Hujan Emas di Sydney – Hari ke-2

10 SEPT 2018 | ISNIN | 09.00 PAGI | BLUE MOUNTAINS, KATOOMBA

Seawal 8 pagi, kami bersarapan dengan bekal ready-to-eat Syarifah yang dibawa, kemudian terus bersiap untuk check-out dari motel. Dah bersiap-siap untuk naik van ke kawasan pergunungan Three Sisters, staf motel mencadangkan agar kami berjalan kaki sahaja memandangkan kawasan tersebut hanya kira-kira sekilometer dari motel kami dan nantinya sukar untuk parkir di sana. Kami pun turun dan berjalan menyelusuri jalanraya menuju ke sana, hanya kira-kira sepuluh minit sahaja berjalan kaki. Campur sekejap-sekejap berhenti ambil gambar jadi lebihla sikit tempoh perjalanan tu.

Jujurnya, aku asalnya tak berapa tahu kenapa pergunungan Three Sisters dan Blue Mountain ini menjadi tarikan pelancong jika di Sydney cuma yang lalu diingatanku coretan sepintas lalu lagi bersahaja tentang puncak Three Sisters pernah dicatatkan dalam salah satu novel Hlovate, iaitu Contengan Jalanan. Pelancong telah ramai pabila kami tiba di sini, beberapa buah rombongan bas sekolah turut kelihatan. Ada juga pelancong tempatan yang datang dari bandar Sydney yang sempat kami tanya-tanya.

Pergunungan Blue Mountains ini adalah jajaran panjang gunung-gunung yang bersambung antara satu sama lain yang boleh dilihat dari jauh, iaitu di Queen Elizabeth Lookout. Dari Lookout point ini juga boleh dilihat puncak Three Sisters yang berbentuk 3 puncak batu yang dikatakan mempunyai lagenda di sebalik nama Three Sisters itu.

Dari Blue Mountains Drive, kami bergerak ke Scenic World yang berada kira-kira 5km dari sini yang menempatkan pusat untuk aktiviti-aktiviti yang ingin dijalankan jika datang ke pergunungan Blue Mountains ini, iaitu menaiki Skyway merentasi lembah antara 2 gunung, menuruni lembah menggunakan tren dengan kecuraman tertinggi pernah dituruni tren dan juga menaiki walkway. Ketiga-tiga aktiviti memerlukan bayaran sekitar AUD33 seorang. Cableway ditutup seketika dalam pembaikan ketika ini. Memandangkan kami ingin mengejar masa pulang ke bandar dan seterusnya menuju ke Cooranbong petang ini, jadi kami hanya mengambil gambar di sekitar kawasan ini. Dari sini juga boleh nampak puncak Three Sisters dari jauh yang juga mendatangkan suasana cantik. Jika masa mengizinkan, nak juga buat ketiga-tiga aktiviti itu, kataku dalam hati. Bukan senang nak sampai Sydney kemudian ke Blue Mountains, nak mengulang semula lepas ini belum tentu.

CABARAN BATERI VAN LEMAH

Asalnya sekadar nak berhenti ambil gambar di depan Scenic World ini, tetapi dah kesemuanya turun dan enjin van dimatikan di depan bangunan ini, sebahagian pergi ke toilet, ada juga yang mengambil gambar di bahagian atas restoren, tidak kurang membeli souvenir yang agak murah dan menarik di sini. Sebaik sahaja enjin van nak dihidupkan, tetapi gagal. Beberapa percubaan untuk menghubungi syarikat sewa empunya van juga menemui jalan buntu hinggalah ada yang perasan ada nombor pihak ketiga untuk dihubungi terletak di bahagian kunci van tersebut sekiranya ada apa-apa breakdown berlaku. Perbualan berlangsung selama 10-15 minit lebih, dalam pada itu, ayah telah turun mencari bantuan daripada orang sekeliling. Syukur alhamdulilah, ada kontraktor yang sedang bekerja tidak jauh dari kawasan tersebut datang kepada ayah dan kami membawa portable jump startnya. Sekali sahaja disambungkan, dan terus boleh menghidupkan enjin van dan rupa-rupanya kedapatan garfu plastik di kawasan bateri van yang terletak di bawah tempat duduk. Aku pula memaklumkan kepada pihak Raceque agar membatalkan bantuan yang sedang dihantar kepada kami dalam jangkaan ketibaan lagi 15 minit.

2.00 PM | AUBURN

Kedatangan kami ke Sydney antara tujuan utamanya ingin menziarahi dua pupu kami yang menetap di Cooranbong, 2 jam ke utara Sydney. Namun, turut mendapat perhatian dan makluman sepupu ayah yang menetap di Auburn, Sydney sejak 2 tahun yang lalu. Beliau memberi alamat rumahnya di Auburn dan menjemput kami untuk singgah. Dari Katoomba, kami singgah ke rumah Auntie N di Auburn yang terletak di Sydney dan dijamu olehnya makan tengah hari. Pelbagai cerita bertukar maklumat hingga 2 jam lebih kami di sana. Antie N, warga Singapura merupakan suri rumah berkahwin dengan suaminya orang Australia, dulunya kedua-duanya menetap di Singapura dan baru saja berpindah ke Australia 2 tahun lalu. Menurutnya, Auburn kawasan senang diduduki sementelah kawasan dikenali sebagai majoriti Muslim di Sydney. Juga terdapat sebuah masjid agak besar yang berbentuk masjid yang biasanya jarang didapati di negara bukan Islam terdapat di Auburn.

4.30 PM  | MASJID GALIPOLI, AUBURN

Dari rumah Auntie N, kami menuju ke Masjid Galipoli, binaan kerajaan Turki yang terletak tak jauh dari rumahnya, juga boleh dilihat dari tepi jalan. Biasanya masjid di luar negara terutama di negara yang bukan majoriti Muslim, bangunan masjid biasanya dibeli samaada rumah besar diubahsuai atau bangunan bertingkat dibeli dan diubahsuai. Masjid binaan Turki lain sikit, mereka memang membinanya seperti masjid biasa, dengan kubah besar dan menara seakan-akan masjid-masjid di negara Muslim, walaupun terletak di negara bukan Muslim. Ini kali kedua aku perhatikan, masjid binaan Turki di luar negara, kali pertama ialah Masjid Chamii di Tokyo.

Menarik lagi di masjid ini, jemaah tidak dibenarkan bersolat dengan kaki tanpa memakai stoking atas alasan kesihatan. Aku tak pasti kenapa tapi aku dapati agak menarik dari segi menjaga kebersihan karpet. Tempat wuduk yang terletak di bahagian bawah masjid juga kenapa pakai kasut malah disediakan tisu untuk dikeringkan air wuduk  sama ada di seluruh badan atau kaki sahaja sebelum memakain stoking untuk naik  bersolat. Turut disediakan stoking murah berharga AUD2 untuk sesiapa yang mungkin hadir ke masjid tidak berstoking boleh membelinya dan sumbangan akan masuk ke tabung masjid.

Dari Masjid Galipoli, adik menyarankan kami ke Tokyo Park untuk melihat taman-taman bunga yang tika ini telah pun masuk musim bunga tetapi telahpun tutup memandangkan waktu telah pun hampir 5.30 petang, mendekati waktu Maghrib.

UNLEADED FUEL

Sebelum meneruskan perjalanan ke Coranboong, kami berhenti untuk mengisi petrol buat pertama kali di stesen berdekatan. Keperluan van ini hanya unleaded fuel jadi terdapat beberapa pilihan di stesen ini. Seperti di US dan beberapa negara lain yang tidak mengawal harga minyaknya, harga minyak di sini berbeza antara satu stesen dengan stesen lain. Bahkan jika terdapat beberapa jenis minyak, juga berbeza harganya.

Secara umumnya, harga diesel di sini lebih mahal daripada harga petrol tidak seperti di Malaysia.

6.00 PM  | MASJID AL-NOOR, AUBURN

Berseberangan dengan stesen minyak ialah Masjid al-Noor, juga salah satu masjid yang terdapat di Auburn ini. Kami terus ke sana menunaikan solat memandangkan waktu Maghrib telahpun masuk. Dengan masuknya waktu Maghrib ini maka telah masuk 1 Muharram 1440H, tahun baru Hijrah bagi tahun ini. Baru perasan rupanya sambut Awal Muharram di Sydney.

Tidak seperti masjid Galipoli, masjid al-Noor hanya terdiri bangunan empat segi seperti Dewan Perniagaan. Rasanya seperti bangunan kedai atau showroom dibeli dan diubahsuai. Bahagian dalamnya juga tidak seperti masjid Galipoli yang penuh hiasan seperti masjid-masjid di Malaysia.

Selesai solat kami terus berangkat membelah malam ke utara Sydney, Cooranbong yang terletak kira-kira 117 KM mengambil masa satu jam setengah perjalnan melalui motorway atau lebuhraya.

Selamat sampai di kediaman dia pupu kami, Kak D di Cooranbong kira-kira jam 9 malam dan Alhamdulillah akan berada di sini selama 2 malam.

Esok, insha Allah akan melawat di Cooranbong dan kawasan sekitarnya. Nantikan hantaran berikutnya!

***

TAKE HOME NOTES:
SCENIC WORLD FARE
(merangkumi aktiviti Railway Rides, Walkway dan Skyway)
Adult: AUD33
Child (4-13): AUD18

MASJID-MASJID DI AUBURN
Masjid Galipoli (binaan kerajaan Turki – rekaan masjid di Turki)
Masjid al-Noor

___
M. Husaini Ibrahim @ www.husainibrahim.com
18:00 | 20 Muharram 1438H | 01 Oktober 2018
68100 Selayang

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *