Hujan Emas di Sydney – Hari ke-4 (Featherdale Wildlife, Olympic Stadium)

08:00AM | 12 September 2018 | Cooranbong

Kami bersiap awal pagi dengan bersarapan dan bergambar-gambar bersama keluarga Kak D, bayinya yang berusia 3 bulan Zidie dan suaminya sebelum berangkat kembali ke bandar Sydney hari ini. Layanan yang warming daripada mereka menumpangkan kami selama 2 malam amatlah kami hargai sangat-sangat. Jika bukan kerana mereka, manakan kami sampai ke pekan Cooranbong yang jauh dari bandar Sydney ini dan menikmati suasana yang lain yang biasa lagi unik daripada pelancong-pelancong lain.

Sekitar jam 8.30 pagi, kami bertolak menuju ke bandar Sydney dengan destinasi pertama di perjalanan adalah di Featherdale Wildlife Park, yang terletak di Doonside, NSW untuk bertemu dengan kangaroo dan koala! Siapa tak nak jumpa kedua-dua binatang ikonik dan identiti kepada negara Australia ini.

11:00AM | Featherdale Wildlife Park, Doonside

Doonside terletak kira-kira 45km sebelum sampai ke bandar dan terletak sedikit barat dari Sydney mengambil masa kira-kira 40-45 minit perjalanan menggunakan van. Bagi pelancong yang ingin menaiki pengangkutan awam, ada tren dari Central Station ke Blacktown Station, kemudian menaiki bas ke Kildare Road dengan keseluruhan perjalanan mengambil masa sejam ke sejam setengah.

Tambang masuk:

Dewasa $32.00
Kanak-kanak (3-15 tahun) $17.00
Pelajar / Pesara $27.00
Warga Emas $21.00
Family (2 adults/2 children) $88.00
Family (2 adults/1 child) $71.00
Family (1 adult/2 children) $58.00
Breakfast with a Koala – Adult $55.00
Breakfast with a Koala – Child $45.00

Untuk warga emas, perlu menunjukkan passport untuk membuktikan umur lebih 60 tahun ke atas, manakala untuk pesara sebaik-baiknya ada kad pencen yang dwi-bahasa. Mak cuba dengan kad pencen Malaysia yang berbahasa Melayu walaupun akhirnya dibenarkan tetapi jenuh juga nak insist maklumkan bahawa ia kad pesara kerajaan Malaysia.

Untuk membeli tiket, memandangkan di sini sangat digalakkan penggunaan kad kredit, petugas akan memanggil sesiapa yang sedang beratur untuk dibantu membeli tiket dengan lebih cepat. Juga, tiket boleh dibeli siap-siap melalui dalam talian, tetapi hendaklah sampai pada waktunya kerana waktu dalam tiket online agak terikat, maksudnya jika kita dah beli tiket untuk masuk pukul 10 pagi, kita kena datang dan sampai ke situ pukul 10 pagi. Jadi,jika kita dari jauh agak susahlah nak jangka waktu kita sampai, jadi beli di kaunter adalah pilihan kedua.

Di sini ada haiwan yang dibiarkan terlepas begitu saja, ada yang terkurung dalam sangkar, ada yang boleh berlegar-legar ke semua tempat. Bahkan ada burung yang siap masuk ke sangkar burung lain kemudian terbang semula, jangan risau tak bahaya cuma apabila tak biasa jadi macam kelakar dan jakun sikit.

Untuk memberi makan kepada kangaroo, makanan ada dijual dekat pintu masuk dengan harga $2 secawan. Ada kawasan untuk beri makan kepada kangaroo yang dibiarkan terlepas dalam laluan kita tu, tetapi masih berpagar, kita boleh beri makan dari tapak tangan kita. Kadang-kadang depa ni taknak makan tu sangat, depa makan carrot yang dah ada dalam bekas makanan depa. Jadi, kalau depa reject makanan hat kita beli tadi, kita boleh ambil carrot dalam bekas makanan tu hulur untuk depa makan sambil boleh berselfie!

Koala agak mengecewakan, nak pegang koala dan bergambar kena ambil pakej $25 sekeping, dekat RM75 weih! Jika tidak, koala-koala lain hanya boleh dilihat dari jauh asyik bergayut pada dahan pokok, serupa macam gambar koala yang selalu kita tengok tu. Banyaknya yang tido kemalasan.

Di sini, ada aktiviti yang boleh kita lakukan sambil melihat-lihat haiwan iaitu mengambil cop berbentuk binatang dan dicop ke dalam tiket berbentuk passport yang kita beli masa mula-mula tadi.

Punyalah penat aku, isteriku dan Adik berpusing mencari-cari spot cop itu nak penuhkan kesemua 7 binatang dalam tiket passport kami, akhirnya sebelum pintu keluar ada dikumpulkan kesemua cop itu di satu tempat. Adeh!

01:30PM | JASMINE ONE Lebanese Restaurant, Auburn

Awalnya, kami menyangkakan akan berada lama di Featherdale Wildlife Park, tapi rupanya seputar sejam setengah dah habis pusing satu taman. Jadi, kami decide untuk makan tengah hari di kawasan Muslim majoriti yang dah pergi haritu iaitu di Auburn. Restoren Jasmine ONE di Auburn ini merupakan restoren Lubnan, sangat direkomendasi oleh Kak Wi, senior yang kami jumpa pada hari pertama sampai di Sydney tempoh hari.

Apa lagi, dapat makan nasi Arab dengan kambing merupakan nikmat di negara asing ni. Alhamdulillah.

Selesai makan tengah hari, kami menuju ke Masjid Galipoli yang haritu telahpun kami singgah. Restoren Jasmine One dan Masjid Galipoli sangat dekat, boleh nampak dari seberang jalan, malah rasanya jika berjalan kaki hanya mengambil masa kira-kira 5 minit sahaja.

Memandangkan kami dah berada di Auburn, salah satu tempat yang telah dirancang adalah untuk ke Stadium Olimpik Sydney. Perancangan asalnya pada hari Jumaat tapi kami terus ke sana memandangkan sudah dekat dan tidak jauh dari lokasinya.

04:00 PM | ANZ STADIUM, Sydney Olympic Park

Ini kali kedua aku ke Stadium Olimpik, kali pertama semasa trip ke Korea Selatan awal tahun lepas. Isteriku dan Adik pula bagi mereka, kali ketiga. Mereka pernah melawat ke Stadium Sarangburung di Beijing, China pada tahun 2008. Kami bergambar kenangan di sini dan membuat aksi-aksi comel untuk dirakam buat tatapan di hari-hari mendatang.

Dari Auburn, kami berkejar ke bandar Sydney untuk memulangkan van sewa dan seterusnya daftar masuk ke hotel untuk penginapan buat hari-hari seterusnya sehingga pulang kelak. Minyak van perlu diisi penuh sama seperti waktu mengambil van tempoh hari. Malangnya, menuju ke bandar, kesesakan hampir sejam melewatkan kami untuk sampai di pejabat East Coast Car Rental sebelum pejabat ditutup. Kami terus ke hotel untuk daftar masuk dan terpaksa menggunakan parkir di bangunan Capitol Square di sebelah hotel untuk parkir semalaman. Di bandar, kadar parkir di tepi-tepi jalan agak mahal malah kadarnya tidak mengecualikan waktu malam sehingga ke awal pagi jika hari bekerja. Itu antara sebab kami tidak lagi menyewa van dan akan menggunakan pengangkutan awam sepanjang berada di bandar.

7:00 | Breakfree Hotel on George Street

Daftar masuk ke hotel ini buat 3 malam terakhir di Sydney. Bilik hotel yang ditempah luas bersekali dengan dapur untuk memasak dan peralatan pinggan mangkuk segalanya. Puas hati. Malam ini kami berehat sahaja di hotel makan bekalan Sharifah kami beserta bungkusan yang ditempah dari Restoren Jasmine One tengah hari tadi.

Esok akan bermulalah adventure perjalanan menggunakan pengangkutan awam di bandar Sydney ini. Nantikan!

MHusaini Ibrahim @ www. husainibrahim.com
19:50 | 10 Oktober 2018
68100 Selayang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *