Ketika saya memulakan tulisan ini, waktu di Monterey, California baru sahaja menjejak ke waktu Isyak pada jam 7.50 malam hari Jumaat. Namun, pada saat yang sama, di Malaysia khususnya di UIAM, suasana meriah berlangsungnya Majlis Konvokesyen UIAM kali ke-25 sedang berjalan. Sessi pertama sedang dan masih berlangsung di Pusat Aktiviti Kebudayaan (CAC) yang terletak di sebelah Bangunan E0, Kulliyyah saya, Kulliyyah Kejuruteraan. Waktu di Malaysia yang berbeza 15 jam ke hadapan berbanding AS meletakkan Malaysia pada pukul 11.50 pagi pada hari Sabtu.
Oh, saya baru menyedari adanya live video streaming daripada laman web rasmi Majlis Konvokesyen UIAM kali ke-25! Pada waktu ini, graduan-graduan daripada Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim sedang mengambil skrol mereka. Mohamed Adib Mohamed Saat dan Nik Asma Salsabila Nik Aziz, antara yang saya kenali telah melepasi sesi mereka sebentar tadi, mengambil skrol daripada DYMM Sultan Pahang. Agak meremang bulu roma juga apabila mula-mula memasang video streaming ini ketika mendengar alunan caklempong/gamelan mengiringi majlis daripada dalam CAC. Sebak seketika mengenangkan saya tidak punya peluang untuk menghadiri majlis konvokesyen kali ini bersama kawan-kawan dan sabahat..huhu 🙁