan. Tuan Kapluk, sebagai pembeli, perlu membayar harga rumah dengan ansuran selama beberapa tahun, selari dengan kesepakatan bersama. Dalam Ijarah pula, pihak bank membeli barang/benda untuk disewakan kepada pelanggan bank dengan harga tetap. Boleh jadi, pemilikan harta/ benda itu tetap berada pada pihak bank atau secara berperingkat dipindahkan kepada pembeli (pelanggan). Ijarah ini sering disebut dengan sistem sewa-menyewa (leasing). Menilai dua sistem pembiayaan di atas, kedua-dua pihak – sama ada bank mahupun peminjam (pelanggan) dalam SBH – sama-sama harus mengambil risiko sedangkan dalam SMU pihak bank sama sekali tidak menghadapi risiko, bahkan keuntungannya sudah diketahui sebelumnya (predetermined). Inilah yang menyebabkan para pakar perbankan dan ekonomi Islam menentang SMU.

Komen saya: Ini adalah satu penyelewengan fakta. Sebahagian besar institusi kewangan Islam di seluruh dunia hari ini baik di Malaysia mahupun di Timur Tengah menggunakan secara meluasnya sistem SMU seperti Murabahah Komoditi berasaskan konsep Tawarruq dan Ijarah al-Muntahiyyah Bi al-Tamlik dan al-Ijarah Wa al-Iqtina’ atau di Malaysia ianya lebih dikenali dengan nama al-Ijarah Thumma al-Bay’ (AITAB). Praktik SMU ini oleh bank-bank Islam di seluruh dunia ini adalah diluluskan oleh Majlis Pengawasan/Penasihat Syariah masing-masing. Ini juga telah diluluskan oleh Majlis Pengawasan Syariah dunia bagi sistem kewangan Islam yang bernaung di bawah Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions, berpusat di Bahrain. Demikian juga fatwa-fatwa oleh Akademi Fiqh Islam bagi Rabitah al-Alam al-Islami dan seumpamanya berkenaan beberapa konsep Fiqh al-Muamalat seperti Tawarruq dan seumpamanya yang diamalkan oleh institusi-institusi perbankan Islam menunjukkan bahawa SMU diiktiraf oleh Ulama Islam di seluruh dunia. Justeru, dakwaan penulis tersebut bahawa para pakar perbankan dan ekonomi Islam menentang SMU secara umum adalah suatu dakwaan yang tidak berasas! Tidak dinafikan bahawa sesetengah produk tertentu seperti BBA yang diamalkan dalam konteks Malaysia berasaskan prinsip Murabahah melibatkan kaedah Bay’ al-’Inah sememangnya dikritik. Namun ini hanyalah isu terpencil dan bersifat lokaliti, dan tidaklah sewajarnya penulis tersebut membuat satu kesimpulan umum dengan mendakwa bahawa para pakar perbankan dan ekonomi Islam secara umumnya menentang SMU.

Perlu dimaklumi bahawa bank-bank Islam masih terlalu muda jika ingin dibandingkan dengan sistem perbankan konvensional yang telah berdiri teguh semenjak beratus-ratus tahun lagi. Di Malaysia, sehingga akhir tahun 2008, aset perbankan Islam secara keseluruhannya baru mencecah 12% daripada keseluruhan sistem perbankan yang didominasi oleh sistem perbankan konvensional. Namun angka 12% ini adalah antara tertinggi di dunia jika dibandingkan dengan negara-negara lain yang juga memiliki sistem perbankan Islam tersendiri. Justeru tentunya sistem perbankan Islam (SPI) tidak terlepas dari segala macam kelemahan. Memang tidak dinafikan bahawa Islam telah mendatangkan sistem SBH yang ideal dan terbaik berasaskan Mudharabah dan Musyarakah. Namun, disebabkan masih banyak kekurangan serta kelemahan yang dihadapi oleh sistem perbankan Islam hari ini, maka bank-bank Islam masih tidak berupaya untuk melaksanakan sistem SBH ini secara meluas dan menyeluruh sama ada dalam kemudahan pembiayaan asset, kemudahan kecairan dan sebagainya.

Sikap bank Islam yang tidak mahu menghadapi risiko inilah yang menyebabkan praktik bank Islam masih dianggap menyerupai dan bahkan ‘sama’ dengan cara kerja bank konvensional.

Komen saya: Menuduh bahawa SPI tidak mahu menghadapi risiko adalah tidak tepat sama sekali. Jika kita benar-benar amati, sebenarnya SPI lah yang sememangnya ‘lebih berisiko’ jika dibandingkan dengan bank-bank konvensional. Umpamanya, para pelanggan bank-bank Islam yang gagal melunaskan bayaran yang dibuat secara bertangguh/hutang melalui produk-produk pembiayaan secara Islam yang diperolehi tidak sesekali dikenakan interest/kadar faedah riba sebagaimana yang diamalkan oleh bank-bank konvensional. Tidak dinafikan bahawa atas prinsip maslahah, pihak Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia telah meluluskan kaedah Ta’widh (ganti rugi) sebanyak 1% setahun untuk dikenakan oleh bank–bank Islam ke atas para pelanggan mereka yang gagal melunaskan bayaran hutang mereka, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Namun begitu, hasil kutipan ta’widh 1% itu diwajibkan kepada pihak bank untuk disalurkan ke pusat-pusat kebajikan Islam. Disebabkan ketiadaan caj kadar faedah yang dikenakan oleh bank-bank Islam inilah maka hari ini, kita dapati bahawa ramai pelanggan produk-produk pembiayaan bank-bank Islam dengan sengaja mengambil peluang untuk tidak membayar hutang-hutang mereka dengan bank-bank Islam, meskipun dalam masa yang sama mereka mampu membayar secara berterusan pinjaman riba yang diambil dari bank-bank konvensional. Selain itu, bank-bank Islam yang mengenakan kadar keuntungan tetap ke atas pembiayaan aset pula pada umumnya berhadapan dengan risiko naik turun harga aset serta keadaan pasaran yang tidak menentu sepanjang tempoh pembiayaan. Justeru bank-bank Islam sentiasa berhadapan dengan risiko kerugian yang tinggi. Banyak lagi risiko lain yang sememangnya dihadapi oleh bank-bank Islam yang tidak sempat saya terangkan di sini.

Akibatnya, banyak umat Islam yang masih meragukan kesahihan bank Islam sebagai institusi untuk menyimpan dan meminjam wang yang tepat berlandaskan sunnatullah.

Komen saya: Perlu difahami, bank-bank Islam ini bukanlah sebuah institusi yang memberi khidmat ‘pinjaman wang’ kepada pelanggan. Sebaliknya bank-bank Islam menawarkan khidmat ‘pembiayaan’ kepada para pelanggan iaitu secara mengadakan transaksi jual beli aset, sewaan, pelaburan, dan lain-lain transaksi yang dibenarkan oleh syara’ dengan pihak pelanggan, bagi memudahkan pelanggan memperoleh pembiayaan asset serta kecairan. Lazimnya, bank Islam tidak menawarkan khidmat pinjaman wang kepada pelanggan, kerana pinjaman wang memerlukan pihak bank Islam menawarkan akad tabarru’ berasaskan prinsip Hibah (hadiah) iaitu al-Qard al-Hasan (benevolent loan/free interest loan) yang semestinya akan merugikan pihak bank Islam sebagai sebuah syarikat perniagaan, yang bukan berperanan sebagai sebuah badan kebajikan Islam.

2. Struktur pembiayaan bank Islam masih didominasi sistem pembiayaan jangka pendek berbanding sistem pembiayaan jangka sederhana dan panjang. Bank Islam masih memilih SMU, seperti Murabahah dan Ijarah yang amnya bersifat jangka pendek berbanding SBH yang relatif bersifat jangka sederhana dan panjang.

Komen saya: Seperti yang saya katakan, SPI ini masih terlalu muda jika ingin dibandingkan dengan sistem perbankan konvensional yang telah lama bertapak. Adalah agak mustahil dengan aset terkini SPI yang masih terlalu kecil, SPI dipaksa untuk berdiri sama tinggi dengan bank-bank konvensional serta melakukan reformasi secara mendadak terhadap kesemua produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pihak pelanggan. Seperti yang telah saya katakan, dari sudut ‘patuh syariah’ (Syariah compliance), SMU seperti Murabahah dan Ijarah telah diiktiraf secara umum oleh para ulama’ Islam dunia dan diamalkan secara meluas oleh bank-bank Islam di seluruh dunia. Mencadangkan agar SMU diganti dengan SBH adalah satu cadangan yang baik namun ia mestilah mengambil masa memandangkan SPI baru sahaja berusia dalam lingkungan 25 tahun, berbanding sistem perbankan konvensional yang telah sekian beratusan tahun wujud.

Dengan lain perkataan, struktur pembiayaan bank Islam lebih difokuskan bagi menjana keuntungan sendiri (tidak mahu mengambil risiko) berbanding daripada mengoptimumkan keuntungan pelanggannya.

Komen saya: Bank-bank Islam adalah “syarikat” yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 1965 dan Akta Perbankan Islam 1983. Setiap yang bernama “syarikat” sememangnya berperanan untuk memperoleh serta memaksimumkan keuntungan melalui penawaran produk dan perkhidmatan kepada pelanggan. Sekali lagi ditegaskan, bank-bank Islam bukanlah sebuah “badan kebajikan Islam” seperti YAPEIM, Bait al-Mal, Pusat Zakat, dan seumpamanya.

3. Dalam memberikan pinjamannya, bank Islam lebih mengutamakan sektor perdagangan, kewangan dan perkhidmatan berbanding sektor-sektor pertanian dan industri. Padahal sektor pertanian dan industri yang sepatutnya mendapat keutamaan kerana kedua-duanya merupakan penuras utama pembangunan dan kesejahteraan ekonomi umat.

Komen saya: Cadangan yang baik dan sewajarnya disokong.

4. Bank Islam masih tidak boleh melepaskan operasinya daripada perangkap riba. Bank Islam masih harus menyimpan simpanannya di Bank Pusat, seperti Bank Negara di Malaysia dan Bank Indonesia di Indonesia, dan bahkan kelebihan dana mereka sering disimpan di bank-bank konvensional lain sama ada di dalam ataupun luar negeri yang operasinya masih berkonsepkan riba. Keupayaan untuk menubuhkan Bank Pusat Islam yang bebas daripada bank pusat konvensional dipercayai sebagai salah satu cara untuk memurnikan operasi bank Islam daripada unsur-unsur riba sehingga ia benar-benar Islami.

Komen saya: Di Malaysia, Statutory Reserve Requirements (SRR) bagi bank-bank Islam yang perlu disimpan di BNM disimpan dalam akaun khas dan diasingkan daripada dana SRR bank-bank konvensional. Ia juga tidak mempunyai jumlah pulangan tertentu sebagai tambahan daripada jumlah pokok peratusan SRR yang disimpan.

Ini juga satu tuduhan yang agak melampau. Bank-bank Islam di Malaysia menggunakan Pasaran Wang Antara Bank-Bank islam (Islamic Inter-Bank Money Market/IIMM) bagi menyelesaikan permasalahan defisit dan surplus dana antara mereka. IIMM ini adalah pasaran modal antara bank-bank Islam di Malaysia yang telah ditubuhkan pada 1995 lagi. Agak mustahil bagi bank-bank Islam untuk menyimpan/deposit dana mereka di bank-bank konvensional sedangkan ia sama sekali dilarang oleh Majlis Penasihat Syariah BNM kerana melibatkan percampuran dana dan membantu membangunkan industri riba! Inilah antara tujuan BNM menubuhkan IIMM iaitu bagi membolehkan penyimpanan dana mereka yang memiliki kelebihan dana.

5. Dalam memberi pinjaman kepada pelanggan, bank Islam masih meminta jaminan (kolateral) kewangan kerana takut menghadapi risiko. Padahal idealnya, dalam memberi pinjaman kepada para pelanggan, bank Islam tidak dibenarkan meminta jaminan terhadap wang yang dipinjamkan kepada pelanggan. Ironinya, bank Islam ternyata telah menetapkan jumlah jaminan yang relatif lebih besar berbanding daripada yang dipungut bank konvensional lainnya. Maka kita tidak perlu hairan apabila sering mendengar aduan masyarakat bahawa mengambil pinjaman wang di bank-bank ribawi jauh lebih mudah, murah dan menguntungkan berbanding dengan bank Islam.

Komen saya: Seperti yang telah saya katakan, SPI tidak menawarkan produk pinjaman sebagaimana bank-bank konvensional, sebaliknya menawarkan khidmat pembiayaan (financing-i) bagi pemerolehan asset dan kecairan. Perbezaannya bukan sekadar pada nama “Pembiayaan-i”, bahkan lebih daripada itu iaitu kedua-dua pihak bank dan pelanggan mestilah mematuhi segala terma dan syarat yang telah ditetapkan dalam setiap akad transaksi yang dilakukan bagi memastikan transaksi tersebut sah di sisi syara’.

Islam tidak menghalang pemiutang (bank Islam) mengambil collateral/cagaran daripada pihak yang berhutang (pelanggan) untuk menjaga hak kepentingan pemiutang. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas R.A. bahawa Nabi SAW menggadaikan baju perangnya kepada seorang yahudi dan baginda mengambil gandum daripadanya untuk keluarganya. Dalam hadith yang lain dari Aisyah RA, Nabi SAW juga pernah membeli makanan daripada seorang Yahudi dan menggadaikan tombak besinya kepada Yahudi.

6. Terakhir, seperti yang disebutkan sebelum ini, bank Islam lebih mengutamakan keuntungannya berbanding daripada kemaslahatan pelanggan. Buktinya, jumlah ‘pinjaman sosial’ seperti Qard al-Hasan – yang bersifat bantuan atau hibah pinjaman yang tidak mengharuskan para peminjam membayar bunga (melainkan kewajipan membayar modalnya sahaja) – sama sekali tidak terdapat dalam bank Islam. Kalau pun ada, jumlahnya sungguh sangat sedikit sekali. Dengan lain perkataan, pembiayaan zero return basis ini harus diberi perhatian seimbang dengan menyediakan pinjaman sosial kepada individu atau organisasi-organisasi Islam sama ada disalurkan dalam bentuk kewangan (modal) ataupun dalam bentuk harta (peralatan dan bahan baku).

Namun, perlu diingat bahawa dalam memberikan pinjaman sosial ini, pihak bank berhak memungut kos perkhidmatan atau pentadbiran, sekadar cukup bagi menampung kos pentadbiran. Menurut Khan dan Mirakhor (1987), kos pentadbiran yang dipungut itu tidak harus mencerminkan jumlah pinjaman sosial yang diberikan dan tempoh pembayarannya

Komen saya: Seperti saya telah katakan, bank-bank Islam adalah syarikat biasa yang berperanan sepertimana syarikat-syarikat perniagaan lain yang bermatlamat untuk memperoleh serta memaksimumkan keuntungan melalui penawaran produk dan perkhidmatan perbankan yang tidak bertentangan dengan syara’ kepada pelanggan. Bank-bank Islam bukanlah berperanan sebagai badan-badan kebajikan Islam seperti YAPEIM, Bait al-Mal, Pusat Zakat, dan seumpamanya yang sewajarnya memaksimumkan khidmat mereka dengan menawarkan Qard al-Hasan khusus bagi membantu serta membangunkan ekonomi umat Islam.

Sumber: AFN

5 Responses to “Menjawab beberapa persoalan kelemahan Operasi Perbankan Islam”


  1. 1siti nor

    saya mempunyai beberapa soalan tentang Bank Islam:
    1. apakah kekuatan Bank Islam
    2. apakah kelemaan Bank Islam
    3. apakah peluang Bank Islam
    4. apakah ancaman terhadap Bank Islam.

  2. 2hafiza

    Nak tanya tentang kesimpulan penerimaan tawarruq, boleh tolong jelaskan?

    Terima kasih. :-)

  3. 3Husaini Ibrahim

    Kesimpulan bagaimana ya Pn Hafiza? Jika diikutkan kefahaman ringkas saya, konsep tawarruq lebih diterima pakai dan lulus penilaian Syariah Antarabangsa untuk diaplikasikan oleh Sistem Perbankan Islam sebagai salah satu metod dalam urusan pembiayaan. Wallahua’lam

  4. 4ana muslim

    salam
    Dalam hal mark up dari segi prinsip perbankan islam nampak ada keharusan untuk mark up.
    Namun dari segi amali bila harga mark up terlalu tinggi, maka nampak perbankan islam sama saja dengan perbankan konvensional.
    Contoh: harga rumah RM100,000. Bank beli RM100,000 dan jual balik kepada pelanggan harga RM300,000.
    Pihak pengamal bank islam harus melihat adakah amalan mark up terlalu tinggi itu menjadi amalan di zaman nabi dahulu? Bukankah pertambahan ini riba?Tidakkah ini riba yang “doubled and multiplied”?

  5. 5Husaini Ibrahim

    Puan Ana, itulah kesilapannya. Bila dikatakan riba itu kerana mark-up sedangkan pada zaman nabi ada sahabat mark-up sehingga 100% dan Nabi benarkan kerana ia jual beli bukan berasaskan pinjaman. Tidak ada larangan mark up harga jualan sehingga melebihi harga kos asalkan ia tidak melepas harga pasaran.

    Puan kena ingat, harga RM300k yang dijual kembali pada pelanggan adalah pada 30 tahun akan datang, bukannya pada hari ini. Rumah RM100k sekarang tentulah tidak lagi berharga Rm100k pada masa 30 tahun akan datang, bahkan silap-silap pelanggan boleh menjual kembali pada harga RM500k..itupun mark up kan? :-)

    Harga mark-up yang diletakkan bank adalah setelah mengambil kira faktor pembayaran yang memakan masa. Masa juga mengambil nilai matawang, melalui kadar inflasi dan lain-lain. Jadi, bank bukan sengaja memark-up sesuka hati mereka, bahkan memang harus pun memark-up harga. Wallahua’lam.

Leave a Reply