Jangan sesekali serik

Masa: +/- 2.10 petang, 26 September 2009
Tempat: Kaunter Imigresen, LAX

En. Mcday:  Kenapa awak datang ke sini?
Saya:          Saya datang untuk kursus perisian.
En. Mcday:  Awak bekerja di syarikat mana?
Saya:          Di sini atau di Malaysia?
En. Mcday:  Di Malaysia..
Saya:          (menyebut nama Company)
En. Mcday:  Syarikat awak buat apa?Software apa?
Saya:          Err..network, software yang saya akan berkursus ialah JTLS (dan menyebut nama penuhnya)
En. Mcday:  (menaip sesuatu di komputernya sambil melihat-lihat passport) Encik, sila berdiri di sana sebentar (menunjuk ke suatu arah).

Tidak lama kemudian, datang seorang pegawai lain…

Pegawai 1:    Encik, sila ikut saya.
saya:             (menganggukkan kepala)
Pegawai 1:    Jalan terus hingga ke hujung, (sambil menunjuk ke bahagian hujung bangunan dan dia membontoti dari belakang)

Di bahagian hujung bangunan, terdapat suatu ruangan menunggu yang mana kebanyakan kerusi telah dipenuhi oleh mereka yang sama kes dengan saya.

“Encik Muhammad Ibrahim…Encik Muhammad Ibrahim!” panggil seorang pegawai sambil memegang passport merah saya.

Sambil mengangkat tangan dan menuju ke arahnya, dia berkata,

“Sila ikut saya ke sana,” katanya mengikut ke suatu ruangan dipanggil Secondary Satu – Reviu Kebolehmasukan (Admissibility Review)

“Dan sila tinggalkan beg encik di luar bilik ya,”sambungnya lagi memberi arahan berikutnya.

Kelihatan meja kaunter di bahagian hadapan dengan pegawai-pegawai USCABP sedang ‘menemu bual’ para penumpang yang lain. Ramai juga yang masih menunggu di tempat yang disediakan.

Masa: 4.33 petang
Tempat: Reviu Kebolehmasukan, Secondary Satu, LAX.

Pn. Lau:    En. Ibrahim, Muhammad! En Ibrahim, Muhammad!
Saya:        (mengangkat tangan sambil menuju ke arah kerusi di hadapan kaunter)
Pn. Lau:    Nama terakhir encik ialah Ibrahim, betul?
Saya:        Ya, betul.
Pn. Lau:    Nama pertama encik?
Saya:        Muhammad Husaini
Pn. Lau:    Nama tengah?
Saya:        Tak ada
Pn. Lau:    Macam mana dengan Husaini
Saya:        masih nama pertama saya
Pn Lau:     Jadi, Muhammad Husaini…bin?pun nama pertama?
Saya:        Yup.
Pn Lau:     Jadi Muhammad Husaini bin adalah nama pertama awak yang penuh?
Saya:        Yup
Pn. Lau:    Baiklah, siapa nama ayah awak?
Saya:        Ibrahim
Pn. Lau:    Ibrahim?nama lengkap ayah awak?
Saya:        Tak, Ibrahim bin Abd Halim
Pn. Lau:    Sekali lagi..(sambil mencatat di kertas kosong)
Saya:        Ibrahim..bin B.I.N Abdul A.B.D. Halim H.A.L.I.M
Pn Lau:     Nama ibu awak pula?
Saya:        Munirah binti Hassan..M.U.N.I.R.A.H B.I.N.T.I. H.A.S.S.A.N
Pn. Lau:   M.U.N.I.R.E.H..?
Saya:       bukan E tapi A..A untuk Amerika
Pn. Lau:   Hmmmmph..
Saya:       Err, biar saya tuliskanlah.
Pn. Lau:   Awak ada pen?
Saya:       Ya.
Pn. Lau:   Saya minta maaf encik kerana menyusahkan, kami buat proses ini kerana encik ada nama yang umum. Errmm, ya Muhammad…Muhammad ialah nama yang umum, jadi kami terpaksa buat saringan dan pemeriksaan untuk pengenalpastian dan maklumat yang terperinci.
Saya:       Hmm..ya,baiklah.
Pn. Lau:   Encik boleh duduk dulu, nanti kami panggil kembali.

Selepas 10 minit,

Pn. Lau:   En. Ibrahim!
Saya:      (bangun dari tempat duduk dan menuju ke arahnya)
Pn. Lau:   Encik ada rakan encik juga di sini (dalam Secondary Satu juga).
Saya:       Ada…(sambil menunjuk ke arahnya)
Pn. Lau:   Encik bekerja di syarikat apa?
Saya:       Business Information Technology Malaysia…
Pn. Lau:   Apa yang syarikat encik buat?
Saya:        Sebenarnya syarikat saya menjadi kontraktor kepada MINDEF, jadi saya datang ke sini untuk menjalani kursus JTLS (dan menyebut nama penuh perisian tersebut daripada surat tempat kursus tersebut). kerana perisian tersebut merupakan perisian dari sini, US. Syarikat saya akan mengendalikan penyelenggaraan perisian ini untuk MINDEF selepas ini.
Pn. Lau:   Encik pernah datang ke sini?
Saya:       Tak.
Pn. Lau:   Jadi, encik bekerja untuk kerajaanlah. Nama-nama pegawai dalam surat ini semuanya pegawai kerajaanlah ya? Jika syarikat encik akan mengendalikan penyelenggaraan perisian ini untuk mereka, kenapa mereka turut serta dalam kursus ini?
Saya:      Perisian ini telah mereka gunakan sebelum ini. Cuma sekarang ia telah dikemaskinikan ke versi terbaru, jadi mereka turut datang untuk belajar sama perisian versi terkini ini.
Pn. Lau:   Kursus ini macam mana? Maksudnya, adakah macam belajar dalam kelas, kemudian ada komputer..macam itu?
Saya:        A’ah, ya.
Pn. Lau:   Encik ada kad perniagaan?
Saya:       Hmm, tak ada.
Pn. Lau:   Bagaimana dengan bukti-bukti lain yang boleh menunjukkan encik bekerja dengan syarikat encik?
Saya:      Tak ada (sambil menggelengkan kepala dan memerah otak mengingati sama ada saya membawa surat tawaran bersama atau tidak). Kawan saya di belakang ini ialah superior saya, dia boleh mengesahkannya.
Pn. Lau:   (Tidak memberi respons terhadap tawaran saya)..Hmm, encik sila duduk dulu…nanti saya akan panggil kembali.
Saya:      Baiklah.

Masa: 6.30 petang

Melihatkan saya asyik melihat-lihat ke arahnya dan menoleh jam…
Pn. Lau:   Encik, saya masih tak lupakan encik. Saya menunggu panggilan telefon pengesahan untuk encik. Harap tunggu ya!
Saya:       Saya ada penerbangan pada pukul 7.20 malam nanti.
Pn. Lau:   (sambil melihat ke arah jam tangannya) saya betul-betul minta maaf encik. Saya tidak dapat berbuat apa-apa selagi tak dapat panggilan telefon pengesahan tu.
Saya:      Hmm…baiklah…

Masa: 7.09 malam

Pn. Lau:   En. Ibrahim! En. Ibrahim!
Saya:      (berjalan ke arahnya)
Pn. Lau:   Terima kasih atas kesabaran encik. Saya minta maaf kerana terpaksa menunggu lama, pasport encik telah pun disemak dan diluluskan.
Saya:      (mengangguk-nganggukkan kepala)
Pn. Lau:   Saya tak rasa encik dapat kejar penerbangan encik pukul berapa tadi, 7.20 kan?Saya cadangkan encik pergi ke pejabat MAS di tingkat 3 minta mereka susunkan penerbangan semula untuk encik kerana encik terlambat atas urusan imigresen di sini. Encik dapat tiket ini melalui pengurusan MAS,kan?
Saya:       Ya, melalui MAS. Di mana tadi, pejabat MAS? Tingkat 3?
Pn. Lau:   Ya, encik keluar dari sini, ikut arah papan tanda keluar ke bahagian lobi utama kemudian pergi lif naik tingkat 3. Saya rasa pejabat itu di sebelah sana (sambil tangannya menunjuk ke arah atas bahagian kirinya).
Saya:      Ok, baiklah. Terima kasih!

Setelah hampir 5 jam di kawasan ‘tahanan’ itu, akhirnya saya berjalan keluar darinya, mengambil beg galas Echolac saya di tepi pintu masuk dan berjalan menuju ke arah lobi utama.

Saya keseorangan kini, superior saya telah keluar 2 jam awal lagi tadi manakala 7 lagi anggota MINDEF telah terbang ke Monterey, CA. Ke mana arah saya selepas ini? Bagasi juga telah tidak dijumpai oleh pegawai MAS sebentar tadi. Liputan telefon bimbit juga tidak dapat diperoleh langsung seakan-akan memang ditiadakan di kawasan LAX ini.

Besar sungguh cabaran untuk saya yang pertama kali sampai di bumi negara pimpinan Obama ini. Sebaik berjaya terbang ke Monterey pada hari Ahad, 10.35 paginya, hati saya berkata kepada diri saya, saya tak perlu serik lagi untuk ke sini. Jangan sesekali serik!

Husaini Ibrahim @ www.husainibrahim.com
11.15 malam 29 September 2009
Monterey, CA 93940

2 Responses to “Jangan sesekali serik”


  1. 1faizah

    huhu.. quite tough huh..

  2. 2rahsier...

    Saya pun selalu ada masalah kat imigresen..huhu…xpe2…pengalaman tu mengajar kita untuk bersiap sedia hari mendatang….betul3,never ever regret! Alhamdulillah,dah sampai dengan selamat pun kat sana… 😀

Leave a Reply