Proton MPV : Tempahan dan Ulasan Hukum


Yang ini atau…


yang ini?

Exora dapat sambutan hangat
PETALING JAYA 21 Feb. – Kenderaan belum siap. Rupa bentuk fizikalnya pun tidak diketahui umum tetapi tempahan sudah mula diterima.

Sambutan rakyat Malaysia terhadap kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora, hasil tangan tempatan ini sememangnya menakjubkan.

Menurut Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd. (Proton), Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, pihaknya mengunjurkan 4,000 hingga 5,000 tempahan menjelang pelancaran Proton Exora pada April ini.

‘‘Pada hari ini, kami menerima tempahan 15 hingga 20 buah MPV di cawangan ini,” katanya pada Majlis Pra Pelancaran Tempahan Proton Exora di bilik pameran Proton di Mutiara Damansara hari ini.

Bagaimanapun, Syed Zainal berkata, pihaknya belum dapat menyatakan jumlah sebenar tempahan yang diterima di seluruh negara.

Tetapi jika cawangan di tempat lain juga menerima angka tempahan yang sama, ia sudah pun melebihi unjuran kerana Proton mempunyai 300 bilik pameran di seluruh negara.

Beliau berkata, setakat ini ramai orang telah datang bertanyakan mengenai Proton Exora-SUMBER

Jelas dari berita di atas dan lain-lain berita yang boleh kita temui dari pelbagai web berita nasional. Tempahan sudah dibuat sedangkan subject matter atau kereta itu masih belum diketahui bentuk sebenar luar dalam, harga tepat dan macam-macam lagi.

Hukum asal bagi setiap pembelian sebegini adalah HARAM disebabkan wujudnya gharar atau uncertainty harga, bentuk dan ciri specifik kereta tersebut. Pembelian ini boleh dikategorikan sebagai Istisna’ iaitu pembelian sesuatu barangan yang akan disiapkan oleh penjual melalui proses perkilangan dan pembuatan.

Beirkut adalah beberapa syarat utama secara ringkas yang mesti dijaga dalam jual beli bentuk tempahan barangan pembuatan ini :

1) Kemestian menjelaskan sifat-sifat barang yang diingini dengan jelas.

2) Menetapkan tempoh siap pembuatan sama ada panjang atau pendeknya. Kecuali mazhab Hanafi tidak mensyaratkan sebarang tempoh tertentu, kerana itu adalah syarat dalam jualan as-Salam. [1]

3) Sebelum pembuat memulakan kerja, status aqad adalah ghayru lazim (boleh dibatalkan oleh sebelah pihak walau tanpa persetujuan yang lain), namun setelah kerja tamat sebelum diberikan kepada penempah, aqad telah bertukar menjadi lazim (hanya boleh dibatal dengan persetujuan kedua belah pihak). Adapun, jika hasil kerja pembuat berbeza dengan perincian sifat yang ditempah, penempah boleh memilih sama ada untuk meneruskannya. Keputusan Akademi Fiqh OIC dan Majlis Syariah Majis Perakauan dan Kewangan Islam sedunia memutuskan bahawa istisna adalah aqad lazim. [2]

4) Harus penempah (pembeli) mengenakan denda dalam bentuk kewangan ke atas pembuat sekiranya ia gagal menyerahkan barang yang dijanjikan dalam masa yang ditetapkan. [3]

Keperluan mengetahui dengan jelas harga, tempoh serahan dan lain-lainya diadaptasi dari hadis Nabi s.a.w dalam hal jualan as-salam

(bermaksud): “Barangsiapa yang membeli secara serahan barangan tangguh (as-Salam), hendaklah ia menetapkan timbangan, beratnya dan tempoh masa dengan jelas.”(Riwayat al-Bukhari)

Namun demikian, hukum mungkin berubah dalam beberapa keadaan tempahan, iaitu:-

1- Tempahan tanpa sebarang bayaran. Ia harus atau dibenarkan menurut hukum kerana ia ibarat janji satu pihak untuk memeterai kontrak istisna sahaja.

2- Tempahan dibuat dengan bayaran namun pembeli boleh menarik balik. Iaitu jika harga tepat dikeluarkan, pembeli boleh menarik balik tempahan tanpa denda jika mereka tidak selesa dengan kualiti, bentuk dan harga terakhir kereta itu. Jika tempahan yang dibuat dengan sifat sebegini, ia mungkin boleh menjadi harus akibat kuantiti gharar yang mengecil bagi pihak pembeli, manakala gharar yang berlaku di pihak Proton adalah masih kecil selagi mereka belum memulakan proses pembuatan.

3- Tempahan dibuat tetapi harga kereta diberikan secara range iaitu dari RM 70,000 ke RM 80,000. Ia masih dikira gharar yang besar. Justeru, ia masih jatuh dalam hokum haram kerana bercanggah dengan syarat istisna dan salam yang ditentukan oleh Nabi s.a.w.

Sebaiknya pihak proton tidak terlalu tergesa-gesa untuk membuka tempahan kecuali setelah pelancaran mempamerkan kereta contoh di showroom proton edar dan harga tepat bagi setiap kapasiti enjin. Masalah semakin mendalam apabila gambar yang disebarkan awam mempamerkan dua bentuk Proton. Kita bimbang ada yang menyangka proton MPV dalam bentuk futuristik di atas tetapi apabila dilancarkan, bentuk pertama yang keluar.

Tanpa dipenuhi kedua syarat ini, pengurusan Proton dikira telah dan sedang melakukan penjualan kereta dengan kaedah dan cara yang bercanggah dengan Shariah. Kecualilah jika tempahan adalah dalam dua bentuk yang dijelaskan di atas. Apa yang jelas dari web proton, BOOKING FEE SEBANYAK RM 1000 adalah Non-refundable (tidak boleh dipulangkan kembali) dan dengan jelas juga dimaklumkan di dalam terms & conditions:

Accessories and packages are subject to change without prior notice.

Ertinya : Semua aksesori dan pakej kereta adalah tertakluk kepada perubahan TANPA SEBARANG NOTIS.

Jika inilah keadaannya, anda tentu dapat mengagak apa hukumnya?

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
26 Feb 2009
http://www.zaharuddin.net/

**Artikel disalin dengan sedikit pindaan – husainibrahim

12 Responses to “Proton MPV : Tempahan dan Ulasan Hukum”


  1. 1irshadian

    Banyak la jugak nak book kena bayar RM1000, ala yang depa syok sangat nak book tu kerana ni kereta pertama Proton yang lawa agaknya, kalau kata Proton berurusniaga haram, kesian plak kat pekerja Proton.

  2. 2husainibrahim

    Satu hari…
    “Abang kerja kat mana?” soal seorang pelajar Universiti menyapa ramah seorang pekerja yang sama-sama menunggu bas di situ.
    “Shah Alam,”jawabnya ringkas sambil tersenyum.
    “Kilang ek?” tanya pelajar itu lagi..
    “A’ah, kilang…kilang Carlsberg..”jawabnya perlahan.
    “Eh, abang, kita orang Islam mana boleh kerja kat situ..haram!” tingkas pelajar yang berjurusan Syariah tersebut.
    “Adik janganlah cakap macam itu, abang cari rezeki..KESIANla kat abang ni…kelulusan tak ada..” dia menjawab sambil menunduk.
    “Ops, maafkan saya, abang. Tak haram..tak haram, KESIAN kat abang,” atas simpatinya, pelajar itu ‘mengubah’ hukum yang dipelajari sekian lama.

  3. 3ashraflatif

    Husain, gambar atas MPV yang exora tu. Yang bawah proton concept car. MSX nama dia.

    Lagi satu, yang ambik order tu proton edar. Kiranya macam ni la. Kau keje buat kuih kepada pembekal kuih. Tapi, sebelum kau buat kuih, pembekal dah sibuk cari pembeli, letak spek, ambik deposit etc. Adakah kau sebagai pembuat kuih dikira bersubahat?

  4. 4azimin

    a ah. MSX tu kete yang takkan dijual secara commercial. dia ade dekat proton je. boleh pergi ngk kete tu kat proton.

    tapi, macam mana pulak dengan orang keje buat baju? baju tak buat lagi, tapi orang da tempah, bayo deposit siap?

  5. 5husainibrahim

    Terima kasih atas pencerahan dan analogi yang baik. Syubhahnya sekarang, spek Exora belum ada secara pasti begitu juga dengan harganya, jadi urusniaga tempahan dan deposit yang diambil adalah tidak sah.

    Kau buat kuih,kau tau kuih apa dan harganya macam mana. Itu bezanya antara pembekal kuih dengan pembekal Exora (kalau Proton Edar, dialah) dalam kes ini. Wallahua’lam.

  6. 6husainibrahim

    Tak semua orang tau MSX tak MSX..kau pergi Proton kau taulah, orang-orang kebanyakan macam aku dan rakyat Malaysia lain macam mana?

    Buat baju macam aku jawab kat Cceghah kat atasla,kau dah tau kau nak baju macam mana, stailnya, sesetengah orang siap bawa sampel tunjuk kat tukang jahit. Harga pun dia dah letak, contohnya RM40 sehelai.

    Bezanya dengan tempahan Exora ni, kat showroom pun tak ada lagi, macam mana kau boleh tempah sesuatu yang kau sendiri taktau berapa harga dan speknya secara pasti. Proton pun belum terbitkan senarai spek dan harganya,tau-tau dah buka tempahan. Maka tempahan ini yang tidak sah.

    Wallahua’lam.

  7. 7uzar

    salam,

    Husaini, good answer..tak la susah-suah saya nak terangkan lagi.

  8. 8husainibrahim

    Salam UZAR,
    Jazakallahu khairaa…saya mengambil manfaat daripada artikel Ustaz juga. Saya tolong jawab mana-mana yang mereka persoalkan secara ringkas dan difahami.

  9. 9myadlan

    salam.

    bukanla aku nak pandang rendah akan hukum ni, tapi kalau setakat rekabentuk tu, rasanya ramai da boleh tengok kat tenet sebelum beli.

    lagipun baru2 ni pihak media da dijemput utk pandu uji. pasal spesifikasi tu memang da dijelaskan pun drp jurucakap proton.

    satu lagi, ini salah satu marketing strategi. proton da invest banyak da. RM1000 tu pun tak banyak mana..

    harga tu ada range dia sebab exora ni ada beberapa jenis varian. Medium line dengan high line. bukanlah harga dia tak pasti pun.

    so sekarang, secara spesifiknya kena salahkan orang sales dan marketing la sebab nak jual cara yang tak islamik ni..

  10. 10faried

    husain, gambar exora dengan msx tu tak kuar pun kat atas?

  11. 11husainibrahim

    Faried, gambar dah keluar. Kedua-dua gambar tu berasal dari web Ustaz Zaharuddin, jadi apabila web dia down dua tiga hari ni, tu yang tak keluar gambar tu.

  12. 12husainibrahim

    Salam, Adlan. Terima kasih atas kunjungan dan komentar. Artikel UZAR ini ditulis sejurus Exora diumumkan namanya dan keluar berita bahawa tempahan telah dibuka. Pada waktu itu, wartawan pun tak dipanggil untuk test drive lagi, jadi segala-galanya masih samar termasuklah spek dan harganya yang masih dalam anggaran sahaja.

    Dalam kesamaran tersebut, tiba-tiba Proton Edar kata tempahan dah dibuka dan dah ada orang menempah pun. Maka inilah yang UZAR cuba beritahu, bahawa transaksi tempahan tersebut adalah tidak sah kerana kesamaran benda yang ditempah dari segi sifat dan harganya.

    Adapun kalau dirujuk waktu sekarang ni, memang dah keluar dah spesifikasi, jenis, model, dan sebagainya dan wartawan dah ada yang test drive MPV tersebut, maka entri ini tak teraplikasilah hukumnya di situ.

    Apabila Adlan kata itu strategi pemasaran, saya terfikir juga bahawa mungkin hakikatnya sebelumini tak ada orang yang telah menempah pun lagi MPV tersebut tapi ‘diadakan’ berita tersebut sebagai salah satu tarikan kononnya Exora mendapat perhatian pembeli walaupun sebelum dilancarkan secara rasmi.Wallahua’lam.

Leave a Reply