Semoga dikurniai kebaikannya, Ameen!

Terasa baru sahaja kawan-kawan dan saya beramai-ramai ke walimah Asyraf dan Salwa yang berlangsung di Sungai Dua, Pulau Pinang beberapa ketika dahulu. Rombongan tim Zero4Two datang dari segenap tempat ke negeri Pulau Mutiara semata-mata untuk meraikan pasangan bahagia ini.

Yang dari Ipoh sampai awal sehari,
Yang dari Muar bertamu sebentar di Taiping,
Yang dari Kajang bertolak awal pagi,
Yang menaiki keretapi ada yang jatuh terguling…

Sedar tidak sedar, kini tahun kedua usia perkahwinan mereka telah hampir genap. Entri ucapan tahniah dan doa saya terhadap zawaj mereka masih kekal utuh dalam blog ini beberapa muka ke belakang. Masih kekal di situ tanda ingatan seorang rakan terhadap rakan rapatnya yang  juga teman sekursusnya.

Perkahwinan mereka agak istimewa bagi warga Zero4Two kerana selain merupakan pasangan ke-3 dalam batch 042 yang berkahwin sesama sendiri, kedua-dua mereka merupakan warga yang aktif dan cemerlang. Salwa, aktif melalui kegiatan sosial menerusi Persatuan Pelajar Kejuruteraan UIAM sebagai Timbalan Presiden II manakala Asyraf antara pelajar yang selalu mencuri perhatian pensyarah melalui kecemerlangan akademiknya saban semester. Pun begitu, Asyraf a.k.a Acap aktif juga dalam bidang sukan melalui sukan bola keranjang yang menjadi hobinya saban petang. Kedua-dua mereka amat ramah dan mudah didekati serta mempunyai ramai kenalan daripada kulliyyah yang berbeza-beza.

HADIRI AKAD NIKAH

Alhamdulillah, beberapa rakan rapat Acap termasuklah saya dijemput menghadiri akad nikah beliau yang diadakan di Hotel UiTM, UiTM Pulau Pinang. Majlis akad nikah ini diadakan sehari sebelum majlis perkahwinan yang berlangsung pada 14 Disember 2008. Bagi saya, ini majlis kedua akad nikah yang saya hadiri setelah walimah Syazwan-Nadiah di Bangi pada bulan Julai tahun tersebut. Rasa terharu menyelubungi diri saat beliau melafazkan akad menerima nikah daripada bapa mertuanya, Prof Zhari Ismail, seorang pensyarah kanan di USM. Manakan tidak, rakan sebilik, segurauan, sekursus dan sebatch telah lebih dahulu melangkah ke alam dewasanya. Jauh di sudut qalbu, terharu itu tanda bersyukur dan gembira atas nikmat yang melimpahi rakan baiknya itu.

Orang kata ambil berkat…oranglah kata, aku tak kata pun! :p

ANUGERAH-NYA UNTUK MEREKA

Tanggal 24 September 2010 yang lalu, Alhamdulillah, jutaan syukur dipanjatkan kepada Allah atas kelahiran insan penyeri hidup pasangan bahagia ini apabila bayi comel itu mula menjengah dunia ini. Saya mendapat tahu melalui seorang rakan yang mengkhabarkannya melalui sistem pesanan ringkas (SMS) pada tengah hari itu,

Ghafur:   “Salam, Acap dah dapat anak ek..?”
Saya:       “Entah, yelah kot, semalam status dia beritahu yang Salwa dah nak masuk labour room”
Ghafur:   “Yelah, Acap dah pos gambar kat FB dah.”
Saya:       “Alhamdulillah…”

Gambar bayi Acap-Salwa yang selamat dilahirkan kira-kira jam 4 pagi, 25 September 2010 bersamaan 16 Syawal 1431 di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang- Gambar daripada album FB Mohd Asyraf Mohd Ariff

Perkara pertama yang saya ingat ketika menerima khabar gembira itu ialah doa yang diajarkan sunnah ketika mana ingin diucapkan kepada pasangan yang baru mendapat cahaya mata namun yang terbit dalam minda saya hanyalah perkataan yang bermaksud, “…dan mudah-mudahan engkau dikurniakan kebaikannya!

Kalimah yang  sering terngiang-ngiang dalam mandala ini hasil tunjuk ajar al-Ustaz Mohd Arif Nadzri ketika beliau memberikan tazkirah semasa mentahnikkan seorang bayi di rumah Pak Ya di Ulu Klang pada Ramadhan yang lalu. Ustaz Arif menerangkan sunnahnya mendoakan mereka yang baru beroleh anak dengan doa tersebut. Doa yang turut dimuatkan dalam Hisnul Muslim susunan al-Sheikh Said bin Ali bin Wahf al-Qahthan digalakkan oleh Ustaz Arif untuk menghafalnya dan didoakan kepada sesiapa yang mendapat anugerah dan amanah Allah itu.

Hisnul Muslim – kumpulan doa-doa dan zikir-zikir yang shahih daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam – Klik pada gambar untuk membeli

Turut dimuatkan dalam buku kecil itu ialah doa balasan oleh pasangan ibu bapa kepada sesiapa yang mendoakan  mereka.

ASYRAF KINI ABU ZUBAYR

Dua tiga kucing berlari,
Melintas jalan lalu dilanggar lori,
Lahirmu dinanti keluarga Ariff dan Zhari,
Akhirnya Zubayr nama diberi.

Status Facebook Acap pada jam 3.35 petang semalam, 29 September 2010, memberitahu kami yang bayinya telah dinamai dengan nama persis seorang sahabat besar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, Zubayr. Komen saya selepas itu pula, mengatakan bahawa dia kini ialah Abu Zubayr, kuniyah atau gelaran yang biasa digunakan oleh orang-orang Arab (dan juga tsabit oleh baginda Rasulullah sallalallhu ‘alaihiwa sallam) bermaksud bapa Zubayr. Kuniyah dipakai dengan menyandarkan perkataan Abu atau Ummu kepada nama anak sulung lelaki. Sementelahan pula, Salwa tentulah Ummu Zubayr gelarannya 🙂

DOAKU BUAT MEREKA

Kalimah yang acapkali terngiang-ngiang di telinga saya sejak kelahiran Zubayr bagaikan mendesak saya untuk menulis entri khas ini buat mereka berdua dan teristimewanya Zubayr. Mudah-mudahan Acap dan Salwa benar-benar beroleh kebaikan daripada Zubayr seperti yang daku kepingin doakan mereka hasil tunjuk ajar sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

Buat Abu Zubayr Asyraf, dan Ummu Zubayr Salwa,

“Semoga Allah memberkatimu dalam anak yang diberikan kepadamu. Kamu pun bersyukur kepada Yang Maha Memberi, dan dia (Zubayr) dapat mencapai dewasa, serta kamu dikurniai kebaikannya!”

Ameen!

Husaini Ibrahim@ www.husainibrahim.com
23:07 | 30 September 2010 | 21 Syawal 1431H
68000 Ampang

10 Responses to “Semoga dikurniai kebaikannya, Ameen!”


  1. 1kak tikah

    entry masjid kwn2 je ni..masjid hussaini bila lagi???

  2. 2faried

    Ghafur: “Salam, Acap dah dapat anak ek..?”
    Saya: “Entah, yelah kot, semalam status dia beritahu yang Salwa dah nak masuk labour room”
    Ghafur: “Yelah, Acap dah pos gambar kat FB dah.”
    Saya: “Alhamdulillah…”

    Adakah Ghafur menggunakan teknik soalan yg dinamakan soalan retorik? ^_^

  3. 3Frank

    Usen kasi hint la tu. Dia next in the line…

  4. 4Husaini Ibrahim

    Insya Allah, sama-samalah kita doakan satu sama lain. Saya doakan akak dulu, akak doakan saya 🙂

  5. 5Husaini Ibrahim

    Hang tunggu sajalah Hasan weih, aku tak kata pun ini hint 😛

  6. 6Husaini Ibrahim

    Tak tahulah retorik tak retorik, aku rasa bukan retorik tu, tu namanya kaedah pemberitahuan songsang (reverse-telling method)…haha…pandai-pandai je aku cipta kaedah sendiri. 😛

  7. 7Abu Zubayr

    Salam. Wahhh, terharunye aku baca entri ko kali ni usen! Baru kusedar..dah lama tak buka blog kawan-kawan. Anyway, terima kasih untuk peringatan yg ditujukan khas untuk kami ni.. Aku sangat-sangat terharu.. hehe. Moga Allah memberkatimu sahabat dan memudahkan segala urusanmu..lebih-lebih lagi yg berkaitan jodoh 🙂

  8. 8Husaini Ibrahim

    Terima kasih Acap kerana sudi melawat. Inilah doaku untuk rakan-rakan dan sahabat. Apapun Ameen untuk doa engko… 🙂

  9. 9Ghafur

    sape yg jatuh terguling naik keretapi tu? aku dengar mcm jason bourne stunt die. fuuuhh!!!

  10. 10Husaini Ibrahim

    Dah jatuh terguling, jatuhlaa..apa plak nak sama dengan stunt…hahaha

Leave a Reply