Min al-’Aaideen wa al-Faaizeen: Pujian Atau Ejekan?

Selamat hari lebaran
Minal ‘aideen wal faaizeen
Mari bersalam-salaman
Saling bermaaf-maafan
Ikhlaskanlah diri mu
Sucikanlah hati mu
Sebulan berpuasa
Jalankan perintah agama

Selamat hari lebaran

Minal ‘aideen wal faaizeen
Mari mengucapkan syukur
Ke hadirat Illahi
Kita berkumpul semua
Bersama sanak saudara
Tak lupa kawan semua
Jumpa di hari bahagia

Selamat hari lebaran
Minal ‘aideen wal faaizeen

Lagu ini berkumandang bersama puluhan lagi koleksi lagu raya, yang saya rasakan seperti memaksa-maksa diri untuk ada feeling dengan Hari Raya. Dipaksa-paksa sedih bagi apa-apa yang hilang dan tak tercapai. Dipaksa-paksa gembira bagi hasil mahsul sebuah Hari Raya.

Tetapi, apa yang mengasak fikiran saya, ialah ungkapan “Minal ‘Aideen wal Faaizeen” itu. Bukan sahaja ungkapannya di dalam Bahasa Arab, malah maknanya juga saya pasti tidak mudah difahami sekadar dengan menyebutnya di atas lisan. Fahamkah artis-artis yang beraya lebih awal dari kita itu, akan maksud ungkapan tersebut? Maksud saya, mereka merakam program Hari Raya ketika kita masih bertatih puasa. Fahamkah setiap mereka yang melakar kata-kata ini pada sebahagian 160 karakter sms Aidilfitri, atau kad raya itu sendiri?

Atau ia sekadar ungkapan tanpa makna.

Seperti Assalamualaikum yang gersang dari rasa sebuah doa, atau Insya Allah yang hanya kosmetik untuk cadangan memungkiri janji?

Fenomena kata-kata tanpa makna ini memang sudah lama wujud, sudah lama berlaku. Kerana itulah agaknya, Hasan al-Banna sering memulakan ceramahnya dengan menyebut:

“Aku alu-alukan kalian dengan alu-aluan Islam, alu-aluan yang asalnya di sisi Allah, penuh kebaikan dan keberkatan, manusia menyebutnya sebagai adat, sedangkan kita menyebutnya sebagai ibadat, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh”

ADAT DAN IBADAT

Dua-dua boleh jadi manfaat. Satu sekadar mengemas dunia, satu lagi memanjang ke Akhirat.

Namun, usahakanlah agar adat itu dibuat dengan sedar akan matlamat, diangkat dari suatu kebiasaan kepada suatu jalan taqarrub kepada Tuhan. Adat harus dibuat dengan ‘kesedaran hidup berTuhan”, agar adat menjadi ibadat.

Manakala ibadat pula, biar pun melakukannya adalah rutin harian dan kelaziman, janganlah pula sampai dibuat secara auto pilot. Lupa matlamat, terabaikan tujuan. Maka untuk ibadat tidak menjadi adat, buat sesuatu biar dalam keadaan sedar. Sedar akan matlamat, sedar akan asal usulnya perbuatan itu.

Lantas ungkapan-ungkapan Islam yang indah dan molek itu, jangan lagi terungkap tanpa makna, dek kerana terlalu biasa. Berulang kali menyebutnya, hingga terlupa kepada makna.

UNGKAPAN MINAL ‘AIDEEN WAL FAAIZEEN

Ungkapan minal ‘aideen wal faaizeen itu adalah suatu ungkapan yang besar.

Kita mengucapkan tahniah atas kejayaan kita memenuhi tuntutan Ramadhan, melepasi proses Tarbiyahnya dan akhirnya, kita melambai senja Ramadhan yang menyinsing dengan suatu diri yang tinggi.

Tinggi kerana kita telah menundukkan nafsu.

Nafsu itu seperti api. Kecil-kecil menjadi kawan, sudah besar menjadi lawan.

Manusia terhijab dari melihat kebesaran Allah, apabila nafsu terbiar mengganas jadi ammarah. Nafsu yang menipu kita bahawa kita sepatutnya makan lebih dari yang sepatutnya. Nafsu juga menyebabkan kita bercakap lagha, bercakap lucah, mengamuk dan marah-marah, malah bergaduh dan bertelagah.

Semua itulah yang diajar Ramadan agar kita mengatasinya. Kawal diri supaya jangan dikawal nafsu.

Bila nafsu diajar mengenal batas sempadan, baru diri mengikut piawaian. Dan piawaian itulah apa yang dinamakan sebagai fitrah.

Ramadan melatih manusia menundukkan nafsu, agar dirinya kembali kepada piawaian, kembali kepada Fitrah.

Mereka inilah golongan ‘Aaideen… golongan yang pulang, kembali kepada Fitrah.

MEREKA ITULAH GOLONGAN BERJAYA

Mereka yang berjaya menyerlahkan kembali Fitrah diri yang selama ini terkurung di perangkap nafsu dan kejahilan, mereka inilah golongan yang sukses. Golongan berjaya iaitu golongan Faa’izeen!

“Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan dirinya dari belenggu nafsu” (Asy-Syams 91: 9)

Golongan ini berjaya mengawal dirinya, lantas tidak lagi dikawal oleh dorongan nafsu. Dia sudah merdeka dengan kemerdekaan yang hakiki. Mereka inilah golongan yang berjaya. Golongan al-Faa’izeen yang kita sebutkan.

CERMIN DIRI

Maka cerminlah keadaan diri kita semua. Apakah kita telah kembali kepada fitrah diri yang sebenar selepas Ramadhan ini? Seandainya tidak, ungkapan-ungkapan itu hanyalah sebagai satu ejeken. Mengejek diri sendiri yang jelek, kerana menyarungkan pakaian sutera, pada ‘tunggul manusia’ yang tiada harga…

Moga benar-benar kita ini kembali kepada fitrah, sebelum kita kembali kepada Allah. Kerana itu sahajalah erti Fa’izeen, erti yang sesungguhnya.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, KULLU ‘AAM WA ANTUM BIKHAIR

Nukilan asal: Min al-’Aaideen wa al-Faaizeen: Pujian Atau Ejekan? oleh ABU SAIF Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.

2 Responses to “Min al-’Aaideen wa al-Faaizeen: Pujian Atau Ejekan?”


  1. 1irshadian

    ya, saya juga sakit telinga apabila ada lagu begini dikumandangkan sambil menari-nari “kita bergembira setelah berpuasa menahan lapar dahaga”..huhu

    juga akan timbulkan miskonsepsi masyarakat tentang puasa. dan kegembiraan dalam lagu/drama raya, saya membuat tekaan bahawa ia hanyalah suatu kegembiraan yang dipaksa atau ikutan.

  2. 2husainibrahim

    Tak semua mereka faham apa yang dituntut dan dituturkan, jadi apabila sebahagian mengucapkannya kerana ibadat, sebahagian lagi cuba mempopularkannya melalui adat. Saya gabungkan komen awak kerana ia sambungan 🙂

Leave a Reply