Kita masih serumpun!

Uncle_Kamil

Uncle Kamil

“Muslim population is growing unbelievably,” kata uncle Kamil, imigran dari Singapura ketika bercerita tentang situasi Muslim di Amerika.

“Secara biasanya apabila mendengar tentang negara-negara Islam, mereka akan berasa sangsi. Persepsi itu masih melekat di kalangan rakyat biasa Amerika,” sambung beliau lagi.

“Tapi generasi kedua Muslim yang imigran, seperti anak saya, apabila mereka ke sekolah tinggi, mereka disayangi oleh guru-guru. Guru-guru menyayangi mereka kerana karakter mereka yang baik sedangkan mereka Muslim,” uncle Kamil sambung bercerita.

Beliau meneruskan lagi, “akhirnya masyarakat akan melihat bahawa apa yang dipropaganda oleh media-media massa bertentangan dengan apa yang mereka lihat berlaku dalam masyarakat mereka sendiri.”

I tell you, American yang convert into Islam, terutama apabila yang dah berbelas-belas tahun, apabila mereka pergi belajar di negara-negara Timur Tengah, dan mereka kembali semula ke sini, they are very knowledgeable!

“Dulu waktu saya datang ke sini, tidak ada satu masjid pun. Kini dah ada 5 buah masjid. Sewaktu solat hari raya, penuh masjid. Di masjid ini 6000 orang, di masjid satu lagi 3000,2000. Bayangkan keseluruhan populasi Muslim yang ada,” terasa semangat Islam menyerap dalam diri kami yang mendengar kisah panjangnya itu.

Encik Kamil, 55 tahun, yang lebih mesra untuk saya panggil Uncle Kamil, berasal dari Singapura dan pernah belajar selama 6 tahun di ITM (kini UiTM) Shah Alam dalam akhir tahun 70-an. Sejurus bergraduasi dari UiTM, beliau terus berpindah ke Amerika Syarikat. Beliau yang telah mempunyai kewarganegaraan AS telah bermastautin selama 32 tahun di sini.

Siapa sangka kumpulan tentera dan saya akan bertemu dan bersembang panjang dengan Uncle Kamil di rumah terbuka hari raya di perantauan ini. Kami yang terbang meninggalkan Malaysia pada 7 Syawal lalu hanya dapat memendam untuk menjamah lemang, rendang, dan ketupat pada hari selebihnya dalam Syawal ini dari Monterey sahaja.

Segalanya bermula apabila kami menunaikan solat Jumaat di Masjid at-Taqwa, Monterey. Muka berwajah Asia yang mudah untuk dikenali menarik perhatian Tuan Zayd al-Hadi, ketua komunitas Indonesia di Monterey. Setelah berkenalan dan bersua rasa usai solat Jumaat yang diadakan di sebuah bangunan bekas pejabat (rasanyalah), tuan Zayd menjemput kami ke majlis halal bil halal; himpunan Eidul Fitri komunitas Indonesia di sekitar Monterey.

Photo0015

Tuan Zayd, ketua komunitas Indonesia di Monterey sedang mengambil juadah

Majlis yang bermula pada pukul 1 tengah hari itu, dihadiri oleh komunitas Indonesia yang menetap di Monterey, San Jose dan San Francisco. Kehadiran kami yang pada mulanya disangka sebagai warga Indonesia dari San Francisco, disambut mesra oleh warga Indonesia yang lain. Kami baru menyedari yang Tuan Zayd al-Hadi rupanya mempunyai susur galur keturunan warga Malaysia kerana datuknya berasal dari Melaka. Beliau berucap meraikan kedatangan kami ketika majlis bermula dengan rasminya oleh anaknya selaku pengerusi majlis.

Photo0011

Majlis yang diacarain oleh anak Tuan Zayd

Rendang daging, ayam goreng, lontong, nasi minyak daging adalah antara sajian yang dihidangkan pada majlis ini. Selain itu, terdapat juga masakan Padang yang saya tidak biasa ketemukan menyebabkan kuantiti makanan yang diambil hampir saja membukit..heh

juadah

Antara juadah yang disajikan: lontong, nasi minyak, rendang daging, ayam goreng, dan pelbagai masakan Padang

Dessert

Anggur segar tanpa biji yang menggiurkan. Nyum…

Photo0016

Kuantiti makanan yang membukit? 😉

Photo0019

Meja dah penuh, makan di kerusi saja bersama Mejar Nazaruddin daripada RMAF sambil dibuai-buai angin dingin tengah hari bersuhu +/- 16 darjah C.

Tuan Zayd mempunyai adik-beradik dan sanak saudaranya yang turut tinggal di Monterey. Ibu saudaranyalah antara yang mula-mula sampai di Monterey dan mengajar bahasa Indonesia di Defense Language Institute di sini. Isteri Uncle Kamil adalah antara yang mempunyai pertalian persaudaraan dengan Tuan Zayd. Namun, keluarga Uncle Kamil tidak tinggal di Monterey, mereka menetap di San Jose (baca: San Hozey), kira-kira satu jam perjalanan dari Monterey.

Keluarga besar Tuan Zayd berasal dari Riau, Sumatera. Jadi mereka berbangsa Melayu sama dengan kita. Itulah yang diberitahu oleh Adan, sahabat saya di Bandung dulu ketika menziarahinya sebulan sebelum saya ke sini. Menurutnya, orang Indonesia yang berbangsa Melayu tinggal di kepulauan Sumatera, selebihnya bukan Melayu tetapi berbeza-beza bangsa seperti Solo, Jawa, Sunda, dan sebagainya. Kerana itulah apabila timbul isu remeh-temeh yang dipandang besar oleh sebahagian rakyat Indonesia adalah kerana perkara-perkara seperti ini.

Kebanyakan rakyat Malaysia tidak melihat isu tarian pendet dipromosikan sebagai budaya Malaysia kerana beranggapan yang kita dan Indonesia sama-sama Melayu. Tetapi, orang Indonesia tidak memandang begitu kerana mereka tidak kesemuanya Melayu, yang Melayu hanya di kepulauan Sumatera. Justeru, mereka amat sensitif terhadap perkara seperti ini.

Namun, semua itu tidak timbul di sini. Dengan harmoninya kami boleh berkenalan dan berkunjungan ke majlis himpunan Eidul Fitri komunitas Indonesia tanpa apa-apa prejudis dan prasangka.

Saya yang tidak menyangka kami akan berada di sana sehingga 3 jam menemukan pengalaman yang amat menarik dan manis sekali. Entah bila lagi, kita akan bertemu saudara-saudaraku.

Benarlah kata-kata hati saya tadi ketika berada dalam majlis itu,

“Kita masih serumpun!”

Husaini Ibrahim @ www.husainibrahim.com
22:25 3 Oktober 2009
Monterey, CA 93940

One thought on “Kita masih serumpun!

Leave a Reply

Your email address will not be published.