Kuasa politik bukan lesen untuk menjana kekayaan peribadi – Ustaz Hasrizal

Zulkarnain ialah contoh al-Quran dalam memaparkan kepimpinan yang good governance

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Pemimpin tidak sepatutnya membina kekayaan melalui kuasa. Demikian antara lain penegasan seorang pendakwah terkemuka negara, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (gambar) dalam kuliahnya di Wangsa Maju semalam.

Beliau yang kerap kali berkuliah di sekitar Lembah Klang menekankan kesimpulan tersebut melalui perbincangan ayat ke-95 surah al-Kahfi yang menceritakan Zulkarnain menolak untuk mengambil upah daripada pertolongannya kepada suatu kaum yang berhadapan dengan musuh mereka bernama Yakjuj dan Makjuj.

(maksudnya): Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.

“Zulkarnain ialah satu contoh pemimpin yang tidak membina kekayaan melalui kuasanya sebagai pemerintah. Atau dalam bahasa mudah pada hari ini, tidak menjadi kaya dengan menjadi ahli politik.

Dengan contoh yang sama, yang ditunjukkan oleh Nabi Sulaiman ‘alahissalam apabila Allah bercerita tentang baginda yang tidak mengambil upah atau apa-apa bayaran daripada posisinya sebagai seorang pemimpin!” ujar beliau lagi sambil membacakan ayat ke-36 daripada surah al-Naml untuk menerangkan hal itu.

(maksudnya): “Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): “Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah).”

Dalam pada itu, Ustaz Hasrizal turut mengingatkan sesiapa sahaja yang menjadi pemimpin, salah satu ujian yang akan dihadapi ialah menangani kaum yang mundur, lemah, tidak mampu mempertahankan tanah air sendiri dan pemalas.

Ciri-ciri tersebut menurutnya, ialah ciri-ciri kaum yang ditemukan oleh Zulkarnain tatkala sampai dalam perjalanannya ke Utara, yang disifatkan al-Quran berada di antara dua perbukitan.

Memetik kata pengarang kitab Al-Qasas al-Qur’ani oleh Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi yang menyifatkan ciri-ciri tersebut ada pada kaum Arab pada hari ini, Ustaz Hasrizal menyeru agar umat Islam mengambil teladan daripada hal tersebut.

GOOD GOVERNANCE

Sebelum itu, Ustaz Hasrizal turut memberi satu penerangan yang baik tentang perlunya gerakan Islam yang selama ini menumpukan kepada Islam sebagai intipati dan isi perjuangan, agar turut sama melihat sisi lain yang agak kurang diperhatikan selama ini.

“Pihak yang berada dalam kebenaran ini, untuk menang, mestilah cukup syarat Sunnatullahnya. Kita telah menyebut lama tentang hudud dan qisas menjadi asas untuk melindungi masyarakat daripada salah laku, maka sampailah waktu untuk mula melebihkan bercakap tentang good governance.

Kebenaran telah dipilih tetapi tak boleh juga nak ditegakkan kebenaran itu kerana satu bahagian lagi belum diberi perhatian. Maksudnya, untuk memenangkan Islam, akaunnya tidak boleh lagi ditadbir dengan buku 555,” kata beliau dalam ucapannya yang penuh makna itu.

Dalam tegasannya lagi, untuk memenangkan Islam, seorang pemimpin bukan hanya membawa seruan, ayat-ayat al-Quran dan hadith semata-mata tetapi turut membawa sampel pentadbiran yang efektif.

Seterusnya, dalam bahagian kedua ayat ke-95 surah al-Kahfi tersebut, perbincangan ditutup dengan mengambil teladan yang baik ditunjukkan oleh Zulkarnain iaitu sebagai pemimpin, peranan untuk mengubah sikap dan perangai sesuatu kaum di bawah pimpinannya mesti diambil tanggungjawab.

“Zulkarnain tidak mengatakan, kamu tunggu sahaja dan lihat projek pembinaan ini akan diselesaikan oleh syarikat-syarikat kami, bahkan beliau turut melibatkan sama kaum terbabit turut sama dalam projek tersebut,” tegas Ustaz Hasrizal.

Kuliah yang berlangsung selama 1 jam lebih itu turut dihadiri oleh jemaah di sekitar Seksyen 5, Wangsa Maju dan juga dari luar. Intipati kuliah yang bersandarkan 4 kisah dalam surah al-Kahfi telah dihuraikan oleh Ustaz hasrizal sekitar setahun yang lalu, dan kisah Zulkarnain adalah kisah yang terakhir dalam surah yang mempunyai 110 ayat itu. -Husainibrahim.Com-

**Rakaman kuliah boleh didapati di bahagian AUDIO

0 Responses to “Kuasa politik bukan lesen untuk menjana kekayaan peribadi – Ustaz Hasrizal”


  1. No Comments

Leave a Reply