Selamat berkonvo, kawan-kawan!

convo

Ketika saya memulakan tulisan ini, waktu di Monterey, California baru sahaja menjejak ke waktu Isyak pada jam 7.50 malam hari Jumaat. Namun, pada saat yang sama, di Malaysia khususnya di UIAM, suasana meriah berlangsungnya Majlis Konvokesyen UIAM kali ke-25 sedang berjalan. Sessi pertama sedang dan masih berlangsung di Pusat Aktiviti Kebudayaan (CAC) yang terletak di sebelah Bangunan E0, Kulliyyah saya, Kulliyyah Kejuruteraan. Waktu di Malaysia yang berbeza 15 jam ke hadapan berbanding AS meletakkan Malaysia pada pukul 11.50 pagi pada hari Sabtu.

Oh, saya baru menyedari adanya live video streaming daripada laman web rasmi Majlis Konvokesyen UIAM kali ke-25! Pada waktu ini, graduan-graduan daripada Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim sedang mengambil skrol mereka. Mohamed Adib Mohamed Saat dan Nik Asma Salsabila Nik Aziz, antara yang saya kenali telah melepasi sesi mereka sebentar tadi, mengambil skrol daripada DYMM Sultan Pahang. Agak meremang bulu roma juga apabila mula-mula memasang video streaming ini ketika mendengar alunan caklempong/gamelan mengiringi majlis daripada dalam CAC. Sebak seketika mengenangkan saya tidak punya peluang untuk menghadiri majlis konvokesyen kali ini bersama kawan-kawan dan sabahat..huhu 🙁

Saya pernah menonton live video streaming ini pada tahun-tahun sebelumnya semasa menggunakan komputer di makmal Bahagian Teknologi Maklumat. Pada ketika itu, hari terakhir majlis konvokesyen dengan Sesi ke V sedang berlangsung. Terlupa pula untuk kali ini. Harap-harap saya tidak melepaskan peluang untuk menonton rakan-rakan dan sahabat seKulliyyah saya mengambil skrol pada pagi Ahad nanti. Namun, entahlah..sanggupkah saya? Sanggupkah saya menontonnya tanpa mutiara-mutiara ini menitis sedangkan satu ketika saya pernah enggan mengingati majlis ini kerana sedikit keterkilanan akan ketidakdapatan untuk menghadirinya?

top

Sejarah saya dengan majlis konvokesyen agak menarik. Kali terakhir saya menghadiri majlis konvokesyen sebagai ‘orang luar’ adalah pada 17 tahun yang lalu, ketika saya berumur 7 tahun. Ibu saudara saya, graduan Ijazah Sains Komputer merangkap adik kepada abah menjadi ‘pengambil skrol’ daripada DYTM Raja Nazrin Shah di Dewan Tuanku Canselor, UM. Hanya abah dan opah saja melihat dari dalam dewan, sementara saya, abang dan emak, kami menonton dari sebuah dewan yang tidak jauh dari DTC tersebut. Di sinilah bermulanya saya mengenal erti konvokesyen.

Tahun demi tahun berlalu. Tidak ada lagi majlis konvokesyen sanak saudara terdekat yang saya hadiri. Ketika kakak sepupu saya, Kak Yong mengakhiri pengajiannya, yang juga di UIAM, beliau telah pun berkahwin dan mempunyai seorang bayi comel. Majlis konvonya ketika itu tidak sempat diraikan sehabis mungkin kerana saudara-saudara lain ingin menghadiri majlis kenduri kahwin di Setia Wangsa dan saya pula pada petang itu dijadualkan menduduki peperiksaan pertengahan semester. Maka, tidak adalah gambar-gambar konvo bersama Kak Yong selaku graduan pada hari itu.

Ketika abang menerima jemputan untuk menghadiri majlis konvokesyen diplomanya di UTM, Skudai, saya masih tidak dapat bersama kerana jadual majlisnya bertembung dengan minggu peperiksaan pertengahan semester saya yang kebetulannya banyak pula kertas untuk diduduki pada minggu itu. Pada waktu itu, saya tidak berasa ‘rugi’ memikirkan abang akan mengambil skrol untuk ijazahnya nanti 3 tahun kemudian.

Dua tahun setengah berlalu, abang pun telah bekerja sebagai jurutera di bidang konstruksi sama seperti bidang yang dikhususinya sewaktu di UTM, Kuala Lumpur dan Skudai. Namun, apabila tiba masanya, pada tahun 2007, saya tetap tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen ijazah abang. Sesi abang mengambil skrol jatuh pada hari Selasa petang, yang mana amat sukar untuk saya ponteng kerana banyak sekali subjek yang saya akan terlepas. Zulhilmi, adik sepupu saya mengambil tempat menggantikan saya mengiringi abah, mak dan opah ke majlis konvokesyen tahun itu.

Bagi sesetengah orang, mungkin majlis konvokesyen hanyalah setaraf majlis penyampaian hadiah di sekolah-sekolah yang kebanyakannya dirasmikan oleh orang-orang politik. Namun, bagi saya yang saban tahun akan ‘menyibuk’ di kalangan graduan-graduan tatkala mereka keluar dengan gahnya dari CAC, aura graduan dan majlis konvokesyen terasa kelainannya. Tidak mungkin sesebuah universiti sanggup menghabiskan puluhan ribu (kadangkala mencecah jutaan ketika robe baru ingin dibeli) hanya semata-mata sebuah majlis setaraf penyampaian hadiah dan sijil penghargaan! Ada nilai berharga di sebaliknya yang suatu ketika saya juga turut menitiskan air mata tatkala kak Jannah Zainan Nazri, pelajar terbaik IRK tahun 2007 menyampaikan ucapan penghargaanya kepada ibu bapanya yang kelihatan di kaca skrin Main Auditorium, UIAM.

Dengan dua kali tidak dapat menghadiri majlis konvo abang, satu-satunya adik-beradik saya, dan setelah sekian lama menjenguk dan ‘menyibuk’ di Majlis Konvokesyen UIAM saban tahun, saya telah mengimpikan begitu lama saat saya sendiri akan naik ke pentas untuk mengambil skrol pada tahun ini setelah bergraduasi dengan rasminya pada Jun yang lalu.

Namun, segala-galanya kembali kepada Dia yang mengaturkan peraturan alam ini. Tatkala saya ditemuduga dan ditawarkan peluang menjalani kursus selama sebulan di Amerika Syarikat, saya berdoa sewaktu menanti keputusan temuduga itu agar saya dihantar ke AS selepas majlis bersejarah yang diimpikan itu. Tuhan sajalah yang mengerti perasaan ini ketika yang diharapkan tidak menjadi tetapi telah diduga. Inilah yang pernah saya maksudkan ketika menulis entri mengenai pengalaman hari pertama bekerja dulu.

Saya mengambil pengajaran daripada ketidakhadiran ke majlis konvo pada kali ini sebagai sesuatu yang ingin diberikan Allah akan anugerah dan hikmahnya yang lebih besar pada masa akan datang. Pemergian saya ke AS pada usia muda antara salah satu nikmat dan hikmah terdekatnya. Hamdan lillah.

Walau apapun, saya mengucapkan selamat berkonvo kepada kawan-kawan dan sahabat saya yang terdiri daripada batch Zero4Two Engineerz, batch 03 Matrikulasi, batch 033 yang lambat konvo 🙂 dan termasuklah kawan saya daripada batch 052 yang berkonvo awal. Semoga kalian dirahmati dan diberkati Allah!

Yang mengikuti dari perantauan,

Husain Ibrahim @ www.husainibrahim.com
22:17 9 Oktober 2009
Monterey, CA 93940

5 Responses to “Selamat berkonvo, kawan-kawan!”


  1. 1atikahJ

    1- Syukran coz antara mereka yang meraikan konvo akak 2 tahun lalu..
    2-Akak sempat menonton graduan PHD mengambil skrol dr skrin di Main Audi tadi.. Kejelesan yang amat.. i want the triple stripes robe also..
    3-Ucapan Jannah Zainan Nazri- seisi CAC menitiskan air mata ketika itu. Tahun ni (sesi ke2 tadi) jannah menerima ijazah MA nya..
    4-Insya Allah tahun depan kita konvo.. Amin

  2. 2husainibrahim

    Kak Atikah,
    1 – Syukran aidhon sudi melayan saya ketika itu biarpun masa bersama usrah telah tiba, benarlah saya ni suka ‘menyibuk’ di kalangan graduan 😉
    2 – Ya, kak. Saya pula sempat menonton presentasi skrol kepada graduan MA malam tadi (waktu US) termasuklah kak Jannah Zainan Nazri. Saya doakan akak berjaya sehingga bakal memakai robe berstripe 3 itu sama ada di UIAM mahupun di Uni-uni lain, Ameeen!
    3 – Sememangnya ucapan kak Jannah pada tahun itu menyentuh perasaan hingga berjuraian mutiara menitik.

  3. 3myadlan

    salam bro.

    terharu pula saya baca kisah hidup berkaitan konvo. tapi alhamdulilah dimurahkan rezeki di bumi amerika pula.

    semoga berjaya dengan kehidupan baru di sana, insyaAllah.

  4. 4husainibrahim

    ‘Alaikassalam bro..thanks atas lawatan ringkas ini..yela, ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku..Alhamdulillah wa syukru lillah! ‘Alaa kulli haal, tahniah sekali lagi untuk konvo dan award bro..you really deserve it 🙂

  5. 5faizal

    Salam…
    Tahniah bukan senang nak ke Amerika…
    ni first time comment walaupun dah lama visit

Leave a Reply