Sahabat, teman dan rakan…

1.

“F, ko ada sahabat tak?” persoalan dilontarkan kepada teman sebelahku oleh si Z yang tidak lain juga rakan sebilikku. Aku mengerti maksud soalannya. Bukan sekadar soalan biasa

Diam mengisi ruang kosong itu sebentar.

“Hmm, sahabat? Entahlah kawan…,” jawapan itu bukan aku sangkakan dan tidak jugak aku terkejut mengenainya. Aku mengerti dia juga faham maksud terma itu yang sebenarnya.

Kerana sahabat sukar diberi erti…

2.

“Kapten, ini kawan kapten ke?” tanya Hilmi, rakan sekerja merujuk kepada seorang berpangkat Mejar yang duduk bersampingan Kapten bersara yang diajukan soalan tersebut.

“Sahabat.” jawapan ringkas tapi penuh makna. Berdahuluan dengan hening seketika. Berbaur ketegasan dalam suaranya meski bernada datar. Aku tahu beliau memaksudkannya, dari perbualannya yang mesra dan mengimbau kenangan bersama sahabatnya itu.

Kerana sahabar sukar dicari…

3,4,5…

Antara entri-entri yang awal-awal aku bayangkan apabila aku menulis blog adalah mengenai sahabat dan persahabatan. entah kenapa, setahun lebih berlalu, isi entri tersebut masih belum berjaya kutumpahkan dalam blog ini. Alasan tipikal yang biasa pemblog gunakan ialah tiada mood dan mental block, heh!

Bagi yang benar-benar mengerti dan memahami, sahabat memang sukar dicari dan sukar untuk diberi erti.

Adakah dia sahabat kerana lamanya ‘perkawanan’ itu…

Adakah sahabat itu kerana hanya dia yang engkau selesa dengannya…

Adakah sahabat itu lahir hasil engkau dan dia men’declare’nya begitu…

Atau sahabat itu kerana benar-benar dia mempunyai nilai seorang sahabat…

Hanya yang mengerti dan menghayati maksud sebenar sahabat akan mempunyai jawapan yang sebenar. Dan barangkali aku juga belum menemui dan sedang mencari jawapan yang sebenar.

Lama dan sekejap

Ada rakan yang lama kita tidak ketemu, tetapi sekali bertemu dengannya, senang hati melihat wajah manisnya, terasa kehangatan ukhuwah mengalir dari suara tegurannya lalu kekakuan tidak datang berjemput meskipun hanya sekejap bersua.

Sedang pula ada kawan yang selalu wajahnya singgah di mata yang melihat dek kekerapan bertemu dengannya tetapi hati cepat-cepat terasa hambar sedangkan bukan benci yang menimpa, cuma hilang kemanisan dalam perbualan biarpun telah lama berkawan.

Sekali lagi, bukan kerana lama dan sekejapnya yang menjadikan kita mesra atau sejuk, cuma nilai dalam erti perhubungan itu yang memberi makna.

“Kenapa setiap kali aku ajak kau keluar, kau jarang menolak? Aku rasa serba salah kadang-kadang nak ajak lagi, padahal bukannya ada untung kat engkau pun?” tanya Faiz membangkitkan kesediaan aku ‘mengekorinya’ sedangkan baru beberapa minggu aku mengenalinya.

“Hmm, kawan aku jauh…Faiz,” jawabku. Hanya kalimah ‘kawan’ yang keluar, sedangkan hati aku memaksudkan sahabat kerana mustahillah aku tiada kawan sedangkan aku menyewa pun bersama kawan-kawan. Entahlah, mungkin sekali janggal untuk membahasakan begitu pada kawan biasa.

“Aku mungkin bukan yang di kalangan yang terbaik untukmu tetapi percayalah kau adalah yang terbaik untukku” -FB

Status Facebook di atas sesekali pernah mendatangkan makna kedua yang aku tidak maksudkan ketika menulis status itu di dinding FBku, lantaran seringkali perhubungan mesra dengan ayat-ayat begitu boleh sahaja diertikan untuk ke arah mendirikan masjid.

Tetapi bukan itu maksudku. Aku menulis untuk seorang sahabat, kerana nilainya yang tak mampu untukku tandingi, maka aku nobatkan dia sebagai sahabatku, sedangkan aku boleh jadi hanya insan biasa di sisinya kerana perbezaaan nilai itu.

..

Ketika sahabat baikku melontarkan khabar yang beliau akan menjengah ke jinjang pelamin tidak lama lagi, kesentakanku seiring dengan rasa terharu yang mendalam. Pada saat beliau masih merahsiakan perkara itu dari teman-teman lain, tanpa aku bertanya beliau sudi berkongsi denganku.

Aku pulang dari terataknya dengan perasaan yang bercampur baur sekali. Bukan sekali dua aku mengimbas kenangan persahabatan ini dengan beliau selama ini. Hampir-hampir sahaja aku tidak menyedari secara penuh yang aku sedang memandu pulang dengan MyVi milikku pada malam itu, hanya minda separa sedar sahaja yang membantu pergerakan pulang menjadi lancar.

Entah apa yang mengikat dan mengulit perasaan di hati ketika itu dan ini, seakan-akan aku berasa akan kehilangannya selepas ikatan suci itu. Sungguh, aku sayangkannya sebagai sahabat kerana Allah! Mudah-mudahan aku tidak terus terleka untuk mendoakan beliau selepas ini.

Sungguh, sahabat terbaik tentulah generasi salaf yang pernah mendapat tunjuk ajar Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, radhiyallahu ‘anhum ajma’een!

“Berkawan biar seribu, bersahabat biar dengan yang seimanmu”

Husaini Ibrahim
00:58 30 Julai 2010
68000 Ampang

4 Responses to “Sahabat, teman dan rakan…”


  1. 1amal

    ini entri sedih saya fikir, semoga anda juga bakal menyusul sahabat baik anda kerana anda bersahabt baik dan berkasih sayang kerana Allah, keep it up bro!

  2. 2wawa

    Ingat satu perkara “apabila kita bertemu seseorang yang kita percaya dan kita yakin bahawa dialah sahabat kita, maka kita haruslah berhati-hati kerana suatu hari nanti persahabatan kita pasti akan diuji oleh Allah” sejauh mana kesefahaman kita. Tetapi jika kita bersahabat kerana Allah, Insya Allah persahabatan kita akan kekal…

  3. 3Husaini Ibrahim

    Ya, bahkan dalam ajaran agama sendiri terdapat unjuran untuk bermusafiran bersama dengan sahabat atau rakan kita itu sebagai salah satu cara untuk menguji persahabatan yang terjalin antara dua insan. Jazakumullahu khairaa atas perkongsian dan komen yang bermakna.

  1. […] yang aku pernah ceritakan di sini dalam entri sebelum ini, khabar gembira itu kusambut dengan rasa terharu dan sedikit terkejut serta […]

Leave a Reply