Sekitar Kuliah Maghrib Ust Hussein Yee

Pada dua malam yang lepas, saya berpeluang mengikuti Kuliah Maghrib di Surau an-Naim, Seksyen 5, Wangsa Maju. Kuliah Maghrib disampaikan oleh al-Fadhil Ust Hussein Yee, Pengerusi al-Khaadem Foundation yang bertempat di Sungai Kayu Ara, Damansara.

Ust Hussein Yee bukan figura asing bagi saya. Telah beberapa kali saya mendengar ceramahnya baik melalui video, menghadiri markaz al-Khaadem ataupun di UIA sendiri. Namun, untuk mengikuti kuliah berkala seperti di surau ini, ini merupakan kali pertama. Pembawaan ceramah dan kuliah tentulah berbeza kerana ceramah biasanya mempunyai tajuk khas dan tertentu, sedangkan kuliah berkala mempunyai rujukan khas dan adakalanya ia sengaja dibiarkan tergantung supaya ada kesinambungan antara satu kuliah dengan kuliah seterusnya.

Ustaz memuliakan kuliahnya dengan mengimbau kembali perjalanan hidup kita yang kini dalam bulan Muharram, ke bulan sebelumnya iaitu bulan Zulhijjah. Bulan yang mana Rasulullah telah menunaikan ibadat hajinya buat kali terakhir dan turunnya ayat yang  menyatakan kesempurnaan Islam.

sempurna-agama

Lalu beliau menegaskan dengan turunnya ayat ini, kita umat Islam hendaklah untuk tidak menambah atau mengurangi apa-apa ajaran  Islam melainkan mengikut ajaran yang telah ditunjuk oleh rasul kita, Rasulullah.

Seterusnya Ustaz mengimbau pula kedatangan Muharram, bulan awal dalam kalendar Hijriah yang mana padanya terdapat puasa bulan 10 Muharram. Beliau menceritakan serba ringkas sejarah kewajipan puasa Muharram sebelum turunnya wahyu memansuhkan kewajipan tersebut dengan wajibnya puasa Ramadhan. Beliau turut menyebut kelebihan puasa 10 Muharram sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadith:

hadith2asyura

Daripada Abu Qatadah Radiyallahu’anh bahawa Rasulullah ditanya akan puasa hari ‘Asyura. Maka sabdanya : “ia menghapuskan dosa setahun yang lalu”. Dalam riwayat yang lain “..adapun puasa pada hari ‘Asyura menghapuskan dosa tahun sebelumnya”.

[Riwayat Muslim no. 2803 dan 2804]

“Sebagaimana orang Melayu punya adat apabila tiba Hari Raya, diminta maaf kepada semua orang, tentulah kerana ada dosa atau salah kita yang lepas-lepas kepada mereka, begitulah kita dengan Allah, kerana dosa kita yang lepas-lepas banyak, dengan puasa 10 Muharram, mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa-dosa kita yang setahun lalu,” syarah Ust Hussein dengan panjang.

Ustaz mengaitkan ayat ini dengan doa yang diajar oleh Rasulullah dalam tasyahhud akhir sebelum salam iaitu

doa_qaddamtu

“Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku yang telah lalu dan yang akan datang, yang tersembunyi dan yang nyata, yang lebih-lebih yang aku lakukan serta apa-apa yang Engkau lebih mengetahuinya daripadaku! Engkaulah yang awal dan yang akhir. Tiada Tuhan yang berhak diabdikan diri melainkan Engkau.” (Riwayat Muslim, 1:534)

DOA SELEPAS TASYAHHUD

Terlanjur membicarakan doa tersebut, Ust Hussein Yee mengatakan doa tersebut merupakan tuntutan sunnah untuk dibaca selain doa yang wajib. Eh, ada doa yang wajib ke? Tersentak seketika mendengar beliau berbicara sedemikian. Lalu beliau menggunakan hadith berikut sebagai hujah untuk menguatkan kata-katanya,

tasyahhud1

Maksudnya: “Hassan bin ‘Atiyyah menceritakan bahawa Muhammad bin Abi ‘Aisyah menceritakan yang dia mendengar Abu Hurairah berkata, bahawa Rasulullah bersabda: “Apabila telah selesai kamu daripada tasyahhud akhir, mintalah perlindungan dengan Allah daripada empat (perkara): daripada azab neraka Jahannam, daripada azab kubur, daripada fitnah semasa hidup dan mati dan akhirnya daripada kejahatan al-Masih al-Dajjal.”

“Dalam hadith ini, terdapat suruhan Nabi untuk kita mengelakkan daripada  empat perkara dan seperti yang kita faham, suruhan Nabi adalah wajib. Tuan-tuan yang menghafal doa ini, hendaklah mengamalkannya di dalam solat, selepas tasyahhud sebelum memberi salam. Dan bagi yang tidak hafal, hafal-hafalkanlah,” kata Ust Hussein Yee menjelaskan lebih lanjut tentang doa yang wajib dibaca itu.

Doa yang dimaksudkan oleh hadith di atas ialah doa berikut,

lindung4

“Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada seksaan kubur, daripada azab neraka Jahannam, daripada fitnah kehidupan dan kematian serta daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim; lafaz hadith daripada riwayat Muslim)

ISU PALESTIN

Ust Hussein juga tidak ketinggalan membicarakan isu serangan Israel ke atas bumi Gaza, Palestin. Beliau berkata sebahagian Muslimin begitu ‘gelojoh’ apabila mendoakan kecelakaan dan kehancuran ke atas Yahudi dan Amerika Syarikat. Sedangkan di kalangan mereka pun, ada yang tidak bersetuju dengan tindakan Israel Zionis tersebut walaupun mereka bukan Muslim. Mendoakan kecelakaan dan kehancuran ke atas Amerika Syarikat secara umum adalah tindakan yang tidak tepat, sambungnya lagi.

Beliau menyambung lagi dengan berkata, sebahagian  rakyat Amerika juga adalah Muslim dan sebahagian daripada yang bukan Muslim juga tidak bersetuju dengan serangan tersebut. Bantahan dan demonstrasi di seluruh dunia telah membuktikan perkara ini.

Sebaliknya, Ust Hussein mengajarkan cara berdoa yang sebaik-baiknya kepada para jemaah surau.

Doa kehancuran hendaklah dispesifikkan kepada musuh-musuh islam yang menyerang Islam dan sekutu-sekutu kepada musuh Islam yang membantu mereka dari segi apa-apa jua jenis pertolongan.

Kepada umat Islam yang berjihad dan mati di medan juang, hendaklah didoakan kerahmatan dan keampunan buat mereka, serta mendapat anugerah syahid daripada Allah s.w.t.

Dan kepada masyarakat bukan Muslim yang bersimpati kepada umat Islam Palestin dan mengutuk serangan ini, digalakkan agar kita berdoa supaya Allah membuka pintu hati mereka kepada hidayah Islam, Ameen.

 Beliau juga ada menyatakan sokongan terhadap demonstrasi yang diadakan di hadapan Kedutaan Mesir lantaran sikap bacul dan berdiam dirinya kerajaan Islam tersebut dengan keadaan yang berlaku pada jiran mereka. Mesir yang berdegil untuk tidak membuka pintu sempadannya kepada umat Islam Palestin telah menyebabkan banyak bantuan yang ingin disalurkan kepada Palestin tersekat dan umat Islam Palestin terkurung di bumi sendiri menunggu masa dibedil Israel.

Seakan-akan Mesir tidak mengerti bahawa yang diserang dan dibedil di negara jirannya adalah saudara seagamanya sendiri!

Isu boikot barangan Amerika juga disentuh oleh Ust Hussein. Beliau menasihati agar boikot yang ingin dilakukan tidak memberi kesan secara langsung kembali kepada umat Islam seperti kehilangan tempat kerja. Beliau mengambil contoh syarikat francais KFC.

Kuliah berakhir sekira-kira jam 9.00 malam dengan solat Isyak berjemaah diimamkan oleh Ust Hussein Yee sendiri.

p/s: Audio kuliah telah dimuatnaik dan pembaca bolehlah merujuk kepada laman AUDIO untuk memuat turunnya.

5 thoughts on “Sekitar Kuliah Maghrib Ust Hussein Yee

  1. Assalamualaikum ..

    Akk doakan husaini sentiasa sihat.. Teringat Ust Hussien, di antara Murabbi akk di Malaysia.. Hafizahullah ..

    Barokallahu Feek husaini ..

  2. Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
    Jazakillah khairaa akak atas kunjungan ke ‘sini’ dan atas doa akak tu. Saya mendoakan kesejahteraan akak dan suami di sana. Bertuah akak pernah mendapat sentuhan murabbi Ust Hussien sewaktu di sini dulu. Wa fiekuma baarakaLLah, akak!

  3. Terbalik macam mana tu?
    “Daripada azab kubur dulu sebelum azab neraka Jahannam ke?”
    Kalau ya, memang macam tu, dalam Hisnul Muslim sendiri doanya macam ‘terbalik’ daripada susunan di atas, namun tak jadi masalah kerana yang penting memohon perlindungan daripada 4 perkara tersebut adalah dituntut.

Leave a Reply

Your email address will not be published.