Masjid Cina: Antara Islam Melayu dan Islam Universal

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Heh, macam gempak je tajuk entri kali ni. Sebelum apa-apa, kita baca berita dululah ya 🙂

Bina masjid Cina di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Ahli Parlimen pembangkang, Zulkifli Noordin (PKR-Kulim/Bandar Baharu) hari ini mencadangkan agar kerajaan membina sebuah masjid Cina di pusat bandar Kuala Lumpur dengan segala aktivitinya termasuk kuliah dan khutbah Jumaat disampaikan dalam bahasa Mandarin.

Menurutnya, masjid seperti itu yang terdapat di Surabaya, Indonesia iaitu Masjid Cheng Ho yang dibina khas untuk masyarakat Cina Islam, haruslah dibina mengikut senibina Cina.

‘‘Saya usulkan pendekatan dakwah ini kerana terdapat ramai masyarakat Cina di negara ini dan ramai yang telah memeluk agama Islam tetapi tidak ada masjid Cina untuk memenuhi keperluan golongan tersebut.

‘‘Saya mencadangkan agar masjid itu dibina di tapak Penjara Pudu yang berdekatan dengan Bukit Bintang kerana ia dikelilingi oleh masyarakat Cina,” katanya semasa membahaskan Bajet 2009.

Zulkifli berkata, langkah tersebut akan dapat menarik masyarakat Cina termasuk di kalangan peniaga dan korporat di Bukit Bintang mendekati Islam serta akhirnya memeluk agama suci itu. – Sumber

Bagus, tahniah! Itu yang aku nak ucapkan kepada beliau, Peguam Zulkifli Noordin yang aku kagumi dalam ketegasannya mengutarakan isu-isu yang bersifat sejagat dan tidak berkepentingan peribadi. Beliau membangkitkan kembali cadangan yang pernah mentor utarakan kira-kira setahun setengah yang lalu, iaitu pembinaan masjid cina untuk masyarakat Cina Muslim.

Kata mentor,

Isu Masjid Cina yang ditimbulkan juga oleh YB Kulim di Parlimen semalam juga sebenarnya telah pun saya bangkitkan pada Bulan Januari 2007, kira-kira setahun setengah yang lepas. Media telah membantu saya membangkitkan isu ini.

Malangnya cadangan saya agar komuniti cina muslim mempunyai masjid sendiri yang pengurusannya mampu memahami masalah mereka, diuruskan oleh mereka sendiri, menggunakan bahasa yang lebih difahami oleh mereka dan memahami budaya mereka ditentang oleh kelompok agama yang sempit pandangan.

Kelompok ini menganggap seakan Islam di Malaysia mestilah beridentitikan melayu. Padahal, sudah lama masyarakat cina muslim memohon masjid yang seperti itu. Ramai orang cina yang menganut Islam apabila terputus hubungan dengan masyarakat melayu seperti bercerai atau bergaduh tidak tahu tempat tuju yang lebih memahami mereka. Kewujudan masjid cina dapat membantu mereka.

Riuh satu Malaya ketika beliau membangkitkan isu tersebut. Kebanyakannya membantah dan membantai beliau atas cadangan yang disifatkan sebagai melawan arus dan tidak kena tempat itu biarpun Persatuan Cina Muslim Malaysia berdiri menyokongnya.

Namun, siapa sangka pemikiran beliau sebenarnya telah didahului oleh MB Kelantan dan Tuan Guru sendiri telah merealisasikan perkara tersebut di negerinya, lebih khusus lagi di Rantau Panjang. Ternyata mereka berdua mempunyai niat dan visi yang sama iaitu ingin mendekatkan masyarakat Cina kepada Islam melalui pembinaan masjid Cina di Malaysia ini.

Gambar di atas sebenarnya gambar terbaru masjid tersebut yang hampir 80% siap pembinaannya. Pada Ramadhan yang lalu, Tuan Guru beserta karyah setempat telah menunaikan solat Tarawih di masjid tersebut dengan diimami oleh imam berbangsa Cina.

 

Mudah-mudahan pembinaan masjid tersebut yang apabila siap nanti akan membawa kepada pembinaan masjid-masjid yang sepertinya di negeri-negeri lain, Insya Allah.

Mari kita renung sejenak, apakah penting sangat pembinaan masjid untuk masyarakat Cina Muslim ini di Malaysia sedangkan kita telah punya beribu-ribu masjid ‘Melayu’ di seantero negara?

Susah sangatkah hendak berkongsi masjid dengan kita yang berbahasa Melayu ini?

Sesungguhnya isu ini merentas persoalan tersebut dengan dua perkara penting iaitu, dakwah dan kesejagatan Islam.

DAKWAH

“Orang Cina amat berbangga dengan tiga perkara; bahasa, budaya dan ..(tak ingat lak..huhu),” kata seorang pendakwah Cina Muslim dari Macma Selangor ketika menyampaikan ceramahnya di Audi Utama UIAM tahun lalu.

“Jadi, kita mesti menggunakan salah satu daripada faktor-faktor ini untuk menjadi medium dakwah kepada mereka,” sambung beliau lagi.

Nah, bukankah dengan masjid Cina yang segala tutur katanya, khutbahnya, ceramah dan kuliahnya yang dalam bahasa Cina (Mandarin dan sebagainya) dapat menarik masyarakat Cina bukan Islam untuk mengenali dan memahami Islam?

Islam disampaikan dengan bahasa seharian mereka, di masjid yang menjadi pusat kegiatan rakan-rakan Cina Muslim mereka, sudah tentunya mempunyai impak yang kuat terhadap perkembangan dakwah di kalangan masyarakat Cina yang bukan Islam.

Teorinya mudah.

Kita gemarkan sesuatu yang common untuk kita mudah berkomunikasi dengan sesiapa sahaja. Dan selalunya difference akan menjarakkan komunikasi tersebut.

Commonnya bahasa..

Commonya budaya..

Commonnya bangsa..

Yang difference hanya agama…

Kombinasi tiga persamaan ini tidakkah akan melahirkan persamaan yang keempat iaitu agama (Islam), seandainya fungsi dan peranan ketiga-tiga persamaan itu dioptimumkan. Melalui apa..?

Praktikalnya, masjid Cina!

KESEJAGATAN ISLAM

Dalam bahasa Inggeris disebut Universality of Islam.

Islam yang sejagat tidak pernah membezakan warna kulit, bangsa dan bahasa untuk seseorang Muslim yang bertaqwa memperoleh ganjaran di sisi Allah subhanahu wa ta’ala.

Namun, terserlahkah kesejagatan Islam apabila ruang-ruang untuk memahami dan mendalami Islam disekat oleh golongan yang memonopoli masjid dan surau serta pengurusan agama yang terdiri daripada mereka yang berbahasa ‘asing’ daripada masyarakat?

Tersekat apabila masjid menggunakan medium bahasa Melayu sedang kaum Cina juga ada yang Muslim

Tersekat apabila Cina Muslim yang datang ke masjid ‘Melayu’ dilayan secara tidak mesra oleh Melayu Muslim.

Tersekat apabila Cina Muslim sentiasa dipandang sinis oleh majoriti Melayu Muslim.

Jadi, bagaimana kesejagatan Islam itu hendak dirasai andai semua situasi di atas sentiasa dihadapi oleh masyarakat Cina Muslim?

Kita tentu tak berasa apa-apa kerana kitalah yang selalu menyebabkan situasi di atas terjadi. Kerana kita Melayu Muslim yang majoriti itu.

Dengan adanya masjid Cina, kaum Cina akan berasa selesa sekali untuk mendalami agama Islam melalui bahasa dan budaya mereka yang amat mereka banggakan itu.

Tiadalah lagi sekatan untuk Cina Muslim menjadi Mukmin bertaqwa di sisi Allah melalui ruang-ruang yang dibuka luas untuk mereka.

MASJID ATAS DASAR KAUM?

“Tidakkah perkara ini akan menimbulkan perkauman dengan adanya masjid pelbagai bangsa?” mungkin timbul pertanyaan sedemikian di kalangan masyarakat kita.

Jawapannya begini.

Oleh sebab Melayu Muslim yang memonopoli masjid dan surau selama ini telah menjadikan kedua-duanya seakan-akan milik kaum Melayu, maka kaum Cina Muslim telah terpinggir daripada ingin menikmati indahnya hidup berIslam hanya kerana mereka Cina.

Bahkan kerana kemonopolian itulah, bukan sedikit kaum Cina bukan Islam sukar untuk hadir ke masjid ‘kita’ kerana pandangan sinis lagi tajam itu seakan-akan najis sangat mereka itu dengan masjid.

Cadangan membina masjid Cina bukanlah kerana ingin memecahbelahkan Melayu dan Cina tetapi ingin menyatukan mereka di bawah payung Islam melalui pintu yang berlainan.

Orang Melayu selesa datang ke masjid kerana di situ ramainya orang Melayu dan pentadbirannya dalam bahasa Melayu. Namun, keselesaan itu telah membawa kepada ketidakselesaan kepada kaum Cina (dan lainnya) kerana mereka menjadi minoriti di masjid itu.

Dan bukan sedikit ketidakselesaan itu telah membawa kepada masalah yang banyak kepada mereka dalam memahami dan mengamalkan Islam.

Justeru, dengan adanya masjid Cina yang segala-galanya ditadbir oleh kaum mereka dalam bahasa mereka, tentulah keselesaan itu akan dapat dirasai dan dihayati. Secara tidak langsung, kesejagatan Islam terserlah dan terbukti sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran bahawa Islam membawa rahmat kepada sekalian alam.

 

ISLAM DAN MELAYU

Untuk mengharapkan ketuanan Melayu di Malaysia dengan sokongan kaum semata-mata, berapalah sangat kerusi yang boleh kita kuasai. Itupun jika kesemuanya dimenangi dan Pas sanggup bersatu dengan Umno.

Namun, melalui agama Islam yang semua orang boleh memahami dan menganutnya, kita boleh bersatu.

Sedangkan Arab yang Rasulullah terdiri daripada kalangan mereka pun tiada jaminan tentang kelebihan mereka berbanding kaum lain, inikan pula Melayu di Malaysia ini.

Justeru, membuka pintu yang luas kepada kaum lain terutama Cina dan India untuk memahami Islam tentu sahaja akan menambahkan lagi penganut-penganut Islam di bumi Malaysia ini.

Membina masjid Cina adalah sebahagian daripada usaha membuka pintu ini kepada kaum Cina.

Usah dinafikan peranan kaum lain daripada Melayu untuk menganut, memahami dan mendalami Islam.

Bahkan telah terbukti sebahagian mereka selama ini lebih baik daripada sebilangan Melayu Muslim yang majoriti itu.

Biarlah kita tetap berbilang kaum tetapi bersatu agama.

Dengan agama yang satu itulah kita membina negara dan mendaulatkan Islam di dalamnya.

Seruan kita, ISLAM FOR ALL!

ISLAM UNTUK SEMUA, ayuh naikkan masjid Cina!

Husaini Ibrahim @ www.husainibrahim.com
53100 Gombak

5 Responses to “Masjid Cina: Antara Islam Melayu dan Islam Universal”


  1. 1irshadian

    seperti entri yang pernah abu saif keluarkan dulu.

    pendapat saya: kalau gitu nampak agak me’limit’kan fungsi masjid, bukankah lebih baik diintegrasikan masjid itu sendiri. contohnya masyarakat dididik supaya imarahkan masjid tanpa kira type of masjid,kalau semua orang pergi ke 1 masjid tanpa jenis, nampak lebih mesra dan hakikatnya ukhwah terjalin tanpa beza bangsa. masyarakat luar pon nampak syumulnya islam, orang p masjid atas akidah yang sama ni boleh bersatu hati walaupun lain bangsa.dan kat sini kenalah masing2 belajar toleransi. kat utara, dulu masjid kapitan keling tu orang india saja, la ni orang melayu pun dah ramai. solusinya, mungkin boleh diusahakan masjid yang organisasinya terdiri dari pelbagai bangsa, inilah masanya menjadikan masjid platform kesatuan ummah, integrasi kaum melayu-cina-india, pelbagai kepakaran dikongsi bersama. asif ya akh

  2. 2husainibrahim

    Terima kasih ukhti atas komentar yang baik.

    “seperti entri yang pernah abu saif keluarkan dulu”
    Yang mana tu ukhti?huhu

    Idealnya, macam itulah yang kita harapkan apabila masjid tidak terhad kepada kaum tertentu sahaja dan kesyumulan Islam dapat dirasai dan diserlahkan.

    Namun, kita hidup dalam realiti yang tidak sedemikian. Dominasi kaum Melayu ke atas masjid dan surau selama ini tidak mendatangkan suasana yang selesa untuk kaum lain terutamanya Cina untuk beribadah bersama. Apatah lagi dengan pandangan sinis dan layanan buruk yang acap kali diterima mereka yang bukan sekali dua kita dengar.

    Seperti yang nti beri contoh, tentang masjid Kapitan Keling di Penang, ia tidak diuruskan oleh orang Melayu,kan? Jadi, tak hairanlah masjid itu kemudiannya menjadi masjid berbilang kaum. Masjid yang dikuasai Melayu malangnya tidak ada yang berjaya menarik kaum bukan Melayu ke masjid mereka. Oleh sebab itulah, pentingnya pembinaan masjid Cina ini demi menarik kaum Cina Muslim dan bukan Islam untuk lebih dekat dan memahami Islam.

    Allahua’lam.
    Pendapat dua sen saya.

  3. 3irshadian

    entah, tapi search la kat saifulislam.com. kalau jumpa nti sy link

  4. 4irshadian

    tapi kalau dah dibina, menjadi kewajipan untuk semua orang imarahkan, supaya masjid tak sinonim dengan 1 bangsa saja.pakat2 p solat n join aktiviti masjid cina. bila sebut masjid=melayu, hatta kalau di penang masjid dibina dalam jarak dekat, organisasi masjid ikut aliran politik, masjid pro kerajaan, masjid pembangkang..tak best la gitu, masjid dibina atas dasar takwa,bukan politik.Itu pemerhatian tidak seberapa saya.

  5. 5Ibnu Hassan

    Masjid yang didirikan atas dasar takwa…atau???

    Assalamualaikum…Maaflah sahabat2 yang mulia sekalian..Bukan nak menyibuk. Tapi sekadar nak berwacana di kesempatan yang ada ni. Ana baru je dapat tahu perihal pembinaan masjid untuk kaum cina yang bakal didirikan di Melaka. Kawan ana yg berkerja di PERKIM melaka maklumkan. Bukan untuk mempolemikkan perkara ini dengan sebarang sentimen perkauman jumud atau fikrah asabiyah yang tinggi.. Tapi semestinya kita perlu memikirkan perkara yang bakal berlaku untuk jangka masa yang panjang jika projek pembinaan masjid khusus untuk kaum cina ini diperhebatkan…Jika sekali kita perhatikan, usaha ini agak praktikal disudut menarik lebih ramai kaum cina mahupun india untuk berdamping dengan Islam yang amat kita cintai..Akan tetapi, untuk satu jangka masa yang panjang saya berfikiran ianya bukanlah satu usaha yang efektif dan praktikal kerana akan timbul semangat nasioanlisme yang tinggi dikalangan kaum di kala Islam bukannya agama yang mempraktikkan semangat perkauman..Jika kita perhatikan dalam penyatuan kaum yang dilaksanakan oleh Nabi SAW melalui modus operandi gerakan dakwah Nabi SAW di dalam menyatukan kaum muhajirin dan ansar sehinnga terbinanya sebuah masjid pertama dalam sejarah Islam (masjid Quba’), tiada sebarang sentimen perkauman pun yang Nabi SAW lahirkan sehingga masjid tersebut siap didirikan. Dan ia merupakan asas tunjang dalam konstruksi Daulah Islamiyah Madinah Al-Munauwarah. Walau pun muhajirin dan ansar adalah daripada kalangan bangsa arab dengan satu bahasa pertuturan, ia bukannya satu perkara yang boleh kita jadikan justifikasi dalam penyatuan muhajirin dan ansar..Pengajarannya yang perlu kita titik beratkan iaitu tiada sebarang pun usaha melalui fahaman perkauman yang Nabi SAW rembeskan dalam mimbina Daulah Islamiyah. Justeru, jika masjid khusus untuk kaum cina ini didirikan, lambat laun ia akan melahirkan semangat nasionalisme yang tinggi.. Apa beza melayu islam dengan cina islam dan india islam? Bahasa? Sepatutnya pengukuhan Islam kita laksanakan tanpa membezakan bangsa akan tetapi penyatuan melaui keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Masjid perlu didirikan akan asas taqwa kepada Allah bukan atas asas membezakan kaum atau selainnya. Kita bukan sahaja berhajat untuk menarik lebih ramai bukan Islam untuk kita islamkan, akan tetapi syariat Allah yang perlu kita tegakkan di Malaysia sehingga memberi keadilan sosial kepada semua seperti mana Daulah Islamiyah yang Nabi SAW dirikan. wa Allahu Taala ‘alam…

Leave a Reply