Hari pertama meninggalkan DNA, sel, dan ‘keluarganya’

Tidak siapa menyangka subjek-subjek pengkhususan major yang memperkenalkan saya dengan sel-sel, DNA, kejuruteraan tisu, mikrobiologi dan sebagainya berakhir dengan saya melaporkan diri sebagai Jurutera Perisian di BIT (M) Sdn Bhd pagi tadi.

Kejutan pertama yang saya terima ialah pada Morning Briefing atau kuliah agama pagi yang disampaikan oleh mentor yang selama ini saya ikuti kuliahnya, Ustaz Abu Saif Hasrizal Abdul Jamil

“Assalamualaikum Ustaz, kebetulan saja saya baru lapor diri di sini hari ini, ” bicara dimulai sambil tangan dihulur untuk bersalaman.

“Wa’alaikumussalam warahmatullah, ooh…kecil betul dunia ya,” tangan dan salam bersahut sambil senyum disedekahkan di pagi hari.

Kuliah pagi tadi berkisar tentang al-Quran sebagai intipati Ramadhan dengan tumpuan diberikan kepada kefahaman dan keperluan asas dalam beriman kepada Al-Quran sebagai kalam wahyu dari Ilahi.

Kuliah selama sejam itu diakhiri Ustaz dengan membentangkan adab-adab dengan al-Quran secara ringkas.

Sewaktu mengisi borang KWSP untuk dipohon nombor akaunnya kelak, saya dipanggil untuk sedikit taklimat bersama supervisor dan bakal rakan sekerja untuk satu projek baru.

Dengan minggu depan akan dihantar untuk mendalami ilmu berkenaan si Topi Merah Linux di Bandar Utama, Damansara, saya mula mengetahui sesuatu yang akan mengecewakan beberapa pihak termasuk diri sendiri juga.

Kejutan kedua.

Yang sudah saya jangka tetapi berharap untuk tidak terjadi. Namun, ia dirancangkan untuk tetap terjadi, Insya Allah. Saya bakal berkongsi tentangnya apabila masanya telah sampai.

‘ORIENTASI’ PERTAMA

“Husaini mana, Husaini? Suruh dia azan..bagi orientasi sikit,” pinta seorang staff seraya bergurau mengatakan ini sebagai ‘orientasi’ saya sebagai pekerja baru di syarikat ini.

Sebetulnya pada waktu itu, para staff baru sahaja menamatkan sesi tadarus yang diadakan di surau syarikat. Di sinilah saya diperkenalkan dengan CEO syarikat yang kebetulannya satu grup tadarus dengan saya. Kelihatannya beliau begitu merendah diri, senang didekati, dan mesra dengan orang bawahannya.

Secara tipikal dan kebiasaannya, jarang-jarang sekali CEO sebuah syarikat ingin bersama staff bawahan dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di syarikat tersebut apatah lagi melibatkan aktiviti agama yang dijalankan secara berkumpulan seperti bertadarus dan solat berjemaah.

Syukur, Alhamdulillah…this is what we called Muslim CEO.

Usai masuk waktu Asar sahaja, En Zamri, Penolong Pengarah di  jabatan saya, Software Services Division pula meminta saya mengazankan sekali lagi.

“Tak apalah, ini satu penghormatan buat Husaini,” katanya kepada saya. Tanpa membuang masa, azan dilaungkan menyeru staff BIT untuk naik ke surau di tingkat 3 menunaikan solat Asar secara berjemaah.

Setelah solat ditunaikan, bacaan Hadith-hadith Nabawi diadakan oleh salah seorang staff berdasarkan sebuah buku dari Indonesia sebagai peringatan dan tazkirah untuk ahli Jemaah.

Masuk sahaja jam 5 petang, saya bersiap menuju pulang di kediaman ‘baru’ di Seksyen 26,  Shah Alam.

Pengalaman hari pertama bukan sebagai pengamal ilmu bioteknologi di syarikat ini memberikan gambaran menarik dan positif tentang syarikat ini.

My first impression is the company is Islamic and Muslim. Islamic in environment, and run by truly Muslim people and staff.

Apa tugas saya di sini?

Saya bukan lagi enjineer biotek. Heh.

Husaini Ibrahim @ www.husainibrahim.com
1 September 2009
53100 Gombak

9 thoughts on “Hari pertama meninggalkan DNA, sel, dan ‘keluarganya’

  1. “Yang sudah saya jangka tetapi berharap untuk tidak terjadi. Namun, ia dirancangkan untuk tetap terjadi, Insya Allah.”

    Apa yg tetap nak terjadi ni?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *