Berdoa untuk yang pergi dan tak kembali lagi

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Perumpamaan yang dicipta oleh orang-orang lama kita amat tepat sekali hasil pemerhatian mereka terhadap alam sekeliling.

Hari ini 1 Ramadhan 1430H. Telah berlalu 9 hari yang lepas pemergian seorang aktivis, pelopor industri hiburan alternatif bertemakan Islami ke alam yang kekal abadi, Allahyarham Mohd Asri Ibrahim atau Ustaz Asri Rabbani.

Pemergian beliau sejurus dua hari selepas majlis menandatangani MoUn bersama Hotel Singgahsana, PJ untuk terus mengadakan persembahan nasyid di sepanjang Ramadhan ini amat terkesan sekali.

Kumpulan nasyid popular Rabbani memeterai perjanjian kerjasama bersama Hotel Singgahsana untuk terus membuat persembahan di hotel tersebut sepanjang bulan ramadan yang bakal tiba nanti – mStar Online

Ternyata MoU yang ditandatangani itu, tidak sempat untuk beliau penuhi.

Dan ternyata juga, Ramadhan kali ini tidak sempat untuk beliau jengahi.

Kehilangan beliau amat meninggalkan kesan kepada dunia seni tanahair terutama kepada mereka yang membesar bersama era nasyid Nada Murni daripada Produksi OVA.

Menjengah ke beberapa blog yang ‘popular’ seperti DrMaza.Com, Saifulislam.Com, dan Zaharuddin.Net dan juga blog-blog persendirian yang lain, mempertemukan saya dengan entri-entri berkaitan Allahyarham yang tidak sedikit. Ucapan takziah, doa, dan penceritaan kebaikan untuk Allahyarham menjadi intipati entri-entri tersebut.

Ternyata orang baik sentiasa disebut-sebut kebaikan dan amal jariah yang telah dilakukannya.

Kemunculan Rabbani membuat persembahan di Pusat Matrikulasi UIA antara tiket awal saya untuk ‘merapati’ kumpulan nasyid yang sebelum ini hanya diminati dari jauh.

bersama_rabbani

Saya bukanlah orang yang mengenali rapat dengan Allahyarham, namun menggemari keunikan suaranya yang menjadi tunjang kumpulan Rabbani itu.

Hanya sekali sahaja saya bertemu dengan beliau dan kumpulan Rabbani atas undangan bekan rakan sebilik, Muhammad Arif Osman untuk berbuka puasa di hotel Singgahsana secara eksklusif di bilik VIP, dengan keizinan beliau secara peribadi.

Saya pohon agar Allah mengganjarinya sebaik-baik ganjaran, Ameen!

Benarlah seperti pujian yang diucapkan kepada beliau sebelum ini; mudah tersenyum, senang didekati dan ramah sekali, telah saya dapati pada diri beliau dalam pertemuan ringkas tersebut.

Ketika ramai yang mendapat berita pemergian Allahyarham Ustaz Asri ke rahmatullah seawal tengah hari Khamis 13 Ogos 2009, saya hanya mendapat tahu pada waktu Maghrib lantaran berada di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil menjalani peperiksaan khas dan temuduga untuk memasuki SIMA.

Sejurus mendapat tahu berita tersebut, segera didoakan keampunan dan rahmat Allah ke atas beliau. Kemudian, lebih kurang jam 10 malam barulah saya mendapat SMS daripada Arif Osman yang baru saja pulang dari pengkebumian Allahyarham.

Arif Osman, bekas rakan sebilik saya di UIAM itu amat rapat dengan kumpulan Rabbani. Beliau sering diundang untuk mengiringi persembahan Rabbani atas kebolehannya bermain perkusi dengan baik sekali.

Biarpun ketika ini, nasyid bukanlah lagi menjadi passion saya seperti 5 tahun dahulu, namun lagu-lagu Rabbani yang dialunkan vokalnya oleh Allahyarham antara yang saya gemari dan masih ingat akan rentaknya.

Pada pagi Jumaat 14 Ogos 2009, ketika dalam perjalanan ke tempat kursus di Kompleks Antarabangsa, Jalan Sultan Ismail, ***FM secara khususnya membincangkan topik “kehilangan” bersama pendengarnya dan memasang 3 lagu dari koleksi Rabbani sebagai ingatan terhadap Allahyarham.

Mengalir air mata saya sepanjang mendengar ketiga-tiga lagu tersebut sambil fokus tidak dialihkan dek menunggang motosikal menuju ke Jalan Sultan Ismail. Begitu sedih, sebak dan terharu sekali.

Mentari Merah di Ufuk Timur, Intifada, dan Pergi Tak Kembali menjadi pilihan penyampai radio pada pagi itu.

Sehingga ke hari ini, apabila menjengah sahaja ke blog-blog peribadi yang menceritakan kenangan mereka bersama Allahyarham, atau menyebut-nyebut segala kebaikan yang pernah dibuat Allahyarham, pilu rasanya hati ini.

Saya mengambil kesempatan untuk menyematkan entri berkenaan Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim sebagai satu wadah lagi agar kebaikannya sentiasa disebut-sebut berulang kali.

Dalam beberapa kenyataan yang dibuat mengenai Allahyarham Ustaz Asri, saya petik dua daripadanya yang saya fikirkan amat menarik dan berisi sekali.

Semoga Allah merahmati, mengasihi dan mengampuni beliau. Beliau telah menunjukkan sikap yang baik dan sumbangan kepada dakwah.

Apa yang saya tahu, selepas meninggalkan al-Arqam, melalui lagu-lagu nasyid, beliau menyampaikan mesej yang baik.

Sekurang-kurangnya ia menjadi alternatif kepada hiburan yang tidak membawa kepada nilai positif. Kita tahu dia seorang Muslim yang sayangkan agamanya. Kita doakan Allah menyayanginya. “Ya Allah ampunlah dan kasihilah dia!” – Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Dan yang keduanya pula,

Kita sayangkan dia, tetapi Allah lebih sayangkan dia. Allah nak kekalkan dia dalam kebaikan, kerana itulah dia diambil dahulu oleh Allah. Dia diambil dalam keadaan berbuat kebaikan. Masa dia telah sampai, masa kita belum tahu lagi bila… – Suami kepada Waheeda.

Sempena bulan Ramadhan yang berkat dan antara asbab doa dimustajabkan, sama-samalah kita mendoakan Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim agar Allah merahmati, mengasihi dan mengampuni beliau.

Ampunilah dia

“Ya Allah, ampunilah Ustaz Asri Ibrahim, rahmatilah beliau, kasihanilah beliau dan berilah kemaafan untuk beliau!”

Ameen! Ameen! Ameen!

Beliau telah pergi tak kembali, kita bila lagi?

Salam ibadah Ramadhan untuk semua

Husaini Ibrahim @ www.husainibrahim.com
1 Ramadhan 1430
34000 Taiping

0 Responses to “Berdoa untuk yang pergi dan tak kembali lagi”


  1. No Comments

Leave a Reply