Saat separuh agamamu telah sempurna

saat kauterima nikahnya

“Aku terima nikahnya Farahani binti Hashim dengan mas kahwin sekian-sekian, tunai!” dengan sekali lafaz, Alhamdulillah sahabatku, bekas rakan sebilikku dan seperjuanganku, Muhamad Firdaus Sainal a.k.a Firs (baca: First) selamat diijabkabulkan dengan gadis pilihannya.

Aku begitu teruja pada malam itu.

Hasratku untuk melihat sahabatku menerima akad daripada jurunikah telah lama kupendamkan sebaik saja khabar gembira beliau akan mendirikan masjid sampai kepadaku melalui lisannya sendiri.

Keterujaanku mengatasi rasa keterharuanku yang selama ini hadir menyelubungi setiap kali aku menghadiri majlis akad nikah atau walimah rakan-rakanku yang lain; Syazwan-Nadiah, Asyraf-Salwa, Azim-Najia dan lain-lain lagi.

Ke sana ke mari langkahku merakam dan memetik punat kamera digitalku untuk merakam setiap detik manis dan berharga majlis pada malam itu, sedangkan selama ini aku bukanlah di kalangan yang rajin memegang kamera pada setiap kali majlisperkahwinan sama ada rakan-rakanku mahupun saudara-maraku.

Namun pada malam itu, hampir setiap aksi sahabatku tidak mahu kulepaskan saatnya untukku simpan dalam bentuk foto dan gambar digital.

TUNGGU FIRS KAHWIN DULU

“Husaini, nta bila lagi nak berkahwin? Bukan calon dah ada ke?” usik rakanku seraya melontarkan soalan yang dianggap cepumas buat mereka yang dah bekerja tetapi masih bujang.

“Ana tunggu Firs berkahwin dahulu,” jawabku seakan yakin bahawa sahabatku akan mendahuluiku dalam membina  mahligai perkahwinan ini biarpun pada ketika itu aku tahu Firs masih tidak menyatakan apa-apa tentang perkara itu.

Namun, naluriku cukup kuat mengatakan sahabatku akan lebih cepat bergelar suami sebelumku dan lantaran itu aku sentiasa mengulang-ulang jawapanku yang aku akan menunggunya ke jinjang pelamin dahulu dan barulah aku akan mengikuti jejak langkahnya.

AKHIRNYA…

Sepertimana yang aku pernah ceritakan di sini dalam entri sebelum ini, khabar gembira itu kusambut dengan rasa terharu dan sedikit terkejut serta teruja.

Benarlah telahan dan jawapanku selama ini biarpun aku hanya bersandarkan naluri dan nilai seorang sahabat yang inginkan ithaar (mendahulukan saudaranya melebihi dirinya) terhadap sahabatnya.

Sejak saat itu, aku menyimpan azam untuk hadir pada malam akad nikah beserta walimahnya yang tak ingin langsung untukku melepaskannya.

SEDIKIT ‘CLASH’

Kali kedua aku berkunjung ke teratak sahabatku yang juga pernah menjadi teratak indahku dulu di Taman Bukit Saga, Shah Alam, aku bertanyakan tarikh perkahwinan beliau yang bakal berkunjung untuk kepastian.

Ternyata tarikh walimah beliau berlaku pertindihan dengan tarikh majlis resepsi perkahwinan sepupuku di kampung. Agak sukar dan rungsing untukku rungkaikan kesulitan yang timbul ini memandangkan pertembungan antara majlis saudara dengan majlis sahabat tentunya akan membawa ‘kemenangan’ kepada majlis di sebelah saudara.

Syukur pada Allah, kerungsingan itu dapat diselesaikan dan aku memilih untuk bersama sahabatku pada majlis berbahagianya dengan restu emak dan abah. Sementelahan pula, aku telah mengikut majlis sepupuku itu sejak dari proses bertunangnya lagi dan majlis perkahwinan mempelai perempuan yang diadakan di negeri Serambi Makkah nun di Pantai Timur sana.

Walimah sepupuku di Meranti, Pasir Mas pada 04 Syawal yang lalu

Rasionalnya begitulah, aku fikir sendiri.

HARINYA TELAH TIBA

8 Syawal 1431H bersamaan 17 September 2010, hari Jumaat yang dinanti-nantikan telah tiba. Sedari pagi ketika aku sedang bekerja, aku cuba mengajak rakan serumah Firs untuk menemaniku ke majlis pada malam ini.

Petang itu, Hadi, rakan yang kujanji bersama untuk hadir tidak dapat menunaikannya dek tuntutan kerja yang segera dan penting.

Sorryla Sen, aircraft baru masuk hangarlah, kena settle cepat” mesejnya ringkas dalam SMSnya kepadaku.

Tepat jam 7.45 malam, Myvi AFRku bergerak menuju destinasi yang lebih kurang jauhnya 32km daripada lokasi kediamanku. Deretan kereta di Jalan Lingkaran Tengah II mengiringi pemergianku ke sana.

Jalan sesak sementelah ada yang sudah pulang ke kota ini

Perancangan Allah yang Maha Cantik betul-betul menyempatkan aku untuk sampai di Masjid UNITEN tepat pada masa azan Isyak berkumandang. Dengan berseorangan tanpa teman, dan penuh kejutan, aku mencari kawasan untuk memarkir keretaku.

Mujur ada rakanku, Abdul Ghafur yang kebetulan hadir bersolat Isyak berjemaah di situ bersama-sama ayahnya. Aku mengajaknya untuk bersama-samaku dalam majlis sahabat kami sebentar nanti dan beliau menyetujuinya.

Dari kejauhan, ketika bilal melaungkan iqamat memanggil makmum ke saf-saf hadapan untuk mendirikan solat Isyak, aku mengerling ke arah Firs sudah perasan akan kehadiranku dan Ghafur.

Kejutan untuknya, kataku dalam hati.

MOMEN BAHAGIA

“Eh, tolong ganti aku,” tegur Firs kepada Ghafur bernada gurauan seraya menyalami kami berdua. Tika itu, solat sunat ba’diyah Isyak usai ditunaikan semua jemaah yang hadir.

“Kau datang dari rumah engkau ke?” tanya Firs kepadaku.

“A’ah,” jawabku ringkas diiringi anggukan ringan.

“Ada apa-apa ke malam ni?” kukira beliau memaksudkan aku mungkin ada program di tempat lain lalu sekadar singgah di situ secara kebetulan.

“Tidaklah, memang sengaja,” aku menjawab ringkas menjelaskan maksud ‘special appearance’ku malam ini pada majlis istimewanya itu.

Majlis yang hanya menjemput kerabat terdekat dan saudara-mara itu tentulah tidak manis seandainya ada orang luar yang hadir sama memandangkan tempahan jamuan telah dibuat.

Namun, mengambil kira majlis tersebut diadakan di Masjid UNITEN dan tentulah masjid tiada siapa yang ingin menghalang daripada mendatanginya, aku mengambil tindakan ‘nekad’ ini membuat ‘special appearance’ pada malam tersebut.

Bertindak atas keazamanku untuk tidak mahu melepaskan momen bahagia sahabatku ini, aku datang juga memunculkan diri dan merakam saat-saat dan kenangan manis malam tersebut.

Pun begitu, aku tetap menghormati keperibadian majlis tertutup ini dengan segera beredar bersama rakanku Ghafur tatkala usai majlis akad nikah dan sesi-sesi hiliran di dalam masjid tersebut.

Padaku, sekian lama dan banyak aku menghadiri walimah dan akad nikah rakan-rakanku yang lain, tentu tidaklah untukku melepaskan peluang menghadiri majlis akad nikah sahabatku yang seorang ini. Apatah lagi sahabat tentulah lebih afdhal dan lebih aula untuk aku meraikannya.

Seperti kalamku sebelum ini, padaku beliau merupakan sahabatku biarpun mungkin aku ini hanya sederet di kalangan rakan-rakannya yang lebih baik daripadaku.

Alhamdulillah, sesi akad nikah telah selesai. Keterujaanku merakam setiap kenangan dan aksi beliau sehingga ke saat tangannya diciumi halal oleh permaisuri hatinya begitu meresapi perasaanku.

Saat tangannya halal dikucup permaisuri hati

DOAKU BUAT MEREKA

“Ya Allah, berkatilah sahabatku Muhamad Firdaus Sainal dalam hidupnya, berkatilah beliau dan isterinya dalam susah dan senang, dan rezekikanlah mereka zuriat-zuriat yang soleh dan solehah, Ameen!”

Mungkin selepas ini akan timbul pula persoalan kedua yang memeningkan aku untuk menjawabnya,

“Husaini, kawan baik nta dah lepas, hari itu kata hendak tunggu dia. Ha, bila lagi?”

Errr…selamat pengantin baru, Firs!

“Semoga Allah mengurniakan keberkatan buat engkau (Firdaus), dan keberkatan daripada perkahwinan ini ke atas engkau (Firdaus) dan mengumpulkan kamu berdua (Firdaus dan Farah) dalam (segala) kebaikan”

Husaini Ibrahim @ www.husainibrahim.com
10:24 18 September 2010 / 09 Syawal 1431
68000 Ampang

4 Responses to “Saat separuh agamamu telah sempurna”


  1. 1Hadi Ramzan

    terharu aku membacanye, sen…benar2 terpanggil utk mendirikan rumah tangga..mohon doa agar dipermudahkan segala urusan.

  2. 2Husaini Ibrahim

    Terima kasih, Hadi. Itulah, mudah-mudahan engkau dan aku dipermudah segala urusan terutama berkaitan dengan mendirikan rumah tangga ini, Insya Allah wa Ameen!

  3. 3Abu Zubayr

    Moga Allah memudahkan urusan mendirikan rumahtangga buat kamu, Usen n Hadi 🙂 Terharu dengan entri kali ni..dan terkilan kerana tak dpt datang untuk walimah Firs. InsyaAllah akan cuba menghadirkan diri di walimah pihak lelaki.

  4. 4Husaini Ibrahim

    Ameen3x..ya Rabb! Tak apalah, engkau pun ada hal yang lebih penting untuk kau take care hari itu. Insya Allah, kalau tiada aral, aku pun nak ke Muar Januari nanti, Insya Allah!

Leave a Reply