Riba, bunga dan interest

“Mak, itu duit apa?” tanya saya.

“Itu duit bunga bank. Mak asingkan supaya tidak bercampur,” jawab emak ringkas menerangkan. Sememangnya di luar bekas tersebut tertulis perkataan ‘Bunga Bank’

“Kenapa pula tidak boleh guna?” tanya saya kurang mengerti.

“Sebab dari bank yang tidak Islam. Riba. Hukumnya haram. Tok Guru Nik Aziz kata duit riba kena belanja buat tandas-tandas awam,” sambung emak lagi.

Itu pelajaran pertama saya mengenai riba. Lebih berbelas tahun dahulu. Biarpun saya tidak ingat umur saya ketika itu, namun pelajaran pertama itu melekat dalam minda sehingga kini. Hasil berkat pendidikan ibu sendiri.

Pendidikan bertambah sesuai dengan umur yang meningkat. Saya mula tahu bahawa istilah bunga bank dipopularkan sebagai bank interest. Seakan-akan ingin menghalalkannya dan menjauhkan masyarakat daripada istilah riba yang agak asing ketika itu.

KESEDARAN TIDAK SEIRING PERKEMBANGAN

Namun, perbankan Islam yang makin berkembang pesat di negara ini turut membawa bersama perkembangan ilmu ekonomi Islam dan perbankan Islam.

Pakar-pakar dan tokoh-tokoh ekonomi dan perbankan Islam mula bercakap di merata-rata. Bank-bank Islam mula bertambah dan berkembang. Ditambah lagi dengan bank-bank konvensional yang tidak ingin ketinggalan dalam perkembangan ini, menubuhkan anak-anak syarikat perbankan Islam di bawah mereka.

Sedihnya, perkembangan perbankan Islam ini tidak terkejar oleh kesedaran masyarakat Muslim sendiri. Tidak sedikit yang merasakan bahawa perbankan Islam hanyalah alternatif kepada perbankan konvensional sedia ada.

Dan lebih tidak sedikit daripada mereka yang mempunyai tanggapan bahawa perbankan Islam zalim walaupun halal. Bahkan mereka lebih rela memilih perbankan ribawi yang haram dengan hanya membandingkan angka dengan angka.

Barangkali mereka tidak mengetahui, kata hati kecil saya. Mudah-mudahan begitulah.

Mudah-mudahan yang tidak tahu, apabila diberikan pengetahuan, timbul juga rasa kemahuan kepada instrumen Islam yang halal lagi berkat.

Dan mudah-mudahan yang dah sedia tahu, semoga rasa mahu itu diberikan kekuatan oleh Allah untuk bergerak beraksi melakukan yang sepatutnya.

Insya Allah.

JENIS-JENIS RIBA

1. Riba yang terhasil daripada transaksi pinjaman (Riba al-Duyun)

Ada dua jenis dalam kelas ini:

i. Riba jenis pinjaman

Contoh 1: Kata Bush, “aku beri pinjam duit RM500 ni kepada engkau, engkau kena pulangkan balik RM550”.

Maka ini riba jenis pertama. Hal ini kerana asas pinjaman dalam Islam hanya satu iaitu al-Qardh al-Hasan bererti pinjaman yang baik atau good loan.

al-Qardh al-Hasan bermaksud sebarang pinjaman yang diberikan kepada peminjam adalah atas dasar ihsan dan kebaikan. Maka, mengambil sebarang keuntungan daripadanya adalah HARAM sama sekali.

Oleh sebab itu, pemiutang atau pemberi pinjam lebih baik daripada pemberi sedekah sebanyak beberapa kali ganda kerana kebaikan dan ihsannya sanggup meminjamkan asetnya kepada orang lain. Maka dengan itu, Islam melarang pemberi pinjam mengambil manfaat daripada sebarang pinjaman.

Inilah riba yang berlaku sekiranya mengambil pinjaman daripada bank-bank konvensional.

Adapun bank-bank Islam, mereka tidak meminjamkan wang kepada peminjam seperti mana umumnya disebut sebagai pinjaman secara Islam TETAPI sebenarnya mereka menggunakan transaksi jual beli yang mana harus untuk berlaku perbezaan harga disebabkan beberapa faktor yang diiktiraf.

Dengan demikian produk ‘pinjaman’ di bank-bank Islam tidak disebut sebagai loan tetapi financing iaitu pembiayaan.

Riba juga berlaku dalam contoh berikut:

Contoh 2: Kata Blair, “aku pinjamkan engkau motor aku ini dengan syarat, balik nanti minta isikan minyak sepenuh tangki.”

Kenapa ia turut dikatakan riba? Kerana berlaku pengambilan manfaat atau penetapan syarat ke atas akad pinjaman ini iaitu minyak motor sepenuh tangki.

Bagaimana jika mahu dielakkan riba pada kes sebegini?

Hendaklah dinyatakan dalam akad bahawa ia merupakan sewa BUKANnya pinjaman dan sewaan ke atas motor itu ialah minyak sepenuh tangki. Maka ini adalah harus menurut syarak.

Kata Blair, “oleh sebab aku tidak ingin memberi engkau pinjam, aku sewakan motor ini kepada engkau dengan sewanya minyak sepenuh tangki.”

ii. Riba jenis Jahiliyah

Riba jenis ini lebih mudah dilihat aplikasinya pada pembayaran kad-kad kredit konvensional iaitu apabila lewat pembayaran kad dibuat, maka penalti akan dikenakan.

Sebahagian bank Islam juga terpaksa mengamalkan riba jenis ini disebabkan sebilangan umat Islam yang mengambil kesempatan terhadap bank-bank Islam, maka penalti terpaksa dikenakan juga.

Cumanya, penalti tersebut wajiblah diasingkan daripada aset-aset bank Islam itu sendiri dan terus disalurkan kepada golongan fakir miskin. Ini adalah fatwa dan panduan yang digariskan oleh Majma’ Fiqh Sedunia OIC berdasarkan kaedah dalam mazhab Malik berbunyi ‘iltizam al-tabbarru’ yang bererti melazimkan sumbangan.

2. Riba yang terhasil daripada transaksi jual beli (Riba al-Buyu’)

Secara umumnya, riba jenis ini terekstrak hukumnya daripada hadith Nabi yang bermaksud:

“Emas dengan Emas ( ditukar atau diniagakan) , perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus ( pada satu masa) dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual-belilah kamu sebagaimana yang disukai” ( Riwayat Muslim, no 4039 no hadith , 11/9 ) .

Daripada hadith di atas, semua jenis transaksi seperti di atas hendaklah memenuhi dua syarat iaitu

1) Ditukar (serah dan terima) dalam waktu yang sama ia disebut dalam hadis sebagai “yadan bi yadin”. Dalam bahasa Inggerisnya adalah “on the spot basis”.

2) Sama timbangan, sukatan atau jenisnya.

Maka, terpakai juga hukum di atas kepada matawang pada hari ini kerana ulama bersepakat bahawa matawang (bank note) juga adalah sama displinnya dengan emas dan perak disebabkankan nilai dan fungsinya sebagai ‘medium of exchange’. Justeru setiap displin dan syarat transaksi yang melibatkan emas dan perak juga TERPAKAI pada urusan transaksi matawang.

Maka, FOREX dari sekecil-kecil menukar wang di ‘money changer’ hinggalah sebesar-besar perdagangan matawang asing di bank-bank dan institusi kewangan, wajib memenuhi dua syarat di atas iaitu same amount and on the spot basis.

Justeru, situasi berikut adalah HARAM dan RIBA.

Obama menukar USD100 di pengurup wang untuk mendapatkan RM35o dalam lawatannya ke Malaysia minggu ini. Setelah memberikan USD100, beliau pergi ke tandas terlebih dahulu sebelum kembali ke pengurup wang tadi untuk mengambil RM350nya yang telah ditukarnya.

Riba adalah dosa besar.

Besar dosanya sehingga Allah mengumpamakan pelakunya seakan-akan berperang dengan Allah dan Rasul-Nya, naudzulbillah min zalik!

Jauhkanlah mudarat dan ambillah manfaat.

Semoga entri ini bermakna dan berjasa buat semua, Ameen!

p/s: perbincangan dan segala nota berkaitan riba diambil daripada video kuliah oleh al-Ustaz Zaharuddin Abd Rahman (www.zaharuddin.net)

Husaini Ibrahim @ www.husainibrahim.com
22:59 20 April 2010
68000 Ampang

3 Responses to “Riba, bunga dan interest”


  1. 1kak long

    salam. tang Obama pergi toilet tu, boleh jelaskan lagi? part Riba terhasil daripada jual beli..

  2. 2husainibrahim

    Salam kak long, bahagian tu dipanggil riba al-nasiah, riba yang terhasil kerana tidak memenuhi syarat pertukaran matawang iaitu mesti berlaku dalam satu majlis; on the spot basis. Biarpun tidak ada perbezaan jumlah matawang diterima kerana kemungkinan beza waktu hanya sekejap, namun kerana syarat tidak dipatuhi, urusniaga tersebut jatuh dalam urusniaga riba. Allahua’lam

  3. 3amal

    penalti tersebut wajiblah diasingkan daripada aset-aset bank Islam itu sendiri dan terus disalurkan kepada golongan fakir miskin. Ini adalah fatwa dan panduan yang digariskan oleh Majma’ Fiqh Sedunia OIC berdasarkan kaedah dalam mazhab Malik berbunyi ‘iltizam al-tabbarru’ yang bererti melazimkan sumbangan.

    adakah melazimkan sumbangan itu merujuk kepada menyumbang hasil bunga?

Leave a Reply