Islam: Prinsip atau Alat?

Oleh:
Dr Mohd Asri Zainul Abidin (www.drmaza.com)

INTRO

1. Amat menakutkan apabila agama ini sering dijadikan alat untuk melariskan atau menghalalkan atau memenangkan sesuatu isu atau cita-cita.

2. Agama sepatutnya menjadi prinsip, bukannya alat untuk mencapai matlamat tertentu.

3. Bahasa Melayu atau bahasa Inggeris boleh menjadi bahasa pengajaran kedua mata pelajaran tersebut. Itu adalah urusan kebijaksanaan dalam kehidupan yang terserah kepada manusia untuk menilainya.

4. Pemerintah ada hak dalam ijtihadnya. Rakyat juga ada hak mencadangkannya. Zaman dan tempat mungkin berperanan dalam menentukan tindakan atau pilihan yang terbaik.

5. Islam tidak pernah menyatakan belajar Sains dan Matematik mesti dalam bahasa Inggeris, atau Melayu, atau Arab atau sebagainya.

6. Islam hanya memerintahkan Muslim agar bertindak dengan bijak. Menentukan perkara yang seperti ini amat subjektif.

ISLAM PRINSIP DAN ISLAM ALAT

7. Islam perlu dibezakan antara sebagai prinsip atau sebagai alat.

8. Islam sebagai prinsip bererti meletakkan Islam sebagai pegangan dan panduan. Salah atau benar sesuatu dinilai berdasarkan prinsip Islam.

9. Kita akan menilai dengan adil setiap perkara dengan timbangan Islam sekalipun jika keputusannya itu tidak berpihak kepada kita, kita tetap akan akur.

10. Inilah yang diarahkan oleh al-Quran dalam Surah al-Nisa, ayat ke-135:

annisa135

(maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman! hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu..”.

11. Menjadikan Islam sebagai alat atau umpan pula ialah mempergunakan Islam sebagai bahan untuk sesuatu tujuan, padahal tujuan tersebut hanya bersifat puak atau peribadi, bukan untuk kepentingan Islam yang hakiki.

12. Nas-nas agama akan ditafsirkan atau disalahgunakan supaya sesuatu pandangan sekalipun tidak tepat, dapat dibela atau dijustifikasikan. Ataupun agama digunakan agar orang ramai tertarik dan percaya kepadanya sekalipun hakikat agama bukan sedemikian rupa.

13. Inilah yang ditempelak oleh Allah dalam Surah al-Nahl, ayat 116-117:

annahl116-117

(maksudnya) Dan janganlah kamu berkata dengan apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; Sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya. (Mereka hanya mendapat) sedikit kesenangan (di dunia), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

14. Malang sekali dalam sejarah umat Islam, kecenderungan menggunakan agama sebagai modal begitu banyak dan berterusan. Kesannya amat bahaya dan mendalam.

15. Syiah terbentuk dengan segala doktrin yang tersendiri; daripada isu ‘Uthman berkembang membentuk prinsip-prinsip kepercayaan mengenai Ahlul Bait yang tersendiri. Disebabkan oleh sejarah politik yang panjang, menjelmalah Syiah dalam wajahnya yang kita lihat pada hari ini.

16. Demikian Khawarij, bermula isu tidak puas hati dengan pendirian ‘Ali dalam menghadapi Mu’awiyah, maka terbentuklah Khawarij dari ‘parti politik’, menjadi aliran agama yang mengkafirkan ‘Ali, ‘Uthman, Mu’awiyah dan sesiapa sahaja yang tidak menyertai mereka.

17. Bagi menjustifikasikan pengkafiran itu, maka satu kaedah yang amat bahaya telah dijadikan pegangan iaitu setiap pelaku maksiat menjadi kafir. ‘Ali dan Mu’awiyyah, bahkan ‘Uthman dianggap tidak berhukum dengan hukum Allah, maka mereka semua kafir.

18. Slogan mereka: “Tiada hukum melainkan hukum Allah”. Kata Saidina ‘Ali mengenai slogan mereka: “Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil”. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).

20. Inilah bahayanya menjadikan agama sebagai modal politik atau apa sahaja.

21. Kelak golongan yang jahil tidak dapat membezakan antara isu politik semata-mata dan isu agama yang sebenar.

22. Jika ia isu politik semata-ata, Islam menyerahkan kepada kebijaksanaan manusia akan menentu keputusan yang memberikan kemaslahatan untuk umat.

23. Jika ia benar-benar isu akidah dan hukum, hendaklah penentu benar dan salahnya adalah al-Quran dan Sunnah bukan pandangan politik kepuakan.

POLITIK ISLAMI ATAU POLITIKKAN ISLAM

24. Kita wajib membezakan antara berpolitik berdasarkan prinsip Islam, dengan mempolitikkan Islam.

25. Berpolitik berdasarkan Islam akan membebaskan seseorang dari daerah taksub, hukuman membabi-buta, kepuakan dan permusuhan yang melampaui batas dan segala akhlak yang jelek. Hanya yang menjadi teras adalah prinsip Islam. Rela membelakang parti atau puak, asalkan prinsip terbela.

26. Mempolitikkan Islam bererti menggunakan nas-nas Islam untuk menjustifikasikan tindakan-tindakan politik.

27. Sikap mempolitikkan agama akan menyebabkan mereka terbabit hilang pendirian, berubah-ubah prinsip dan etika. Namun yang pasti nas-nas agama akan terus digunakan walaupun akan menyebabkan berlaku kontradiksi yang jelas dalam pegangan mereka.

28. Menjadikan agama sebagai modal politik telah dilakukan oleh pihak pemerintah dan pihak yang menentang pemerintah di sepanjang sejarah.

29. Dalil-dalil agama pada bukan tempatnya akan digunakan oleh kedua-dua belah pihak bagi mengekalkan pengikut yang mempunyai sentimen agama.

30. Bahkan dalam sejarah, antara sebab kemunculan hadis-hadis palsu adalah politik.

31. Golongan yang menggunakan agama yang ‘lahapkan habuan dan pangkat’ ada di mana-mana. Mereka ini bersedia untuk mendendangkan dalil bagi menghiburkan slogan atau tindakan pemerintah.

32. Golongan agama yang menentang pemerintah juga akan melagukan nas-nas agama bagi menghalalkan tindakan mereka menentang sesuatu pemerintahan.

33. Akhirnya, hilanglah fungsi agama; daripada agama hidayah yang membimbing manusia bertukar menjadi alat yang membolehkan manusia berpijak di atasnya untuk sampai ke matlamat mereka.

KESIMPULAN

34. Berpolitik berdasarkan agama memang tanggungjawab kita.

35. Namun kita wajar berhati-hati, jika terleka kita akan tergelincir menjadi mempolitikkan agama.

36. Sebagaimana berniaga berdasarkan prinsip Islam memang diperintahkan. Namun berhati-hati, jangan sampai memperniagakan Islam.

37. Justeru itu, bezakanlah antara menjadikan Islam sebagai prinsip, dengan menjadikan Islam sebagai alat. Bezakanlah antara berpolitik berdasarkan Islam dengan mempolitikkan Islam.

**Dipetik daripada artikel asal dengan sedikit pindaan – Husainibrahim.Com

0 Responses to “Islam: Prinsip atau Alat?”


  1. No Comments

Leave a Reply