Puasa selepas setengah Syaaban berlalu

oleh Abu Umair (www.abuumair.wordpress.com)

PUASA SELEPAS SETENGAH SYAABAN.

Pendapat Ulama
Terdapat tiga pendapat dalam masalah ini:

a. Pendapat Pertama
Harus berpuasa selepas setengah Syaaban. Ini adalah pendapat jumhur ulama di kalangan mazhab Hanafi, mazhab Maliki, dan mazhab Hanbali .

b. Pendapat Kedua
Makruh berpuasa selepas setengah Syaaban bagi mereka yang tiada kelaziman puasa sebagai adat. Adapun bagi yang ada kelaziman puasa, hukumnya tidak makruh. Ini adalah pandangan mazhab Syafie.

c. Pendapat Ketiga
Haram berpuasa selepas setengah Syaaban. Ini pendapat Ibnu Hazm Al-Zahiri.

Dalil

• Dalil Pendapat Pertama
Jumhur ulama berhujah dengan hadis di dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

Maksudnya : “Janganlah salah seorang kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari. Kecuali seseorang yang berpuasa dengan satu puasa (adat kebiasaannya) maka berpuasalah pada hari itu”

Penjelasan dalil
Hadis tersebut melarang mendahului Ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari. Ini bererti boleh mendahuluinya jika lebih daripada itu. Iaitu selepas setengah Syaaban.

• Dalil Pendapat Kedua
Mazhab Syafie pula berhujah dengan hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

Maksudnya: “Apabila tiba setengah Syaaban, maka janganlah berpuasa”

• Dalil Pendapat Ketiga
Ibnu Hazm berhujah dengan hadis yang sama, iaitu larangan daripada puasa selepas setengah Syaaban.

Pendapat Yang Rajih

Tidak ada larangan berpuasa selepas setengah Syaaban, kecuali dalam hadis Abu hurairah, “Apabila tiba setengah Syaaban, maka janganlah berpuasa”. Maka perlu kepada penyelidikan tentang kesahihan atau kedhaifannya.

– Hadis ini diperselisihkan pada kedudukannya. Ada yang menilainya sahih seperti: Imam Tirmizi, Al-Hakim, Ibn Hazm, Al-Tahawi, Ibn Abdil Barr dan lain-lain.

– Dan ada yang menilainya dhaif seperti Abdul Rahman bin Mahdi, Imam Ahmad, Abu Zur’ah, Al-Atsram, Abu Daud, Baihaqi, Nasai, dan lain-lain.

Pendapat yang lebih sahih tentang hadis ini -Wallahu A’lam- ialah pendapat yang mendhoifkannya, kerana:

1) Mereka yang menilainya dhaif, lebih pakar dan mahir dalam ilmu hadis dan kecacatan hadis. Kata Ibn Rajab: “Hadis ini dinilai sahih oleh Tirmizi, Ibn Hibban, Hakim, Tahawi, dan Ibn Abdil Bar. Dan ia dipertikaikan oleh ulama yang lebih hebat daripada mereka”.

2) Hadis ini menyalahi beberapa fakta lain, antaranya:

i) Mafhum hadis sahih (Bukhari dan Muslim) iaitu hadis yang melarang berpuasa sehari atau dua hari sebelum Ramadhan. Ertinya jika lebih daripada dua hari, maka ia tidak dilarang. Maka menunjukkan puasa selepas 15 Syaaban diharuskan.

ii) Hadis Aisyah yang mengatakan Nabi berpuasa hampir keseluruhan Syaaban. Dalam hadis Bukhari dan Muslim, kata Aisyah: “Bahawa Rasulullah SAW berpuasa Syaaban keseluruhannya. Iaitu baginda berpuasa Syaaban kecuali sedikit”. Ini menunjukkan bahawa baginda berpuasa walaupun selepas 15 Syaaban.

Kesimpulan

– Mereka yang cenderung mengatakan hadis larangan puasa selepas 15 Syaaban adalah sahih, maka hukumnya makruh berpuasa kecuali ada kelaziman puasa.

– Mereka yang cenderung kepada mendhaifkan hadis tersebut -dan ia lebih tepat- hukum berpuasa adalah harus, tidak ada sebarang larangan samada haram atau makruh.
Wallahu A’lam.

0 Responses to “Puasa selepas setengah Syaaban berlalu”


  1. No Comments

Leave a Reply