Cukuplah dengan yang pertama

“Kak Ngah, tolong Ummi tengok-tengokkan Solehah ye. Ummi nak masak,” pinta Ummu Husna kepada anak keduanya sambil menyua talam berisi sepiring biskut dan air teh sebagai kudapan ringan sebelum waktu makan tengahari.

“Ok,” jawab Kak Ngah ringkas.

Tidak lama kemudian…

“Kak Ngah, tolong ambilkan Kak Long air. Kak Long haus la,” kata Kak Long yang sedari tadi asyik dengan buku cerita.

“Ala, Kak Ngah tengah tolong Ummi jaga Solehah ni. Tak nampak ke?“ balas Kak Ngah pula sambil terus melayan Solehah.

Kak Long bangun dengan wajah masam.

Ada sesuatu yang tidak digemari dengan ayat terakhir adiknya itu.

PERTAMA OK, KEDUA KO

Ummu Husna bergegas mendapatkan kedua-dua anaknya itu sejurus merasakan sesuatu yang tidak enak sedang berlaku.

“ Kak Long, Kak Ngah. Ke mari sekejap,” ujar Ummu Husana seraya terus duduk di sofa.

“ Ada apa Ummi?” tanya Kak Long dan Kak Ngah hampir serentak.

“ Ummi nak cakap sikit. Bolehkan?” tanya Ummu Husna meninjau kesediaan mereka.

“ Boleh,” Kak Long menjawab. Kak Ngah pula hanya mengangguk-angguk mengiyakan.

“ Begini. Tadi Ummi dengar Kak Long minta tolong Kak Ngah, tapi Kak Ngah tak boleh tolong. Ayat pertama Kak Ngah ok, tapi ayat kedua ko,” ujarnya seraya tersenyum memandang wajah mereka.

Kak Long dan Kak Ngah saling berpandangan. Nampak berkerut wajah mereka mendengar bicara saya. Tapi entah kenapa, tiba-tiba pecah ketawa mereka.

“ La, kenapa ketawa pulak, “ giliran Ummu Husna pula kehairanan melihat mereka tertawa.

“ Ummi cakap tadi tu. Kelakar. Satu ok, satu ko,” jelas Kak Long masih ketawa kecil.

“Oh..maksud Ummi begini. Jawapan pertama Kak Ngah pada Kak Long iaitu Kak Ngah kata sedang jaga Solehah, jadi tak dapat tolong Kak Long. Ayat tu ok. Tapi, jawapan Kak Ngah seterusnya :’Tak nampak ke?’ itu ko.

Tak baik cakap begitu. Perkataan macam tu boleh menyebabkan orang yang mendengar sakit hati dan marah. Kalau Kak Ngah atau Kak Long tak boleh bantu cukup dengan terangkan kenapa tak boleh, tak perlu ayat kedua tadi yang menjadikan orang benci dan sakit hati,” jelas Ummu Husna dengan panjang lebar.

CUKUP DENGAN YANG PERTAMA

Benar, tanpa disedari ramai di kalangan kita yang suka mengirini ayat pertama dengan ayat kedua yang tidak perlu bahkan menyakitkan hati.

Seakan-akan ia komplimentari kepada ayat pertama yang sudah sedia lengkap frasa dan isinya.

“Puan, kami dah terima surat permohonan (berhenti kerja) Puan. Sayang ye, Puan berhenti di zaman orang lain berebut-rebut mahu bekerja makan gaji,” sinis bicara seorang pekerja di Kementerian Pelajaran.

“ Saya nasihatkan isteri awak dapatkan rehat secukupnya. Tiap-tiap tahun beranak, awak tak sayang isteri ke?” ujar seorang doktor perempuan kepada sepasang suami isteri yang baru menimang cahaya mata ketiga.

“ Aslina, kenapa adik awak menangis tiba-tiba ni. Gila ke?” kata seorang guru lelaki kepada adik kembar Ummu Husna ketika mereka masih berusia sangat muda, lapan tahun. Baru darjah dua!

Jelas sekali, ia hanya komplimentari bukan untuk mencantikkan frasa bahkan menyakitkan rasa!

Kewujudan ayat kedua yang ‘KO’ tu sebenarnya sebahagian daripada kesilapan manusia dalam menghargai dan menghormati fungsi lidah dan lisan.

Juga kesilapan manusia dalam menggunakannya sehingga mengabaikan perasaan orang lain.

Benar kata-kata yang masyhur:

lidah dan mulut, bila berkata-kata boleh menyakitkan hati sehingga bila keterlaluan boleh membuat orang lain mahu membunuh diri – Fr Cladius

Justeru, ayuhlah kita elakkan kata-kata seperti ayat kedua di atas dalam percakapan kita.

Tiada manfaat dari kata-kata seumpama itu, sekadar melambangkan hati yang masih perlu dirawat dan dicuci dengan bisikan zikrullah dan peringatan dari Ilahi.

Katakan yang pertama tanpa ada ‘yang kedua’ yang menyesakkan dada dan menimbulkan luka dijiwa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Dari Abu Hurairah radhiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda: Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata baik atau diam, siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia menghormati tetangganya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jagailah lidah dan percakapan kita, cukuplah dengan yang pertama!

**Dipetik, diadaptasi dan diedit daripada entri asal, karangan oleh Ummu Husna. Beliau merupakan isteri kepada pendakwah dan ekonomis Muslim tersohor di Malaysia, UZAR.

0 Responses to “Cukuplah dengan yang pertama”


  1. No Comments

Leave a Reply