Nilai Islamik dalam filem dan drama

Aksinya begitu bergaya, mukanya penuh yakin, lantas lidah Ahlil Nujum Negara Masai lancar mengemukakan soalan,

“Di manakah terletaknya kekuatan Datuk Laksamana Hang Tuah? Di kerisnyakah? Atau di tenaganyakah?”

Ahlil Nujum Negara Beringin Rendang mendengar dengan teliti, berfikir sejenak dan dengan gaya yang penuh keyakinan dan ketenangan, soalan tersebut dijawabnya,

“Kekuatan Datuk Laksamana Hang Tuah bukanlah terletak di kerisnya ataupun di tenaganya.”

“Kekuatan Datuk Laksamana Hang Tuah terletak di atas huruf Ta nya.”

“Ta Wa Alif Ha, Tuah!”

Dialog di atas ramai yang mengingatinya, bagaimana jika dibunyikan begini pula?

“Di manakah terletaknya nilai Islamik dalam sebuah filem atau drama?Pada judulnyakah?Atau pada skripnyakah?”

Atau pada pemilihan pelakonnyakah?

Atau pada jalan ceritanyakah?

Ia satu persoalan yang subjektif. Tentunya mereka yang berfikiran kebanyakan akan melihat bahawa nilai Islamik yang dicanangkan tentulah bermula pada judul dan tajuk drama atau filem tersebut.

Bukankah impresi pertama akan menggambarkan segala yang menjadi isinya?

Jawapannya ya dan tidak.

Bergantung dan tidak bergantung.

Jangan ada pula yang berkata begini,

“Nilai Islamik dalam filem dan drama terletak padak huruf I, tuanku!” Haru dibuatnya.

ISLAMIK

Bercakap soal Islamik, ramai yang menginginkannya. Hatta yang tidak perlukan nama Islamik pun nak diIslamikkan dek nama itu boleh mengundang peminatnya mengerumuni.

Sedangkan, hakikatnya tak semua perkara perlu diIslamikkan.

Apabila nilai atau nama Islamik pada sesuatu karya, ia mestilah sesuai dengan substance atau kandungan karya tersebut.

Kerana yang lebih penting daripada nama ialah kandungan.

Kandungan yang bagaimana?

Pada pelakon yang menutup auratkah?

Atau pada watak-watak yang dilakonkan?

SYURGA CINTA

Antara filem di Malaysia yang sedang hangat masa kini ialah filem Syurga Cinta. Dicanang-canangkan sebagai filem berunsurkan dakwah dan Islamik.

Sehingga seorang pelakonnya terkesan dengan azab meninggalkan solat!

Wah, berkesan sungguh dakwah mereka!

Setujukah kita ini merupakah salah sebuah filem Islamik lagi berunsurkan dakwah?

CINTA SEMPURNA

Ketika sifu memilih untuk terlibat dengan penyediaan skrip drama bersiri Cinta Sempurna, banyak sekali responnya yang bersifat seperti kutub bumi.

Sebahagiannya memuji atas tindakan dan ruang lingkup dakwah.

Sebahagian lagi mengeji atas ketidakprihatinan sifu terhadap pemilihan pelakon-pelakonnya yang tidak menutup aurat.

Sehinggakan dilemparkan perkataan bahawa beliau redha dengan perlakuan tersebut! Wal ‘iyadzubillah!

Tentunya beliau punya pandangan dan pendapatnya tersendiri apabila mula terlibat secara kecil-kecilan (kerana hanya penyediaan skrip) dalam industri hiburan ini melalui drama Cinta Sempurna tersebut.

Namun asasnya, kedua-dua contoh di atas menunjukkan persepsi yang pelbagai terhadap kedudukan Islam dalam industri hiburan ini khususnya filem dan drama.

TAKRIFAN KHAS

Ummu Hani dalam laman blognya memetik tesis kedoktoran Prof. Dr. Siti Rugayah Hj. Tibek (UKM) yang bertajuk “Peranan Drama Dalam Dakwah: Kajian Drama Dakwah TV1 dan TV3” yang menyebut bahawa,

drama dakwah  adalah drama yang mematuhi batas-batas agama Islam. Ia mengajak kepada cara hidup bertaqwa, menekankan kebaikan amalan bermasyarakat dan mesti berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

Sebagai orang beriman, berdrama atau menulis skrip mestilah dilakukan semata-mata untuk jalan Allah dan masyarakat Islam keseluruhannya. Ini bertepatan dengan tuntutan Islam supaya bumi ini dibangunkan untuk disesuaikan dengan sifat manusia yang sentiasa membangun.

Drama termasuk pembangunan yang perlu disesuaikan antara tabiat semula jadi manusia dan tabiat semula jadi alam ini keseluruhannya.

Selain itu, perkara-perkara tersebut turut ditekankan dalam drama dakwah.

Tiada babak percampuran maksiat.

Tiada aksi Muslim berpeleseran di kelab malam, disko dan sebagainya.

Apatah lagi babak-babak ranjang yang selalu menghiasi drama dan filem-filem Melayu.

Semua ini tidak wajar menghiasi sesebuah drama atau produksi layar yang inginkan unsur dakwah dalam karya mereka.

PRODUKSI TURUT ISLAMIK

Team produksi juga harus Islamik pada cara kerja, budaya, dan penghasilan filem atau drama dakwah mereka, kata Prof Siti Rugayah lagi.

Penulis skrip yang faham dan mengamalkan Islam.

Modal yang bersih suci lagi halal daripada percampuran daripada unsur yang haram.

Team produksi yang menjaga solat pada setiap masa, mengelakkan ikhtilat yang liar dan menjaga hubungan dengan Allah pada setiap masa.

IDEALISME

“Terlalu idealistik!” ngomel seorang pembaca.

“Gila apa nak ikut macam tu kat Malaysia ini,” bekas ahli Karyawan kedengaran memperleceh.

Ya, di Malaysia pastinya untuk mengikut satu demi satu kriteria yang disebutkan pastinya sangat idealistik dan hampir-hampir tidak realistik.

Tambahan pula dengan industri hiburan di Malaysia ini yang langsung tidak berasaskan nilai-nilai yang estetik.

Hampir kesemuanya berdasarkan nilai komersil.

Akhirnya, balik-balik hantu juga yang laku!

BELAJAR DARIPADA KCB

Melalui hebahan media dan pengakuan penulis merangkap penerbitnya, Ustaz Habibur Rahman el-Shirazy mengatakan,

Ketika Cinta Bertasbih(KCB) adalah 100 peratus filem dakwah.”

Pastinya kata-kata sedemikian mengundang reaksi berbeza-beza.

Reaksi para peminatnya yang mula mengerumuni pawagam di serata Indonesia, Brunei, Malaysia, Singapura, Hong Kong, Taiwan, Mesir dan Australia mulai hari ini (11 Jun 2009).

Dan tentunya reaksi orang ramai yang inginkan bukti pernyataan tersebut.

Sejak ‘kegagalan’ filem beliau Ayat-ayat Cinta yang lari dari kehendak beliau melalui novel popularnya Ayat-ayat Cinta itu, KCB lahir hasil sentuhannya sendiri dengan piawaian yang amat dijaga.

Daripada penerbit (beliau sendiri) sehinggalah kepada para pelakonnya, semuanya dipastikan meletakkan Islam sebagai matlamat.

Para pelakon yang diujibakat di sembilan buah bandar besar di Indonesia, dipastikan tepat atau hampir menyamai watak-watak dalam novel KCB.

Bisa membaca al-Quran.

Pernah menganggotai atau berpengalaman dalam organisasi Islam.

Mempunyai watak dan akhlak yang baik.

Tidak hanya para pelakon, produksi KCB dan para pelakonnya telah konsisten menunaikan tahajjud sepanjang penggambaran di Kaherah, Mesir semata-mata mengharapkan hubungan yang baik dengan Allah agar filem dakwah ini benar-benar ber’isi’.

Usaha-usaha yang dilakukan oleh Kang Abik terhadap filem KCB ini bersama dengan sentuhan sutradara Islamik, Chaerul Umam menunjukkan kesungguhan mereka dalam menghasilkan produk dakwah melalui filem biarpun pesimis masyarakat terhadap filem dakwah dan Islamik masih tebal baik di Malaysia mahupun di Indonesia.

KCB HANYA CONTOH

Filem KCB dan penghasilannya merupakan contoh terbaik dan tepat buat masa ini dalam meletakkan nilai-nilai Islamik dalam karya filem atau drama menurut kriteria-kriteria yang digariskan di atas.

Namun begitu, ia tidak semestinya menjadi piawai bahawa seperti inilah filem dakwah dan Islamik hendaklah dihasilkan.

Dakwah dalam filem dan drama dan islamikasi dunia hiburan tidak semudah yang dituntut dan diharapkan.

Prinsip dakwah itu statik dan kejap, namun pendekatannya berbentuk dinamik dan fleksibel.

Segala usaha yang dilakukan oleh KCB dalam merealisasikan nilai dakwah mengatasi nilai komersil dalam filem mereka merupakan sesuatu yang hilang dan sukar diaplikasikan oleh kebanyakan pengeluar filem di Malaysia.

Itulah kunci jawapan kepada persoalan di atas, tujuan filem dakwah dan Islamik adalah dakwah, dan keperluannya adalah komersil.

Jangan sampai Islam dikomersilkan, lalu keperluan ditujuankan, kelak fitnah menimpa.

Selamat berkarya dan berdakwah melalui karya!

Husaini Ibrahim @ www.husainibrahim.com
34000 Taiping
11 Jun 2009

**Bacaan lanjut: Filem Dakwah Yang Bagaimana? oleh Ummu Hani Abu Hassan

9 Responses to “Nilai Islamik dalam filem dan drama”


  1. 1atikahJ

    Kupasan yang sangat segar.Menunggu lahirnya CS dan teringin menonton KCB. Nanti bolehlah hussaini pulak terbitkan filem dakwah ;-)

  2. 2husainibrahim

    Terima kasih atas komplimen itu, saya hanya bertatih menulis jauh lagi nak ke penerbitan filem. Bagi yang sudah sedia dalam industrilah kak :-)

  3. 3irshadian

    harap2 watak azzam dalam KCB tu dah tak salah macam fahri…

    yang komersil macam hantu2 keliwon dan ceplos tu dah makin melampau, mesej yang melalut.

    tak kurang juga drama melayu dongeng kononnya semakin membodohi masyarakat beserta sinetron dari seberang yang makin menerawang ke angkasa khayalan.

    jadi dialu-alukan CS dan KCB bagi merubah industri perfileman yang lebig bermesej.

  4. 4faried

    Masih perlu menunggu lama jika ingin lihat filem/drama tempatan yang benar-benar berbentuk dakwah dan Islamik.

    Kenapa? Cerita yang ada sekarang pun tidak banyak yang penuh dengan mesej dan moral. Banyak yang penuh dengan iri hati dan dendam. Budaya negatif dijadikan tajuk filem dan dipertontonkan kepada anak-anak muda dengan alasan inilah realiti kehidupan. Tapi ia lebih jadi ikutan dari sempadan. Bukan tak ada cerita yang baik, tapi tidak banyak.

    Kalau inilah standard filem/drama tempatan, maka sudah tentu filem dakwah dan Islamik dianggap terlalu idealistik atau gila. Malah kalau dihasilkan boleh jadi kejutan budaya.

    Mungkin kisah Cinta Sempurna tidak 100% Islamik, tetapi mesej-mesej dakwah telah mula disampaikan. Kalau banyak cerita seperti ini memenuhi tv dan panggung wayang dan mendapat sambutan, rasanya lebih mudah untuk masyarakat menerima cerita dakwah dan Islamik. Pengeluar filem tempatan juga mungkin tidak kekok untuk menghasilkan filem seperti KCB.

    Harapnya ada pengeluar filem tempatan yang berani seperti Raihan mula keluar dengan album Puji-pujian dulu. Album meletup dan sekelip mata kumpulan-kumpulan nasyid muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

    Sebut Cinta Sempurna, eloklah baca sendiri artikel Ust. Hasrizal tentang penglibatannya dengan drama tersebut.
    http://saifulislam.com/?p=5785

  5. 5masri

    Assalamualaikum wbt.

    Nantikan filem “Gadis Berniqab”

    Hero: Lobai Tampin.

    Heroin: Tak tahu lagi.

    Hahhahaha

  6. 6husainibrahim

    Fahri yang mana satu tu?Yang dalam AACkah atau yang dalam Aqso dan Madina, kedua-duanya dibintangi heroin yang sama, Safira=Maria..heh

  7. 7husainibrahim

    Wa’alaikumussalam wrth wbh.
    Masri, peminat cerita tu tunggu novelnya siap dulu. Lepas jadi best-seller baru bawa ke pawagam jadi filem..heh :-D

  8. 8Aries

    Assalamualaikum…
    sebenarnya Anda punya Film yang menurut saya sangat hebat…sarat akan pendidikan agama dan sangat Islami …tengoklah Film Animasi IPIN & UPIN….perhatikan..!!!
    Saya terus terang sangat iri…mengapa negara kami belum bisa membuat film animasi seperti yang negara anda buat… salut…
    Wassalam

  9. 9Shaza

    saya suka Syukur 21.

Leave a Reply