Hujan Emas di Sydney – Berlepas dari Changi

08 SEPT 2018 | SABTU | 06.50 PETANG | JOHOR BAHRU

Shuttle Starex yang dijanjikan untuk mengambil kami masih belum sampai, janjinya jam 06.00 petang tetapi hampir sejam masih belum sampai. Dari tanah negeri Harimau Selatan, kami akan menyeberangi Selat Tebrau ke negara Temasek untuk menaiki penerbangan daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.

Ini merupakan perjalananku pertama kali menaiki penerbangan dari Changi. Yelah, selalunya naik AirAsiaX dan MAS sama ada dari KLIA2 mahupun KLIA. Kitakan rakyat Malaysia mestilah nak sokong syarikat penerbangan tempatan lagipun kemudahan lapangan terbang dari segi tempat makan dan bersolat yang kita dah biasa.

FLYSCOOT (https://www.flyscoot.com)

Image may contain: 1 person, smiling

Trip ke Sydney ini ditakdirkan semasa mencari-cari tiket tempoh hari, rupanya ada rezeki nak naik FlyScoot dari Singapura. Merupakan syarikat tambang murah milik Singapura bekas TigerAir, Scoot ini kira macam AirAsia versi Singapura la.

Setelah mengambil kira perbezaan tambang dengan kapasiti penumpang yang majoriti dari Johor, tambang ke Sydney dari Singapura lebih kompetitif berbanding kadar masa itu jika membeli melalui AirAsiaX atau MAS dari Kuala Lumpur ke Sydney.

FlyScoot juga menyediakan makanan halal bagi penerbangan pergi dan pulang ke Sydney dan pilihan penerbangan lain aku rasa. Jadi, naik dari KL ataupun Changi, dengan tambang yang lebih murah termasuk 20kg bagasi dan pilihan makan, kami pilih naik Scoot dari Changi.

Tanda H dalam logo berwarna hijau menandakan Halal

SINGAPORE CHANGI AIRPORT

Sebelum ini aku tertanya-tanya juga apa sebenarnya yang menyebabkan Changi Airport ini selalu menang World Airport Award Top 100 Skytrax 2018 (http://www.worldairportawards.com/awards/world_airport_rating.html), sampai sahaja barangkali ini tekaan aku adalah kerana setiap syarikat penerbangan telah diasing-asingkan mengikut terminal tertentu.

Jika di KLIA dan di KLIA2 kesemua syarikat penerbangan diletakkan di bawah satu bumbung menyebabkan ruang legar lapangan terbang menjadi amat luas dan kadangkala sukar nak mencari hala tuju, di Changi pembahagian penerbangan mengikut terminal ini amat memudahkan. Terminal 2 yang menjadi tempat operasi FlyScoot tidak sebesar dan sebanyak level KLIA menjadikan urusan check-in agak mudah dan pergerakan tidaklah sejauh dan selapang di KLIA mahupun KLIA2.

Terdapat juga Terminal 1 dan 3 yang menjadi lapangan operasi penerbangan-penerbangan lain sama ada pelepasan mahupun ketibaan. Jadi, kita takkan bertembung dengan penumpang dari penerbangan lain yang akan mengakibatkan kesesakan di terminal.

10.00 MALAM| CHECK-IN

Pada mulanya kami beratur di barisan kaunter yang ditetapkan apabila kaunter daftar masuk untuk penerbangan ke Sydney telah dibuka. Rupanya kami perlu mencetak sendiri tag bagasi dan boarding pass di kiosk-kios yang ada di sekitarsekiranya belum ada sebelum boleh ke baggage drop check-in.

Aku mengambil semua passport yang kami telah kumpul siap-siap dan membahagikan antara aku, isteriku dan Adik agar proses ini dapat berjalan dengan cepat. Staf tadi yang perasan kami rupanya grup yang agak ramai terus memanggil aku dan bertanya jumlah bilangan kami lalu mencadangkan kami menggunakan khidmat group check-in di barisan kaunter sebelah.

“Boleh pun rupanya group check-in, baru tau kami ni ramai” getus ku dalam hati.

***

Selesai daftar masuk beserta kesemua bagasi, kami ambil tempat di deretan kerusi-kerusi yang ada untuk makan malam bekal dari Johor. Berkelahlah kami dengan segala nasi putih, kari ikan, dan ayam KFC yang dibawa di Johor. Semuanya kena dihabiskan sebelum menaiki flight kerana tiada makanan luar boleh dibawa naik ke atas.

Jam 11.00 malam, kami masuk melepasi melepasi pemeriksaan Imigresen dan kawalan ringkas keselamatan untuk ke dewan berlepas dan terus menuju ke Prayer Room disediakan memandangkan kami belum menunaikan solat Maghrib dan Isyak. Flight kami diijangka berlepas jam 01.30 pagi nanti jadi punya jangka masa waktu yang agak senggang untuk menyelesaikan segala urusan sebelum  boleh mula boarding jam 12.45 tgh malam nanti.

Jumpa nanti di Sydney!

M. Husaini
14:00 21 September 2018 | 11 Muharram 1440H
68100 Batu Caves

Leave a Reply

Your email address will not be published.