Berjalan, melihat dan mentafsir

“Husaini pergi Bandung nanti?” tanya makcikku sejurus mendengar berita daripada emak. Sudah kujangkakan berita ini akan ‘tersebar’ tak lama selepas saya mengkhabarkan emak akan keberangkatanku ke Bandung pada 26 Ogos tempoh hari.

Pemergianku ke Bandung ketika Ramadhan baru saja memberikan salam pengenalannya merupakan anugerah dan rezeki daripada Allah buat saya untuk merantau ke tempat orang kali kedua setelah pernah menjejakkan kaki ke Brunei pada tahun 2007.

“Belum kerja lagi, dah berjalan merata, ” kata abang sewaktu seisi keluarga besar kami berhimpun pada awal Ramadhan lalu sebelum bertolak semula ke Kuala Lumpur.

“Mak dengan abah dah kerja 30 tahun dah, Sabah Sarawak pun tak pergi lagi,” kata mak seraya tersenyum mengusik.

“Nak buat macam mana, dah ada rezeki berjalan..hehe,” jawab saya semula.

Benar, Allah jualah yang merezekikan saya untuk keluar negara (biarpun sekadar di Asia Tenggara) melihat dan memerhati keadaan di negara orang, suasananya, dan persekitarannya.

Indonesia, yang selama ini saya dengar ceritanya hanya daripada khabar-khabar berita, media perdana, mulut orang, dan sebagainya telah saya jejaki di suatu tempat bernama Bandung.

Pengemis berada di mana-mana, pemuzik jalanan yang kadang-kadang muziknya sesedap band terkini, peniaga jalanan yang ‘berani’ berada di antara dua lorong kereta yang berhenti dek lampu isyarat, dan sikap ‘toleransi’ pemandu-pemandu mereka di jalan raya, kesemuanya memberikan satu worldview baru kepada saya.

Tentu sahaja bercerita atau mendengar cerita tidak sama dengan merasai dan mengalami sendiri peristiwa-peristiwa menarik di atas.

Kesemua itu memberikan satu petunjuk dan petanda betapa ciptaan Allah bernama manusia ini walaupun bahasanya hampir sama dengan kita, namun adat dan budaya setempat begitu berbeda.

Apatah lagi jika bahasanya berbunyi seperti,

“Arito gozaimasta..”

“Thank you!”

“Shei..shei yee!”

Tentulah banyak perbezaan yang dapat kita rasai dan alami.

Perbezaan-perbezaan itu mengajar kita untuk meraikan keunikan setiap bangsa dan budaya.

Perbezaan yang diraikan agama itulah yang melahirkan kelapangan dada kita dalan menangani setiap permasalahan

Baik permasalahan agama mahupun permasalahan berkaitan sosio-budaya.

Saya begitu menghargai rezeki dan peluang yang diberikan Allah untuk berjalan ke tempat-tempat orang sebegini.

Dengan melihat, memerhati, dan mencerna serta mentafsir setiap pengalaman di tempat orang, mudah-mudahan akan mematangkan kita dalam mendepani masyarakat yang berbilang ragam dan karenahnya.

Angkutan Kota atau angkut-angkut merupakan pengangkutan awam seperti bas di Malaysia cuma angkut-angkut ialah van yang telah diubah suai tempat duduknya belakangnya.

Saya telah memerhati beberapa figura yang masyhur di negara ini dari segi ketokohan mereka dalam bidang agama betapa mereka amat berbeza dari segi memberi pandangan terhadap persoalan agama dan sosial lantaran sebahagian mereka pernah tinggal lama di luar negara dan sebahagian lagi hanya tetap di tanah Malaya ini.

Bukanlah pandangan mereka yang hanya tinggal di Malaysia ini tidak bagus atau terbuka, cuma mereka yang pernah merantau, belajar, dan menetap di negara-negara luar terutamanya Barat, cara fikir dan cara mereka memandang sesuatu perkara amat berbeza dan ini tidak dapat dicapai melainkan dengan cara memperoleh pengalaman berada di negara orang.

Dalam sejarah Islam juga pernah tercatat betapa al-Imam al-Syafie rahimahullahu Ta’ala pernah berbeda fatwanya ketika berada di Iraq dan Mesir.

Selain faktor wujudnya dalil-dalil baru yang mungkin baru sahaja ditemukan beliau, faktor tempat juga memainkan peranan penting.

Alangkan Kuala Lumpur dan Bandung yang perjalanan menaiki pesawat Boeing AirAsia pun mengambil masa 2 jam 05 minit, inikan pula safar ilmi dari Iraq ke Mesir menggunakan pengangkutan tradisional yang memakan masa berbulan-bulan lamanya.

Tentu sahaja sepanjang perjalanan yang lama dan jauh itu, banyak perkara yang diamati, dicerna dan diolah lantas ditafisr oleh al-Imam al-Syafie rahimahullah Ta’ala, imam agung Mazhab Syafie itu.

Sewajarnya kita juga seperti demikian, tidak sahaja berjalan mengambil angin dan menghabiskan wang Rupiah dan Ringgit Brunei kita di tempat orang, tetapi mengambil iktibar dan pengajaran pada setiap perjalanan kita itu.

Benarlah, jauh perjalanan luas pengalaman, bertambah pengetahuan…seandainya kita pandai mencerna dan mentafsir.

Jika diizinkan Allah, saya akan ke ‘tempat orang’ lagi selepas Lebaran ini, mohon didoakan segala yang positif agar tidak kempunan mengorbankan sesuatu yang saya kira berharga dalam hidup saya. Ameen.

Qul-seeru

(maksudnya): Katakanlah: “Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Al-Ankabut: 21)

Mari berjalan, melihat, dan mentafsir!

Husaini Ibrahim @ www.husainibrahim.com
08 September 2009 / 18 Ramadhan 1430
40400 Shah Alam

2 Responses to “Berjalan, melihat dan mentafsir”


  1. 1siti yusrina nadihah

    Salam Husaini,

    MashaAllah, bestnya dapat pergi “seberang laut”…tak sia-sia saya pernah btau awak…kalau mmg ada pasang niat nak ke seberang laut dan bersungguh-sungguh utknya, pasti Allah kabulkan…:)

    Saya pun bercita-cita nak ke negara Indonesia…kenalan terlalu ramai di situ, baik student Malaysia yg kuliah di sana, mahupun kenalan indonesians….benarlah, Allah ciptakan kita dngn penuh kepelbagaian utk saling berkenalan…li ta’arafu..:D

    kalo udah pernah naik “angkot”, tentunya sempat rasain macetnya kota di sana? benar nggak? (baca dlm dialek indonesia)…

    Apapun, jangan pernah lupa mengambil hikmah di setiap perjalanan….inshaallah.

    Wallahu a’laam

  2. 2husainibrahim

    Salam kembali Yusrina,
    Syukran kerana sudi menyinggah di sini, membuatkan saya tahu Yusrina masih connectable 😉 Pujian untuk-Nyalah yang layak merezekikan saya ke seberang laut yang tak berapa jauh sampai ke Australia itu :-). Sekadar naik angkot-angkot di kota Bandoeng nggak terasa macetnya jalan mereka, itu lebih ketara di kota Jakarta, teh.

    Teringin ke Indo juga ya, tapi itulah suasana anti-Malaya sekarang memang tak menyenangkan keadaan langsung. Mujurlah saya ke Jakarta hanya sehari dan telah pulang ke Malaya ketika keganasan itu mula berlangsung.

Leave a Reply