Catatan Kuliah Maghrib 25 Oktober 2010

-gambar hiasan-

“Alhamdulillah, kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah subhanahu wa Ta’ala atas pelagai kurniaan nikmat yang diberikan Allah subhanahu wa Ta’ala kepada kita, dan dengan sifat Rahim Allah subhanahu wa Ta’ala kita diberikan kemampuan untuk hadir ke rumah Allah subhanahu wa Ta’ala bagi sama menambahelokkan Iman dan Islam kita,” Ustaz Hasrizal Abdul Jamil memulakan kuliahnya pada malam itu di Surau An-Naim, Wangsa Maju dengan mukaddimah biasa.

Biasa bagi sesetengah orang, bahkan mungkin untuk sebahagian besar daripada kita.

Namun, mukaddimah aluan Ustaz seterusnya menyedarkan saya bahawa kata-kata itu tidak sekadar diulang-ulang sahaja.

“Mungkin ada di kalangan kita merasakan seolah-olah perkataan itu merupakan satu pengulangan yang tidak bermakna, kecuali kalau kita benar-benar dapat menghayati mengapa Nabi, antara doa yang baginda selalu membacanya, ialah doa,

“Ya Allah, tolonglah aku supaya aku boleh sentiasa kepada-Mu, bersyukur dengan nikmat-nikmat yang Kau berikan kepadaku, dan sentiasa untuk memperelok ibadah kepada-Mu!”

Perkataan ‘tolonglah aku’ itu menunjukkan rasa rendah diri Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam meminta kepada Allah. Walaupun bagi sesetengah kita, menghadiri majlis ilmu bagaikan rutin harian, namun keberhasilan kita datang ke majlis ilmu benar-benar satu kurniaan nikmat daripada Allah subhanahu wa Ta’ala, hurai Ustaz lagi.

ULUL ALBAB

Tak disangka dalam pertemuan kali ini, tajuk ini disentuh oleh Ustaz dalam kuliah Maghribnya kali ini. Beberapa waktu yang lalu, Dr Mohd Asri ada menyentuhnya dengan lebih spesifik menjurus kepada peranan politik dalam melahirkan rakyat yang Ulul Albab.

Rakyat yang matang dan berpengetahuan tinggi.

“Ulul-Albab adalah golongan yang mempunyai pengetahuan yang matang di mana mereka bersedia mendengar dan kemudian pilihan yang terbaik cuma selama ini ia tidak diangkat oleh kepimpinan negara.

“Justeru, parti politik yang bertanggungjawab adalah parti yang menjadikan rakyat sebagai bangsa Ulul-Albab iaitu rakyat yang berpengetahuan.

“Bukan pemimpin yang hanya menyuruh rakyat mengikut telunjuk mereka walaupun apa yang diikut itu sememangnya salah,” Dr Asri – laporan themalaysianinsider

Ulul Albab yang disentuh Ustaz lebih menyeluruh. Berdalilkan ayat yang sama yang digunakan oleh Dr Asri, iaitu daripada surah Az-Zumar ayat ke-18,

(maksudnya): “Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.”sumber terjemahan

Albab adalah jamak daripada perkataan Lub yang bermaksud intipati atau essence. Golongan Ulul Albab ialah orang yang mendapat intipati, people who gets the essence.

Syaratnya telah Allah kemukakan dalam ayat di atas, iaitu mereka yang mendengar daripada pelbagai sumber dan memilih yang terbaik antaranya.

MENDENGAR DENGAN BETUL

“Izinkan saya untuk menyebut atau mengulang apa yang pernah saya sebutkan di sini, 3 tahun lalu seingat saya, oleh Stephen Covey tentang cara mendengar yang salah,” kata Ustaz lagi.

1.    Buat-buat dengar

“Aku ini ada masalah..bla..bla..bla… Eh, kau dengar tak aku cakap apa ni?”

Sambil buat-buat terkejut, “Eh, engkau cakap apa tadi?”

2.    Mendengar apa yang nak didengar sahaja

“Teruklah aku, macam mana ni, isteri aku kena tukar ke Sabah,” adu si pengadu dengan nada susah hati.

Jawab si pendengar, “Ha, Sabah? Uih, aku dengar udang-udang kat Sabah besar-besar. Mesti best dapat makan udang segar selalu.”

3.    Dengar sekadar dengar perkataan

-maksudnya tidak melihat sub-text, body language, facial expression, dan nada suara sedangkan itu juga penting.

4.    Mendengar secara self-centered

Terdapat 3 sub-jenis di bawah mendengar jenis ini iaitu:

  • Berlegar dalam konteks sendiri, lantas akan cepat menghukum
  • Mendengar ala-ala “zaman kami dahulu…” – selalu ‘menimpa’ golongan alumni sekolah.
  • Mendengar ala-ala gaya penceroboh

o   Tidak menghormati privasi orang lain

o   Memaksa untuk bercerita

Kemudian, Ustaz menyimpulkan sekali lagi tentang karakteristik golongan Ulul Albab berdasarkan ayat yang dipetik iaitu,

  • Mendengar dahulu (daripada pelbagai sumber)
  • Memilih yang terbaik
  • Kemudian, Allah akan memberi kunci kepada penyelesaian (sebarang masalah).

KISAH ZULKARNAIN DAN YAKJUJ MAKJUJ

Setengah jam telah berlalu.

Saya hampir menyangka kuliah malam itu akan berkisar tentang Ulul Albab sahaja, sementelahan tajuk itu pun agak ‘sedap’ dan banyak isi untuk dikupas.

Kisah Zulkarnain dan Yakjuj dan Makjuj ialah kisah terakhir dalam 4 kisah yang diceritakan oleh al-Quran dalam surah al-Kahfi.

Ustaz memulakan kisah ini dengan memberitahu bahawa antara buku yang baik tentang kisah Zulkarnain, ialah buku karangan Muhammad Khair Ramadhan Yusuf yang bertajuk asalnya Zulkarnain al-Qaed al-Fatih wa al-Hakim al-Soleh.

-source-

Penulis berkenaan, kata Ustaz, ketika ingin menulis kitab tersebut telah bertanyakan kepada seorang ulama terkenal, dan jawapan ulama berkenaan amat mengejutkan iaitu, kisah Zulkarnain tidak perlu ditulis kerana engkau tidak akan mendapat jawapan dan kesimpulan daripada kisah itu.

Setelah berjaya menghasilkan buku tersebut, penulis berkenaan mengakui kata-kata ulama tersebut.

Dua perkara penting yang dapat disimpulkan dapat kisah Zulkarnain dan Yakjuj dan Makjuj iaitu, kisah ini merupakan puzzle yang sukar dirungkaikan. Dan yang keduanya, terdapat 10 misteri yang sukar diselesaikan tentang Zulkarnain.

“Oleh itu, maka hendaklah kita balik kepada sebab Allah menurunkan surah al-Kahfi iaitu sebagai jawapan kepada Musyrikeen Makkah yang bersekongkol dnegan para rahib Madinah untuk mengadakan serangan intelektual terhadap Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam,” Ustaz mengingatkan semula hadith yang pernah beliau sebut pada awal-awal dulu ketika mula ingin membicarakan kisah-kisah dalam surah al-Kahfi ini.

PENUTUP

Kuliah pada malam itu hanya menyentuh serba sedikit tentang Zulkarnain dan Yakjuj dan Makjuj. Ini kerana pendetilan kisah tersebut akan disebut pada kuliah-kuliah akan datang.

Tentang Yakjuj dan Makjuj.

Dan tentang tembok yang dibina Zulkarnain, adakah telah runtuh ataupun masih ada, kerana Nabi sallallahu ‘alahi wasallam pernah terkejut apabila Allah subhanahu wa ta’ala pernah memperlihatkan baginda dalam mimpi, amaran Yakjuj dan  Makjuj terhadap umat Arab ketika itu.

Ustaz mengakhiri kuliahnya dengan kalam, “kalau kita berketurunan Nabi sekalipun, tetapi perangai macam Abu Lahab! – yang terkenal di sana sini akhir-akhir ini – tempat kita tetap di dalam neraka bersama Abu Lahab yang mengganggu dakwah Nabi sallallahu ‘alahi wasallam.”

Muatturun di 4shared.com [KLIK], Mediafire.com [KLIK]

Husaini Ibrahim @ www.husainibrahim.com
2151 | 31 Oktober 2010 | 23 Zulhijjah 1423
68000 Ampang

2 Responses to “Catatan Kuliah Maghrib 25 Oktober 2010”


  1. 1lanwm

    jazakallah khair akhi atas perkongsian ini

    Malam tu tak dapat ikut serta =(

  2. 2Husaini Ibrahim

    Wa iyyak! Apa-apa yang boleh ana kongsi, ana kongsikan. Alhamdulillah.

Leave a Reply